Rakyat

12 Negara Asia Yang Pernah Dipimpin Oleh Presiden / Perdana Menteri Wanita

2K
SHARES

Dengan kemenangan bersejarah yang dicatatkan oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu, Malaysia bukan saja mencatat sejarah dengan perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, tetapi rakyat Malaysia juga mendapat Timbalan Perdana Menteri wanita buat pertama kalinya apabila jawatan tersebut disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jika dilihat dari skop yang lebih luas, peranan wanita begitu penting dalam membentuk sistem pentadbiran negara. Sebenarnya, telah banyak negara, termasuklah negara di rantau Asia yang memberi kepercayaan kepada wanita untuk memegang antara jawatan yang tertinggi dalam negara.

Berikut adalah senarai 12 negara Asia yang pernah diterajui oleh ‘wanita-wanita besi’.

12 Negara Asia Yang Pernah Dipimpin Oleh Presiden / Perdana Menteri Wanita

1. India

Indira Gandhi

Indira Gandhi iaitu anak kepada Perdana Menteri India pertama, Jawarharlal Nehru mentadbir India pada tahun 1966 hingga 1977. Beliau berjaya memulihkan kemiskinan peladang Sikh di kawasan Punjab dengan memperkenalkan sistem pengaliran dan biji benih bermutu semasa Revolusi Hijau di negara tersebut.

Indira Gandhi juga turut menawarkan kerajaan Pakistan untuk menandatangani perjanjian Simla sebagai usaha menghentikan aktiviti pengganas dan sekaligus memberi jalan buat Bangladesh untuk diiktiraf sebagai negara yang merdeka. Walaubagaimanapun, pada awal 1980an beliau berdepan dengan konflik politik dan akhirnya mati dibunuh pada tahun 1984.

Foto Kredit: alamy.com

Sumber: https://www.biography.com/people/indira-gandhi-9305913

Pratibha Patil

Sebelum menjadi Presiden India wanita pertama, beliau giat dalam hal ehwal politik sejak tahun 1960an lagi dengan menyertai parlimen, Parti Kongres India dan menyandang jawatan Gabenor negeri Rajasthan.

Beliau memberi impak besar kepada pembangunan India dengan membantu menyelesaikan masalah pertanian di kawasan perkampungan India yang lebih dikenali sebagai “Krisis Agraria” serta berjaya menegakkan hak asasi wanita tempatan India. Beliau kini giat dalam misi kebajikan selepas bersara dari dunia politik.

perdana menteri wanita

Foto Kredit: news18.com

Sumber: https://www.thefamouspeople.com/profiles/pratibha-patil-13929.php

2. Sri Lanka

Sirimavo Bandaranaike

Beliau melakar sejarah dengan menjadi Perdana Menteri wanita pertama di dunia selepas berjaya memenangi pilihan raya Ceylon pada tahun 1960. Beliau juga kembali bekhidmat menjadi perdana menteri untuk dua penggal lagi iaitu pada 1970 hingga 1977 serta 1994 hingga 2000. Sirimavo juga terkenal dalam mengetuai Parti Bebas Sri Lanka dalam jangka masa yang lama.

Walaupun sering digelar sebagai ‘balu yang meratap’ kerana kematian suaminya, Solomon Bandranaike yang memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tetap teguh dalam  meneruskan perjuangan suaminya dalam menegakkan polisi sosioekonomi seperti nasionalisasi dalam sektor ekonomi serta mengukuhkan sistem perbankan dan insurans.

Foto Kredit: qz.com

Sumber: https://www.thefamouspeople.com/profiles/sirimavo-bandaranaike-7187.php

Chandrika Kumaratunga

Pengaruh wanita ini begitu kuat sehingga tersenarai dalam ‘100 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia’ oleh Forbes pada 2005. Beliau merupakan anak kepada Solomon dan Somirivo Bandaranaike dan menyandang jawatan perdana menteri Sri Lanka dari tahun 1994 hingga 2005. Beliau mengambil alih peranan ibunya dalam mengetuai Parti Bebas Sri Lanka serta berjaya menghapuskan rasuah dengan memperkenalkan undang-undang baru.

Dalam pucuk kepimpinannya juga, Sri Lanka mencapai peningkatan melalui pertumbuhan ekonomi walaupun negara tersebut sedang berdepan dengan masalah percanggahan etnik serta perang saudara ketika itu. Beliau juga merupakan salah seorang ahli majlis “ Ketua Wanita Dunia”.

