Ada tak geng Mak-mak yang dalam pantang masa Raya ni? Pengalaman berpantang dalam musim perayaan begini semestinya satu pengalaman yang berbeza.
Aduhai, hanya yang pernah laluinya akan faham cabarannya dan mengalami ‘mood’ beraya yang tak berapa nak raya.
5 Cabaran Berpantang Di Hari Raya
Ini antara cabaran yang akan dilalui.
1. Beraya Dengan ‘Uniform Berpantang’
Susahlah nak melaram bila dalam pantang, terutamanya yang baru beberapa hari bersalin. Mana tidaknya, badan masih sakit-sakit, mesti rimas nak bergerak dengan baju raya nanti.
Saiz badan pula masih belum slim macam dulu. Lepas tu, kena pilih yang mesra menyusu. Susah juga nak anggarkan saiz dan fikirkan baju raya yang sesuai. Pakai sekejap setakat ‘cukup syarat’ dan bergambar dengan keluarga bolehlah. Itupun kalau baby OK dan tak menangis.
Mahu tak mahu, ‘uniform berpantang’ jugalah yang paling selesa – T shirt besar, sweater, kain batik dan stoking.
2. Tak Dapat Ikut Beraya
Musim-musim raya beginilah kita dapat melepaskan rindu dengan saudara-mara yang dah lama tak jumpa. Tapi apa nak buat, kita terpaksa duduk di rumah saja demi kesihatan diri dan baby.
Yalah, kalau ikut orang beraya bukannya sekejap. Kurang-kurang 5-6 buah rumah. Ibu yang baru lepas bersalin tentu perlukan banyak rehat dan ruang yang selesa. Sekejap-sekejap nanti nak kena susukan baby pula. Terlalu lasak dan banyak bergerak pun tak elok juga.
3. Pantang Makan Yang Paling Susah!
Ramai yang naik berat badan masa beraya ni tak lain tak bukan sebab ada terlalu banyak makanan yang sedap. Dah namanya berpantang, kita perlu fokus untuk makan makanan yang berkhasiat saja. Tak bolehlah nak melantak rendang, lemang, kuih raya, dan macam-macam makanan yang berlemak dan berkalori tinggi tu.
Bab makan dah satu hal, yang lagi susah nak berpantang ais (bagi yang betul-betul jaga pantanglah). Rasa tak keruan bila tengok air sejuk yang bermacam-macam warna. Dahlah cuaca panas. Memang cabaran. Bila dah tak tahan sangat, setakat merasa seteguk dua jadilah. Teringin punya pasal…
4. Ramainya Nak Cium Baby
Bila ramai yang tahu kita baru bersalin, mesti ramai yang gunakan kesempatan beraya untuk melawat kita sekali. Seronok tu seronok jugalah. Tapi yang masalahnya bila terlalu ramai nak peluk cium baby yang masih dalam hari – tak kiralah atuk-atuk, nenek-nenek, makcik pakcik, sepupu-sepapat, ipar duai, anak buah dan tak kurang juga orang yang kita kurang kenal.
Bukannya nak ‘kerek’ atau kedekut tak bagi cium baby, tapi kita cuma risau antibodi bayi yang masih belum kuat. Dahlah sekarang ni macam-macam penyakit, kes anak tak vaksin, dan virus-virus lain. Nanti kalau baby jatuh sakit, kita juga yang susah.
5. Penat Layan Tetamu
Bila orang datang beraya dari jauh, kita mesti rasa serba salah nak duduk di bilik saja. Nak-nak pula kalau saudara-mara memang ramai. Semua datang nak tengok baby.
Kita yang berpantang ni biasalah cepat letih, sakit-sakit pun tak hilang lagi. Memang tak larat nak melayan tetamu. Setakat bersalam kejap dan tunjuk muka bolehlah. Harap tetamu semua fahamlah ya. Yang tak faham tu, terpaksalah tebalkan telinga.
Yang Seronoknya, Baby Dapat Banyak Duit Raya!
Mungkin dah rezeki baby, satu keistimewaan bila berpantang masa raya ialah dapat banyak duit raya untuk baby. Saudara-mara semua pakat bagi, bahkan yang kita tak berapa tak kenal pun bagi juga.
Apapun, berpantang masa raya ni memang banyak pengalaman yang unik, kan?
Jadi, siapa geng berpantang masa raya ni?