“Aduh, dah 2 hari tahan sakit gigi ni. Tak boleh jadi nak kena pergi cek juga. Tapi batal tak puasa kalau kita tampal atau cabut gigi ni?”
Pada bulan puasa ini, seperti pemakanan, kesihatan juga perlu dijaga sepanjang masa. Namun, sesetengah daripada kita mungkin keliru dan berasa sedikit ragu untuk hadir ke pemeriksaan kesihatan kerana takut akan membatalkan puasa.
Sebenarnya, terdapat beberapa jenis rawatan yang tidak membatalkan puasa yang tak perlu anda ubah temu janji walaupun ketika berpuasa.
12 Jenis Rawatan Yang Tidak Membatalkan Puasa
Berikut adalah 12 jenis rawatan / ubat yang tidak membatalkan puasa menurut JAKIM, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui portal MyHealth.
1. Penggunaan Ubat Titis Mata & Telinga
Penggunaan ubat titis untuk mata, telinga dan cucian dalam telinga tetapi dengan syarat tidak sampai batas pada gegendang telinga.
2. Pemeriksaan Gigi & Prosedur Berkaitan
Prosedur pergigian seperti tampalan, cabutan dan pembersihan mahupun memberus gigi dengan syarat tidak menelan darah atau apa-apa bahan semasa prosedur.
3. Suntikan
Pengambilan semua jenis suntikan sama ada sampai hingga ke lapisan kulit, salur darah atau sehingga ke otot dan sendi.
4. Ambil Darah
Prosedur derma darah, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah bagi tujuan ujian makmal.
5. Ubat Sapu
Penggunaan ubat sapu sama ada krim atau salap pada kulit serta penggunaan plaster dan balutan pada permukaan kulit.
6. Ubat Kumur
Penggunaan ubat kumur dan ubat terapeutik semburan ke mulut tanpa melibatkan sebarang proses menelan.
7. Ubat Sembur Hidung
Penggunaan ubat semburan hidung tanpa menyedut.
8. Bius
Rawatan bius setempat atau separuh.
9. Ubat Buasir
Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula bahagian yang terkeluar pada tempat asalnya tanpa melibatkan rongga yang lebih dalam.
10. Ubat Bawah Lidah
Ubat tablet sublingual iaitu yang digunakan dengan meletakkan di bawah lidah dengan syarat tidak ditelan. Contoh ubat termasuk nitroglycerin dan lorazepam.
11. Tiub Kateter Melalui Salur Darah
Pemeriksaan yang menggunakan tiub kateter melalui salur darah seperti rawatan angiogram bagi pemeriksaan jantung.
12. Laparoskop Pada Abdomen
Prosedur laparoskop iaitu pemeriksaan dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen bagi tujuan pemeriksaan bahagian dalaman pesakit.
Jenis Rawatan Yang Membatalkan Puasa
Antara contoh rawatan yang membatalkan puasa pula termasuklah
1. Pengambilan ubat telan sama ada biji atau sirap.
2. Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau jangkitan paru-paru kronik.
3. Rawatan alat kelamin dengan memasukkan sebarang tiub kecil atau ubat ke dalam faraj termasuk cucian dan ujian pemeriksaan kesihatan dalaman wanita (pap smear).
4. Pemeriksaan saluran kencing dengan memasukkan sebarang tiub kateter, barium, atau ubat pencuci yang dimasukkan dalam saluran tersebut.
5. Penggunaan alat yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum seperti enema, tiub supositori, teropong protoskop atau jari pegawai perubatan.
6. Memasukkan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroskop) bagi tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.
Bagi rawatan yang membatalkan puasa, adalah dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan selepas berbuka puasa atau pada waktu malam. Dinasihatkan untuk menjadualkan semula temujanji bersama doktor supaya lebih sesuai dengan waktu berpuasa.
Bagi yang sedang dalam pengambilan ubat, bincangkan dengan doktor tentang cara untuk menyesuaikan masa pengambilan ubat dengan waktu sahur dan berbuka supaya tidak terlepas.
Sumber: The Malaysian Medical Gazette, Puasa Dan Ubat – Portal MyHealth