Tindakan membawa mercun ke sekolah bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri, malah boleh mencetuskan suasana cemas dalam kalangan warga sekolah. Itulah yang berlaku apabila seorang murid lelaki berusia 12 tahun cedera selepas mercun yang dibawanya meletup di sebuah sekolah rendah di daerah Muar, Johor, pada Selasa.
Baca juga: Kes Pelajar Tingkatan 2 Maut Di Asrama, Dipercayai Dipukul Getah Paip & Seorang Lagi Senior Ditahan
TERPENGARUH KANDUNGAN GANAS, MURID LELAKI USIA 12 TAHUN CEDERA MERCUN DIBAWA KE SEKOLAH MELETUP

Mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke HPSF, Muar untuk rawatan lanjut.
Lebih mengejutkan, siasatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pengaruh kandungan berunsur keganasan yang ditonton melalui internet.
Insiden kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan murid terbabit mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Murid cedera melecur, warga sekolah diarahkan berkumpul di kawasan selamat
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berkenaan turut mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.
Susulan insiden itu, pihak pentadbiran sekolah mengarahkan murid-murid berkumpul di kawasan selamat bagi memastikan keselamatan mereka.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati murid terbabit dipercayai terpengaruh dengan kandungan berunsur keganasan yang ditonton menerusi internet.
“Berdasarkan siasatan awal, murid terbabit dipercayai terpengaruh dengan kandungan berunsur keganasan yang ditonton melalui internet.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan faktor yang mendorong kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sekadar gambar hiasan.
Polis periksa kawasan sekolah, beberapa barangan dirampas
Bagi memastikan tiada ancaman susulan, polis menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian dengan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar serta Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang ancaman bahan letupan lain dikesan di kawasan sekolah berkenaan.
Polis turut melakukan pemeriksaan di kediaman murid terbabit dan merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian untuk membantu siasatan.
Setakat ini, seramai enam saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan, manakala usaha mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes tersebut masih diteruskan.
“Mahkamah Majistret Muar turut membenarkan perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sumber: Sinar Harian
