Laporan terkini mengenai gaji pekerja Malaysia mendedahkan jurang pendapatan antara pekerja golongan berpendapatan tinggi dan rendah masih ketara, walaupun pasaran buruh negara terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada suku pertama 2026.
DATA TERKINI GAJI PEKERJA MALAYSIA DIKELUARKAN DOSM

Gambar Aizuddin Saad (NSTP).
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2026, hanya 10 peratus pekerja formal bergaji tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM11,500 sebulan, iaitu lebih enam kali ganda berbanding kumpulan bergaji terendah.
Pada masa sama, 10 peratus pekerja formal bergaji terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, sekali gus menggambarkan jurang upah yang masih menjadi cabaran dalam pasaran pekerjaan negara.
“Secara keseluruhannya, pasaran buruh formal Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh dan berdaya tahan pada suku pertama 2026, disokong oleh pertumbuhan bilangan pekerja formal serta peningkatan median upah,” menurut DOSM.
Median gaji pekerja Malaysia kini RM3,027 sebulan
Selain jurang pendapatan, DOSM turut melaporkan bahawa median upah bulanan pekerja sektor formal adalah RM3,027 sebulan pada Mac 2026.
Jumlah pekerja formal turut meningkat kepada 7.05 juta orang, iaitu pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Laporan itu menunjukkan peningkatan upah berlaku merentasi kebanyakan sektor ekonomi, sekali gus mencerminkan pasaran pekerjaan formal yang terus berkembang.
SENARAI MEDIAN UPAH BULANAN MENGIKUT NEGERI & WILAYAH (JANUARI – MAC 2026)
Januari 2026
- W.P. Kuala Lumpur – RM4,364
- Selangor – RM3,427
- Pulau Pinang – RM3,182
- W.P. Putrajaya – RM2,745
- Johor – RM2,900
- Melaka – RM2,682
- Negeri Sembilan – RM2,645
- Pahang – RM2,345
- Perak – RM2,427
- Sarawak – RM2,400
- Terengganu – RM2,100
- W.P. Labuan – RM2,400
- Kedah – RM2,100
- Sabah – RM2,100
- Perlis – RM1,882
- Kelantan – RM1,800
Februari 2026
- W.P. Kuala Lumpur – RM4,500
- Selangor – RM3,382
- Pulau Pinang – RM3,145
- W.P. Putrajaya – RM2,727
- Johor – RM2,882
- Melaka – RM2,700
- Negeri Sembilan – RM2,600
- Pahang – RM2,300
- Perak – RM2,327
- Sarawak – RM2,345
- Terengganu – RM2,164
- W.P. Labuan – RM2,227
- Kedah – RM2,100
- Sabah – RM2,100
- Perlis – RM1,855
- Kelantan – RM1,800
Mac 2026
- W.P. Kuala Lumpur – RM4,527
- Selangor – RM3,445
- Pulau Pinang – RM3,064
- W.P. Putrajaya – RM3,000
- Johor – RM2,800
- Melaka – RM2,664
- Negeri Sembilan – RM2,645
- Pahang – RM2,400
- Perak – RM2,300
- Sarawak – RM2,300
- Terengganu – RM2,227
- W.P. Labuan – RM2,200
- Kedah – RM2,100
- Sabah – RM2,082
- Perlis – RM1,855
- Kelantan – RM1,827
Daripada senarai tersebut, Kuala Lumpur terus mencatatkan median upah tertinggi, manakala Kelantan kekal sebagai negeri dengan median upah paling rendah.

Gambar fail NSTP.
Sektor perlombongan tawar gaji tertinggi
Mengikut sektor ekonomi pula, perlombongan dan pengkuarian merekodkan median upah tertinggi sebanyak RM9,678 pada Mac 2026, walaupun sektor ini hanya mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara.
Sektor lain pula mencatatkan median upah pada Mac tahun ini seperti berikut:
- Pembinaan – RM3,082
- Perkhidmatan – RM3,064
- Pembuatan – RM2,900
- Pertanian – RM2,327
Sektor pertanian terus merekodkan median upah paling rendah walaupun mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.8 peratus dalamm tempoh yang sama.
Pekerja umur 45 hingga 49 tahun terima gaji median tertinggi
Laporan DOSM turut menunjukkan pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun menerima median upah tertinggi sepanjang suku tahun pertama 2026 iaitu seperti bulan Mac sebanyak RM4,100 sebulan.
Sebaliknya, pekerja di bawah usia 20 tahun masih menerima median upah terendah sebanyak RM1,700, angka yang kekal sejak Februari 2025.
Dari segi jantina pula:
- Lelaki mewakili 55 peratus pekerja formal dengan median upah bulanan RM3,064 pada Mac 2026
- Perempuan merangkumi 45 peratus pekerja formal dengan median upah RM3,000
Jurang upah masih menjadi cabaran
Walaupun pasaran buruh negara terus berkembang, DOSM mengakui jurang pendapatan antara kumpulan bergaji tinggi dan rendah masih besar.
Analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja bergaji tertinggi menerima lebih enam kali ganda berbanding kumpulan 10 peratus bergaji terendah.
Dalam masa sama, laporan itu turut menunjukkan hanya 7.9 peratus pekerja formal menerima gaji di bawah RM1,700 pada Mac 2026, iaitu penurunan sebanyak 2 mata peratusan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Menuju ke hadapan, DOSM akan terus memperkukuh penghasilan statistik pasaran buruh melalui integrasi pelbagai sumber data bagi menyediakan maklumat yang lebih komprehensif, tepat pada masanya dan berasaskan bukti untuk menyokong perancangan serta penggubalan dasar negara,” katanya.
Laporan ini memberi gambaran bahawa walaupun gaji pekerja Malaysia terus menunjukkan peningkatan, usaha mengecilkan jurang pendapatan antara kumpulan pekerja masih menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian.
