Euforia Bola 2026
Asuh

Makin Ramai Anak, Makin Banyak Cuti! Polisi Khas Singapura Ini Buat Netizen Malaysia ‘Jeles’ & ‘Teringin’ Nak Rasa

ccuti penjagaan anak

Bagi ibu bapa yang bekerja, cuti menjaga anak boleh menjadi perkara penting apabila anak jatuh sakit, perlu ke klinik atau mempunyai urusan di sekolah. Justeru, perubahan polisi Cuti Penjagaan Anak yang diumumkan Singapura menarik perhatian apabila jumlah cuti bakal ditentukan berdasarkan bilangan anak dalam keluarga.

Baca juga: RM400 BUDI, PLKN Siri 4 & Banyak Lagi… Ini 10 Bantuan Kerajaan & Pengumuman Penting Setakat Minggu Ini!

SINGAPURA MEMPERKENALKAN POLISI CUTI PENJAGAAN ANAK

cuti penjagaan anak

Gambar PHM.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengumumkan perubahan tersebut ketika Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad, 23 Ogos. Di bawah aturan baharu itu, setiap ibu atau bapa yang bekerja akan menerima jumlah cuti berbeza bergantung kepada bilangan anak mereka.

Bagi keluarga yang mempunyai anak sehingga usia 12 tahun, jumlahnya ialah:

  • 1 anak: 8 hari setahun
  • 2 anak: 10 hari setahun
  • 3 anak atau lebih: 12 hari setahun

Anak-anak berkenaan mestilah merupakan warga Singapura dan berusia 12 tahun ke bawah.

Lebih ramai anak, lebih banyak cuti

Perubahan tersebut menjadi lebih ketara apabila jumlah kelayakan kedua-dua ibu dan bapa diambil kira.

Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai tiga anak boleh menikmati sehingga 24 hari cuti penjagaan anak setahun secara keseluruhan. Ini kerana setiap ibu dan bapa masing-masing layak mendapat 12 hari.

Jumlah tersebut berbeza daripada aturan sedia ada yang memberikan enam hari setahun bagi ibu atau bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah.

Bagi anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun pula, kelayakan ketika ini ialah dua hari setahun.

Di bawah sistem baharu, kategori cuti untuk anak kecil dan anak berumur tujuh hingga 12 tahun akan digabungkan bagi memudahkan ibu bapa menggunakan kemudahan tersebut.

Pemerintah tanggung sepenuhnya kos majikan

Kerajaan Singapura juga akan menanggung sepenuhnya kos yang ditanggung majikan bagi skim cuti berkaitan anak yang diwajibkan undang-undang, tertakluk kepada had bayaran balik yang ditetapkan.

Tarikh sebenar pelaksanaan aturan baharu itu bagaimanapun masih belum diumumkan.

cuti penjagaan anak

Bukan hanya apabila anak sakit

Perubahan ini mendapat perhatian kerana tanggungjawab membesarkan anak bukan hanya berkaitan ketika mereka jatuh sakit.

Bagi ibu bapa yang bekerja, pelbagai urusan boleh memerlukan mereka meninggalkan tempat kerja seperti:

  • membawa anak mendapatkan rawatan atau pemeriksaan doktor;
  • menguruskan kecemasan melibatkan anak;
  • menghadiri urusan atau aktiviti sekolah;
  • menemani anak pada hari pertama persekolahan; dan
  • menguruskan keperluan penjagaan apabila anak tidak dapat hadir ke sekolah atau pusat jagaan.

Dalam keadaan tertentu, ibu bapa terpaksa menggunakan cuti tahunan untuk menyelesaikan urusan tersebut jika tiada cuti khas yang boleh digunakan.

Sebab itu, kemudahan seperti ini bukan hanya berkaitan jumlah hari cuti semata-mata, tetapi turut menyentuh keseimbangan antara kehidupan keluarga dan pekerjaan.

Apabila tanggungjawab penjagaan meningkat seiring pertambahan bilangan anak, sokongan daripada majikan dan dasar kerajaan juga memainkan peranan penting.

Baca juga: Jangan Kalut Dulu.. Tiada Operasi Khas Wajibkan Rakyat Tukar Alamat MyKad, JPN Nafi Kenakan Tindakan!

PANDANGAN WARGA MALAYSIA

Pengumuman Singapura itu turut mengundang reaksi pengguna Malaysia di media sosial.

Seorang pengguna berpandangan Malaysia juga perlu melihat pendekatan negara jiran tersebut, khususnya dalam menangani cabaran keluarga yang mempunyai anak kecil.

Menurutnya, ibu bapa yang bekerja sering perlu menggunakan cuti tahunan untuk membawa anak ke klinik atau menguruskan urusan berkaitan sekolah. Pengguna berkenaan turut membangkitkan isu cuti paterniti yang disifatkan masih tidak mencukupi untuk sesetengah keluarga.

Katanya, selepas kelahiran bayi, terdapat pelbagai urusan lain yang perlu dilakukan bapa termasuk menguruskan pendaftaran serta dokumen anak. Situasi tersebut dianggap lebih mencabar bagi generasi ibu bapa yang tinggal jauh daripada keluarga atau tidak mempunyai sistem sokongan berdekatan.

Pandangan itu mendapat perhatian pengguna Threads apabila hantaran berkenaan menerima lebih 8,000 tanda suka.

Walaupun pengalaman setiap keluarga berbeza, perbincangan tersebut menunjukkan isu sokongan kepada ibu bapa bekerja semakin mendapat perhatian.

Bagi Singapura pula, perubahan polisi ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong keluarga.

Untuk menggalakkan lebih ramai pasangan membina keluarga, sokongan tidak semestinya berhenti selepas kelahiran bayi. Ia juga melibatkan bagaimana ibu bapa dapat terus bekerja sambil menguruskan keperluan anak-anak apabila mereka membesar.

Menarik bukan?

Sumber: Facebook PHM / e-Central

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×