Nur

5 Fakta Tentang Wanita Malaysia Yang Ditawan Israel Dalam Misi Keamanan Gaza

7
SHARES

Viral hari ini tentang penahanan rejim Israel ke atas 13 wanita yang menyertai misi keamanan Women’s Boat To Gaza apabila terputus hubungan sejak jam 8.58 Rabu, 5 Oktober 2016.

Ia mendapat perhatian luar biasa di Malaysia kerana Women’s Boat To Gaza disertai oleh salah seorang serikandi Malaysia, Dr Fauziah Hasan yang berada di atas kapal Zaytouna-Oliva bersama 12 lagi wanita pelbagai latar belakang daripada mewakili negara antarabangsa seperti Norway, Sweden, US, Algeria, Australia, Sepanyol, dan Russia.

Ahli misi datang ke Gaza hanya dengan tujuan membawa mesej solidariti dan membawa perhatian dunia terhadap Israel agar menghentikan sekatan yang dibuat lebih 10 tahun ke atas Palestin.

Berikut adalah 5 fakta tentang serikandi Malaysia yang berani dan hebat ini.

Foto Kredit: Facebook Rose2Rose

Foto Kredit: Facebook Rose2Rose

5 Fakta Tentang Wanita Malaysia Yang Ditawan Israel Dalam Misi Keamanan Gaza

1. Latarbelakang & Keluarga

Wanita hebat ini dilahirkan di Kuala Terengganu, pada tahun 1957.

Dr Fauziah Mohd Hasan telah berkahwin dengan Prof Dr Alauddin Mohd Ali pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak dan enam orang cucu.

Foto Kredit: aqsa2gaza3.blogspot.my

Gambar kenangan Dr Fauziah, suami dan sebahagian keluarga di rumahnya bersama Imam Muda Palestin. / Foto Kredit: aqsa2gaza3.blogspot.my

2. Pendidikan & Kerjaya

Beliau telah menerima ijazah MBBS daripada University of Tasmania, Australia pada tahun 1982.

Dr Fauziah merupakan Felo di Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003 dan berkhidmat sebagai Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak tahun 1997.

3. Misi Kemanusiaan Pertama Di Kosovo

Dr Fauziah Mohd Hasan mula membabitkan diri dalam misi kemanusiaan sejak September 1999 dengan misi pertama ke Kosovo bersama MERCY Malaysia.

Beliau telah menyertai pelbagai kempen untuk melindungi ramai wanita dan kanak-kanak mangsa peperangan dan bencana di Palestin, Syria dan Rohingya, termasuk menganggotai satu misi ke Gaza (2012 dan 2009). Sebelum itu, beliau telah menyertai banyak lagi misi keamanan di Pakistan (2005), Aceh (2005), Afghanistan (2001,2002,2003) dan Maluku Indonesia. (2000).

Pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif dari tahun 2010 dan kini ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, beliau juga merupakan Penasihat Rose2Rose (R2R) sejak 2011, iaitu agensi memperkasakan wanita dan kanak-kanak.

boat to gaza

Foto Kredit: Laman Facebook Rose2Rose dan YB Daroyah Alwi

4. Dinobat Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa

Dr Fauziah Mohd Hasan telah dinobatkan sebagai Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa dalam Persidangan Gabungan Antarabangsa Untuk Membantu Al-Quds dan Palestin (Multaqa Ruwwad I’tilaf) kali ke-6 yang berlangsung 21- 23 Oktober 2014.

I’tilaf merupakan gabungan NGO-NGO cakna Palestin di seluruh dunia dalam pembebasan Palestin. Antara individu yang pernah menerima anugerah daripada I’tilaf ini adalah Almarhumah Ustazah Yoyoh Yusroh (Indonesia) dan Dr Amal (Mesir).

