Selari dengan perkembangan teknologi dengan mempunyai lambakan platform media sosial, memuat naik gambar selfie sama ada secara individu atau bersama pasangan sudah menjadi kebiasaan. Namun, ada berita yang agak mengejutkan buat anda yang selalu ‘berselfie’ bersama pasangan…
Kajian mendapati pasangan yang kerap berkongsi gambar selfie di laman media sosial dikatakan sebenarnya TIDAK BAHAGIA seperti mana yang mereka mahu orang luar percaya bahawa mereka bahagia! Betul ke?
Baca juga: Ciri Suami Curang VS Suami Setia, Ini Cara Nak Kenalpasti Pada Pasangan Anda!
PASANGAN KERAP MUAT NAIK GAMBAR SELFIE SEBENARNYA TAK BAHAGIA?
Penemuan ini adalah berdasarkan keputusan kajian yang dijalankan oleh Shotkit melibatkan 2,000 pasangan berusia 18 hingga 50 tahun. Ini adalah untuk mengkaji tahap kebahagiaan, serta tabiat penggunaa media sosial.
Hasil kajian mendapati individu yang berkongsi tiga atau lebih hantaran gambar swafoto bersama pasangan setiap minggu didakwa 128 peratus kurang bahagia berbanding dengan individu yang tidak berbuat demikian. Lebih mengejutkan lagi, hanya 10 peratus pasangan yang suka berkongsi gambar bersama pasangan di media sosial mengakui hubungan mereka “lebih bahagia”.
Sementara 46 peratus pasangan yang jarang berkongsi kehidupan peribadi termasuk pasangan di media sosial mengakui mereka “lebih bahagia”.
Berdasarkan ‘survey’ yang dilakukan ini, pengkaji mencadangkan bahawa masalah kepercayaan terhadap pasangan mungkin menyebabkan ‘pasangan yang tidak bahagia’ memilih untuk kerap berkongsi berkenaan pasangan mereka di media sosial.
Selain itu, alasan utama yang diberikan kenapa mereka kerap memuat naik gambar pasangan adalah untuk memaklumkan bahawa status diri sendiri atau pasangan bahawa mereka sudah dimiliki.
Menariknya, hubungan mesra yang ditunjukkan di media sosial adalah lebih ketara dalam kalangan pengguna yang lebih berusia. Secara purata, generasi milenial lebih cenderung untuk berkongsi hantaran swafoto ‘sweet-sweet’ bersama pasangan berbanding generasi lebih muda, Gen Z. Mungkin boleh diambil kira bahawa ketika zaman dulu tidak terlampau terdedah dengan media sosial.
Walaubagaimanapun, pengkaji menegaskan berkongsi gambar berkenaan pasangan di media sosial tidak lah semuanya buruk.
“Ini tidak bermakna bahawa berkongsi berkenaan pasangan di media sosial adalah satu perkara yang tidak baik.
”Cuma dalam kes ini (hasil tinjaun), pepatah ‘indah khabar dari rupa’ adalah tepat. Kami berharap bahawa tinjauan ini memberikan sedikit pandangan dan mungkin idea untuk difikirkan orang ramai” jelasnya.
*Buat anda yang 24 jam perlu ‘selfie’ bersama pasangan dan betul-betul bahagia, boleh teruskan apa yang dilakukan sebelum ini. Apa yang penting adalah kita sendiri tahu mengenai situasi rumahtangga kita dan tidak perlu pengesahan dari orang luar.
Baca juga: Tiada Istilah ‘Kawan Baik’ Selepas Bercerai, Anak-Anak Bukan Alasan Untuk Bergaul Rapat
Sumber: Wolipop