Foto Kredit: asiantribune.com

Sumber: https://www.thefamouspeople.com/profiles/chandrika-kumaratunga-7154.php

3. Pakistan

Benazir Bhutto

Pelantikan Benazir Bhutto sebagai Perdana Menteri Pakistan pada 1988 menjadikan beliau wanita Muslim pertama yang menyandang jawatan tersebut. Beliau mula menceburi bidang politik selepas mengambil alih posisi ayahnya sebagai pengerusi Parti Rakyat Pakistan. Seperti ayah serta adik beradiknya beliau turut diburu oleh kerajaan militan namun berjaya memenangi pilihanraya dan menjadi Perdana Menteri pada tahun 1988.

Tindakan pihak pembangkang yang sentiasa cuba untuk menjatuhkannya membuatkan Benazir mundur dan bangkit beberapa kali sehingga Presiden Musharraf menawarkan pemerintahan Pakistan bersama pada 2007. Namun kepulangannya disambut dengan tragedi malang. Beliau akhirnya terbunuh dalam ‘letupan berani mati’ sejurus selepas beliau berkempen sehingga ramai orang awam yang turut terkorban dan tercedera akibat kejadian tersebut.

Foto dari Flickr.com

Sumber: https://www.history.com/topics/womens-history/benazir-bhutto

4. Bangladesh

Khaleda Zia

Beliau mula aktif dalam bidang politik selepas pembunuhan suaminya iaitu Perdana Menteri dengan meneruskan kepimpinan Parti Nasionalis Bangladesh. Beliau juga sering diburu dan ditahan semasa kepimpinan diktator Hussein Mohammad Ershad sehingga beliau menjadi ketua pembangkang dan memenangi pilihanraya pada tahun 1991 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Beliau menjalankan beberapa usaha bagi membangunkan ekonomi dengan menggalakkan pelaburan swasta, memperbaiki sistem pendidikan dan meningkatkan peluang ekonomi bagi wanita.

Foto Kredit: REUTERS/Stringer/Files

Sumber: https://www.britannica.com/biography/Khaleda-Zia

Sheikh Hasina Wazed

Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh dan merupakan wanita kedua yang merangkul jawatan tersebut. Beliau berjaya menghentikan keganasan, dan konfrontasi yang berlaku berdekad lamanya antara kerajaan dan kumpulan politik bersenjata dengan menandatangani perjanjian keamanan.

Beliau juga berjaya memenangi beberapa anugerah seperti “Anugerah Mother Teresa” dan “Anugerah M K Gandhi” atas usaha beliau dalam memperkenalkan keamanan dan demokrasi di negara tersebut.

Foto Kredit: bdnews.one

Sumber: https://www.thefamouspeople.com/profiles/sheikh-hasina-5680.php

5. Turki

Tansu Ciller

Beliau merupakan Perdana Menteri wanita pertama dan satu-satunya yang pernah mentadbir kerajaan Turki.

Walaupun beliau hanya menjadi Perdana Menteri selama 3 tahun sahaja, beliau masih giat dalam membangunkan ekonomi sebagai Menteri dalam Negeri dan pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Foto Kredit: tr.sputniknews.com

Sumber: Wikipedia

6. Korea Selatan

Han Myeung Sook

Beliau merupakan wanita pertama yang merangkul jawatan Perdana Menteri di negara tersebut. Beliau menyumbang dalam penggubalan undang-undang sebagai usaha mempertahankan hak wanita seperti isu tempoh cuti berpantang dan penetapan gaji bagi ibu hamil yang bekerja.

Beliau juga pernah menjawat kedudukan Menteri Kesaksamaan Jantina dan Menteri Alam Sekitar. Nama beliau juga tercatat senarai 100 Wanita Paling Berkuasa Forbes.

Foto Kredit: Getty Images

Sumber: https://www.forbes.com/lists/2006/11/06women_Han-Myung-sook_V02W.html

7. Thailand

Yingluck Shinawatra

Beliau merupakan Perdana Menteri wanita pertama yang pernah mentadbir Thailand dari tahun 2011 hingga 2014. Susur keluarganya memang cukup terkenal dalam bidang kepimpinan sejak dahulu lagi.

Sekalipun sering dilanda kontroversi dan digelar ‘pemerintah boneka’, beliau telah memainkan peranan dalam memulihkan negara daripada tragedi banjir dengan menawarkan bantuan kepada mangsa dan menghidupkan semula operasi pengilangan besar negara.

