Dalam masyarakat kita, masalah kesihatan mental atau gangguan perasaan masih kurang mendapat perhatian berbanding negara luar. Malah, ada yang takut untuk mengakui simptom yang dihadapi kerana tidak mahu dianggap ‘tidak waras’ atau ‘gila meroyan’.
Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, secara spesifiknya gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya. 3 peringkat ini adalah postpartum blues, pospartum depression dan yang paling merisaukan ialah pospartum psikosis.
Gangguan perasaan ini boleh menyerang sesiapa saja termasuklah beberapa selebriti terkenal. Apa yang boleh kita contohi daripada mereka adalah bagaimana mereka bersikap terbuka dengan masalah tersebut dan cuba mendapatkan bantuan bagi membolehkan mereka mengatasinya.
7 Selebriti Wanita Yang Berjuang Melawan ‘Postpartum Depression’
1. Brooke Shields
Brooke Shields boleh dianggap antara selebriti yang paling awal membicarakan tentang postpartum depression pada tahun 2003, di kala ketika itu kes ini masih belum banyak terlihat di paparan akhbar.
Menurutnya, begitu banyak cara yang dilakukan untuk membolehkannya hamil dan siapa sangka selepas kelahiran puteri pertamanya, postpartum depression yang dialaminya menjadi amat serius. Malah, Brooke Shields mengaku bahawa gangguan tersebut menjadikannya tidak mampu berbuat apa-apa untuk bayinya termasuklah mendukung atau memandangnya.
Oleh sebab ini, Brooke Shields pernah dikritik hebat dan terpaksa mengambil antidepresan bagi membantunya meredakan perasaan tersebut. Kisah ini diceritakan sendiri olehnya dalam sebuah buku yang bertajuk Down Came the Rain: My Journey Through Postpartum Depression.
2. Courteney Cox
Pelakon terkenal yang membintangi drama televisyen bersiri Friends ini mengisahkan pengalamannya seolah-olah mengalami ‘rasukan’ yang membuatnya mahu membunuh diri dan terjun ke dalam gaung sewaktu memandu.
Semua ini dialaminya selepas 6 bulan melahirkan anak perempuannya, Coco pada tahun 2004. “Pada saat itu, begitu sukar untuk tidur, jantung saya berdetak laju. Dan saya berasa sangat tertekan.”
Selain mendapatkan rawatan serta preskripsi ubat-ubatan daripada doktor, Courteney juga banyak mengadukan masalah dan mendapatkan sokongan keluarga terdekat dan rakan baiknya.
3. Gwyneth Paltrow
Setelah melahirkan anak keduanya, Moses pada tahun 2006, Gwyneth Paltrow mengatakan kepada majalah Vogue UK, “Ia adalah saat terendah saya, saya tak ubah seperti robot, tak dapat merasakan apapun. Saya tak mempunyai naluri keibuan dan tak merasakan hubungan dengannya. Bahkan ketika saya melihat foto-fotonya di usia tiga bulan, saya tidak dapat mengingat apapun.”
Suaminya Chris Martin, yang juga vokalis kumpulan Coldplay, mengagak bahawa Paltrow menghidap postpartum depression. Setelah itu mereka mencari khimat perubatan profesional dan kemudian berjaya membebaskan diri daripada masalah tersebut. Menurut sumber, Paltrow juga mengakui bahawa membuat aktiviti senaman sedikit sebanyak juga membantunya sembuh dari kondisi tersebut.
4. Adele
Walaupun sering terlihat berpewatakan ceria dan kelakar, siapa sangka Adele pernah mengalami postpartum depression yang agak serius selepas kelahiran anak lelakinya, Angelo. Walaupun jarang berkongsikan kisah peribadinya kepada peminat, beliau mahu perjuangannya ini memberi inspirasi kepada wanita yang turut mengalaminya.
Menurut TIME, gangguan tersebut menyebabkannya takut tidak mampu memberikan yang terbaik dan kadangkala merasa telah membuat keputusan terburuk dalam hidupnya.
Berbeza daripada simptom depresi yang biasanya melahirkan perasaan negatif terhadap bayi, Adele mengakui seolah-olah terlalu obses dengan anaknya. Walaupun kini beliau telah pulih daripada masalah tersebut, rasa bersalah sering menghantui dirinya – terutamanya dalam hal membahagikan masa antara kerjaya dan pengasuhan anak.
5. Hayden Panettiere
Pada September 2015, bintang yang pernah terkenal dengan drama Heroes ini mendedahkan bahawa beliau mengalami masalah postpartum depression selepas kelahiran anak perempuannya, Kaya Evdokia pada Disember 2014. Selepas beberapa bulan kelahiran bayinya, Hayden mendapatkan khidmat profesional di pusat rawatan bagi membantunya bangkit daripada gangguan perasaan tersebut.
Walaupun simptom yang dialaminya tidak diceritakan dengan lanjut, tetapi Hayden berkata bahawa ia tidaklah menjadikannya mahu mencederakan bayinya. Selepas beberapa bulan menjalani rawatan, beliau telahpun pulih sepenuhnya dan nampak lebih yakin apabila tampil bersama anak kecilnya di tempat umum.
6. Drew Barrymore
Drew Barrymore melalui kehamilan dan kelahiran yang lancar selepas melahirkan anak pertamanya, Olive. Itulah sebabnya setelah melahirkan anak keduanya, Frankie, Drew Barrymore merasakan seolah-olah tak tahu apa yang terjadi pada dirinya.
Ia adalah sebuah perasaan yang ganjil, berbeza dengan perasaan senang hati yang dirasakan ketika kelahiran anak pertamanya. Pada ketika itu, barulah beliau memahami apa yang diperkatakan tentang postpartum depression dan ia tak ubah seperti berada di bawah ‘awan yang mendung’.
“Segala-galanya nampak tak terurus dan saya tak tahu apa yang patut dilakukan,” ujarnya. Drew Barrymore menjelaskan bahawa simptom berakhir selepas tempoh 6 bulan.
7. Celine Dion
Selepas melahirkan anak kembar yang dianggap ‘miracle’ pada tahun 2010, Celine Dion tidak menyangka bahawa rasa gembira yang dirasainya tiba-tiba dirundung dengan rasa keletihan yang melampau sehingga beliau menangis tanpa alasan yang munasabah.
Perasaan yang silih berganti ini berterusan dan Celine Dion menekankan bahawa sokongan emosional daripada orang terdekat sangat penting dalam membantunya melalui saat ini.
Jangan Malu & Teragak-agak Dapatkan Bantuan. Ramai Lagi Wanita Yang Mengalaminya
Selain selebriti terkenal yang disebutkan di atas ini, ramai lagi nama-nama terkenal seperti Alanis Morrisette, Kristen Bell, Chrissy Teigen dan Angelina Jolie yang turut berjuang melawan masalah postpartum depression.
Ia membuktikan bahawa proses kehamilan, kelahiran, dan penjagaan bayi bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh seorang wanita, apatah lagi tanpa sokongan daripada pasangan dan keluarga.
Bagi mengurangkan masalah tersebut, biasakan diri dengan bahan-bahan bacaan sebelum mengandung, jaga kesihatan semasa berpantang, dan dapatkan rehat yang cukup. Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan dan berusahalah mendekatkan diri kepada Tuhan.
*Anda ingin tahu adakah anda stres? Depresi? Anxiety? Jalani saringan kesihatan mental (DASS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di SINI.