Foto Kredit: ikram.org.my

Foto Kredit: ikram.org.my

5. Dipilih Menyertai Women’s Boat To Gaza

Pengumuman menyertai misi keamanan Women’s Boat To Gaza pada 10 Ogos 2016 oleh Sekretariat Freedom Flotilla Coalition (FFC) amat menggembirakan beliau.

Memetik daripada sidang media MyCare Malaysia semasa dipilih menyertai misi keamanan Women’s Boat To Gaza ini, beliau berkata:

Kepada rakyat Gaza, anda semua sentiasa dalam doa kami. Ini adalah pengorbanan kecil kami untuk memastikan nasib anda didengar dan diendahkan oleh dunia, insyaAllah.

Daya tahan, keberanian dan semangat kuat menghadapi kepungan, serangan, penindasan dan diskriminasi yang berterusan adalah nilai-nilai yang dapat kita pelajari dan contohi dari rakyat Palestin.

Saya telah menyaksikan semua ini apabila diberi peluang untuk memasuki Gaza sebanyak dua kali; kedua-duanya sejurus selepas serangan rejim Zionis Israel pada tahun 2009 dan 2012.

Antara aktivis lain yang terpilih ialah pemenang Anugerah Nobel 1976, Mairead Maguire dari Ireland dan juga Ahli Parlimen Green Party dari New Zealand, Marama Davidson.

Turut menyertai misi pengarah dan penulis skrip Amerika Syarikat, Naomi Wallace, atlet dan ahli akademik, Gerd Von Der Lippe dari Norway dan atlet Turki, Cigdem Topuoglo.

Reaksi Keluarga

Astro Awani melaporkan reaksi dan tindakan keluarga dalam perkembangan itu, Prof Dr Alauddin menjawab: “Bagi pihak keluarga, kami memang bersedia (dalam keadaan ini) sebab besar kemungkinan bot ini akan ditahan pihak Israel.

“Jadi, kami sebenarnya mengikut apa juga tindakan-tindakan yang akan dibuat oleh pihak MyCare dan jugak pihak FFC, iaitu mereka akan menghubungi peguam-peguam, (uruskan) kenderaan dan sebagainya, untuk mengusahakan pembebasan tahanan-tahanan itu.”

Menurut keluarga mereka, penglibatan Dr Fauziah dalam misi kemanusiaan ke negara luar sejak sekian lama telah menjadikan mereka terbiasa dengan keadaan tersebut dan redha terhadap sebarang ketentuan yang berlaku.

Kami amat kagum dengan semangat kental dan ketabahan beliau dan keluarga dalam menghadapi situasi getir ini.

boat to gaza

Suami kepada Dr Fauziah Mohd Hassan, Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali bersama anak dan cucunya ketika sidang media perkembangan terkini Women’s Boat To Gaza. / Foto Kredit: Berita Harian / NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

Menggesa Pembebasan Daripada Rejim Israel

Berikut adalah video SOS daripada beliau yang menggesa rakyat Malaysia dan semua pencinta keamanan – tidak kiralah di mana anda berada supaya membantu membebaskan mereka daripada tawanan Israel.

UPDATE: Media terkini melaporkan bahawa kesemua 13 anak kapal dan anggota misi kemanusiaan Women’s Boat To Gaza yang berada di atas kapal Zaytouna-Oliva kini berada dalam keadaan selamat, yang disahkan Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam satu sidang media.

Anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan telah dipindahkan dari Penjara Givon di Ramla (Bandar di tengah Israel) ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Israel. Kesemua mereka sedang diuruskan penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat

Salute untuk ibu hebat ini!

Pihak kami mendoakan semoga urusan mereka dipermudahkan dan misi mereka dapat dijayakan seperti yang dirancang.

Mudah-mudahan setiap daripada mereka dalam misi Women’s Boat To Gaza akan dipertemukan kembali dengan keluarga mereka dan pulang ke tanah air dengan selamat.

*Untuk maklumat lanjut dan ‘update’ terkini tentang misi Women’s Boat To Gaza, ikuti perkembangan mereka di:

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×