Foto Kredit: edition.cnn.com

Sumber: https://www.britannica.com/biography/Yingluck-Shinawatra

8. Filipina

Corazon Aquino

Tokoh ini merupakan Perdana Menteri Filipina pertama dan dikenali sebagai ibu demokrasi moden yang komited dalam mengembalikan keamanan dan keadilan di negara tersebut. Dalam waktu kepimpinannya, beliau berjaya membayar semula hutang negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.4%.

Beliau memberi nafas baru kepada pemerintahan Filipina yang sebelum ini penuh keganasan atas kepimpinan diktator. Selepas pemerintahannya, beliau masih giat dalam memberi pandangan dan menghalang penyelewengan kuasa politik. Beliau juga aktif dalam aktivti kebajikan dengan menubuhkan PinoyMe iaitu yayasan yang menawarkan bantuan kewangan kepada golongan miskin.

Gloria Macapagal Arroyo

Gloria mentadbir Filipina sebagai Presiden dari 2001 hingga 2010. Beliau sebelumnya mula mencevuri bidang politik melalui posisinya sebagai pembantu Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri serta pengarah Tekstil dan Pakaian sehingga menjadi industri paling penting dan berjaya meraih jutaan dollar untuk pembangunan negara.

Semasa kepimpinannya, beliau menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk  pembangunan dalam bidang pendidikan, ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan serta pertanian.

Sumber: http://www.gloriamarroyo.ph/bio.html

9. Indonesia

Megawati Soekarnoputri

Megawati merupakan Presiden Indonesia yang kelima yang memerintah dari tahun 2001 hingga tahun 2004. Merupakan anak kepada Presiden Indonesia pertama, Soekarno, beliau kemudian mengikuti jejak ayahnya menjadi Presiden Indonesia dan mencatat sejarah sebagai Presiden wanita Indonesia pertama.

Walaupun cara kepimpinannya banyak dikritik, beliau telah menyumbang dalam menstabilkan keseluruhan proses demokrasi dan memulihkan hubungan antara perundangan, eksekutif dan ketenteraan.

Megawati Soekarnoputri / Foto Kredit: harianindo.com

Sumber: Wikipedia

10. Taiwan

Tsai Ing Wen

Beliau merupakan presiden wanita pertama yang mentadbir Taiwan sejak 2016 serta pengerusi Parti Demokratik Progresif yang aktif memperjuangkan keadilan sosial setempat. Kepimpinannya memperlihatkan peranan kerajaan dalam menyokong kumpulan minoriti dalam masyarakat seperti golongan miskin, wanita, kanak-kanak dan orang asli Taiwan.

Beliau turut mengembangkan lagi sektor ekonomi Taiwan dengan membanyakkan hubungan ekonomi dengan negara luar di samping mengekalkan hubungan perdagangan baik dengan China.

Tsai Ing Wen / Foto Kredit: South China Morning Post

Sumber: https://www.thefamouspeople.com/profiles/tsai-ing-wen-7434.php

11. Nepal

Bidhya Devi Bhandari

Sebelum menjadi Presiden Nepal, beliau memegang beberapa jawatan penting seperti Menteri Alam Sekitar dan Populasi pada 1990 dan Menteri Pertahanan pada 2009.

Bahkan, beliau telah mengetuai Pertubuhan Wanita Nepal selama dua dekad. Beliau mentadbir Nepal sebagai Perdana Menteri wanita pertama dari tahun 2009 hingga 2011.

Bidhya Devi Bhandari / Foto Kredit: constitutionnet.org

Sumber: India Today

12. Singapura

Halimah Yacob

Ingat lagi tak, Halimah Yacob baru sahaja diisytiharkan sebagai Presiden Singapura pada tahun lalu (2017) setelah 16 tahun terlibat dalam bidang politik.

Beliau telah menyandang jawatan Presiden wanita pertama Singapura, dan Presiden Melayu pertama dalam 47 tahun, iaitu selepas Yusof Ishak, di awal penubuhan negara tersebut pada tahun 1965.

Foto Kredit: tnp.sg

Apa Kata Anda?

Macam tak sangka, dah banyak juga negara yang pernah dipimpin oleh wanita sebagai Presiden atau Perdana Menteri. Inipun baru dalam Asia saja, belum lagi negara-negara dari benua Eropah, Amerika, Australia dan sebagainya.

Apapun, ternyata rakyat kini dilihat lebih berfikiran terbuka dan semakin bijak menilai dalam membuat pilihan. Asalkan telus, bertanggungjawab dan sedia berkhidmat, itulah yang diharapkan oleh rakyat!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×