Advertorial

Malas Membaca? Baca 5 Fakta Mengejutkan Tentang Membaca Ini. Ibu Bapa & Anak Perlu Tahu!

4.7K
SHARES

Di Malaysia ni, jangankan orang dewasa, golongan belia dan kanak-kanak pun makin ramai dijangkiti penyakit malas membaca. Sebab itu Malaysia tak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index atau lebih tepatnya budaya membaca di Malaysia tidak melebihi 3 jam seminggu!

Jika hal ini berterusan, macam mana kita nak jadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030 seperti yang disasarkan Kementerian Pendidikan? Jom admin kongsi sikit fakta mengejutkan tentang membaca yang anda belum tahu. Lepas ni, confirm anda sekeluarga akan rajin membaca!

1. Membaca mengurangkan stres sebanyak 68%

Kajian University of Sussex pada tahun 2009 telah membuktikan membaca selama 6 minit sehari mampu mengurangkan stres sebanyak 68%. Ia lebih pantas dan berkesan dari kaedah berehat lain seperti mendengar muzik atau minum secawan teh panas.

Bayangkan jika anda luangkan masa sekejap bersama anak dengan membaca, stres selepas pulang kerja dapat dihilangkan dan hubungan dengan anak pun makin erat!

2. Membaca 20 minit sehari, setahun belajar 1.8 juta patah perkataan

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak untuk membaca. Jika anda galakkan anak sejak tadika dengan membaca 20 minit sehari di rumah, setahun mereka akan belajar 1.8 juta patah perkataan dengan meluangkan kira-kira 851 jam menjelang Darjah 6.

Jika mereka menduduki peperiksaan, mereka berupaya untuk mendapat markah lebih tinggi berbanding 90% daripada rakan sebaya mereka. Banyak manfaatnya membaca ni selain membantu perkembangan otak dan menguatkan hubungan kekeluargaan tau!

3. Kurang membaca meningkatkan risiko untuk anak mempunyai masalah untuk bercakap

Kesukaran menyebut dan mengenalpasti perkataan adalah masalah besar kanak-kanak jika mereka kurang membaca. Bila mereka kurang membaca, mereka sukar untuk memahami bunyi perkataan. Seterusnya, mereka hilang keyakinan untuk bercakap jika terus menerus tidak membaca.

Justeru, luangkanlah masa sedikit untuk anak dan ajak mereka untuk membaca walaupun sekejap. Sebagai ibu-bapa, anda berperanan untuk meningkatkan keyakinan anak. Jangan sesekali abaikan mereka kerana masalah sukar bercakap sangat digeruni pada masa ini!

4. Mempunyai ruang membaca dan buku sendiri di rumah sangat bagus

Bila anak ada ruang membaca sendiri di rumah dan mempunyai sekurang-kurangnya 20 buku milik mereka, secara tak langsung mereka mencapai 3 tahun awal tempoh persekolahan daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai buku di rumah.

Menurut kajian 20 tahun yang dijalankan Mariah Evans di University of Nevada, pendidik berpendapat anak akan mewarisi kepandaian ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi. Namun, keputusan mengejutkan bahawa anak yang dibesarkan dengan buku di rumah memberi kesan besar pada tahap pendidikan anak apabila meningkat dewasa.

Jadi, rajin-rajinkan beli buku untuk anak dan wujudkan ruang membaca di rumah supaya anak lebih cepat belajar!

5. Baca satu buku sehari, 1,825 buku dapat dibaca pada hari jadi ke-5 anak anda

Macam yang admin kongsikan tadi, luangkan masa untuk membaca dengan anak selama 20 minit pun dah cukup sehari. Bayangkan satu hari anda bacakan satu buku untuk anak, menjelang usia mereka 5 tahun, mereka dapat baca 1,825 buah buku dan 9 juta patah perkataan dapat dipelajari sepanjang tempoh 5 tahun!

Banyakkan membaca, Malaysia bakal jadi negara membaca menjelang 2030

Bagaimana? Anda masih lagi mahu teruskan perangai malas membaca? Jika ya, sampai bila-bila pun ilmu tak berkembang dan sasaran Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030 pun tak dapat dicapai.

Justeru, 13 Februari 2019 lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri melaksanakan Kempen Membaca Kebangsaan (KMK) dan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030!

Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik, kerajaan juga mensasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang tahun 2020 berbanding 19,713 judul tahun lalu.

Selain itu, bagi memastikan KMK mencapai keberhasilan yang dihasratkan, bermula tahun ini hingga 2020, pihak kementerian akan menjalankan kempen KMK dengan lebih giat lagi!

Antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk Kempen Membaca Kebangsaan ini adalah…

  • Kepelbagaian program membaca
  • Pembangunan prasarana dan aktiviti membaca
  • Pesta Buku sebagai Destinasi Perbukuan Masyarakat
  • Pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak
  • Capaian buku digital/e-buku
  • Pendidikan sepanjang hayat

Bagi melaksanakan KMK, Kementerian Pendidikan mensasarkan beberapa kelompok sasaran iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar IPTA/IPTS, masyarakat umum, penjawat awam dan belia.

Ayuh kita sama-sama berganding bahu bagi menjadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030 melalui Kempen Bahasa Kebangsaan bermula hari ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×