Euforia Bola 2026
Sihat

Rabies Ragut Nyawa Lelaki Usia 31 Selepas Digigit Anjing Terbiar, Kes Pertama Di Kedah Sejak 1998!

DIJANGKITI RABIES

Seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti rabies, menjadikan kes berkenaan sebagai kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri itu sejak 1998.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, lelaki terbabit mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu. Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian, namun tidak menerima rawatan profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.

Baca juga: “Seram Bila Dengar ‘Kod Merah’ Di Hospital…”- Rupanya Wanita Hamil Meninggal Dunia, Ramai Baru Tahu Maksudnya

LELAKI MAUT DIJANGKITI RABIES, KES PERTAMA SELEPAS 1998

DIJANGKITI RABIES

Keadaan kesihatannya mula menunjukkan perubahan pada 18 September apabila dia mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada bahagian anggota atas kanan badan.

Beberapa hari kemudian, pada 22 September, dia mula mengalami gejala yang lebih serius termasuk kesukaran menelan, hidrofobia (takut kepada air), aerofobia (takut kepada udara atau hembusan angin), keresahan serta perubahan tingkah laku.

“Pada 23 September 2026, dia mendapatkan rawatan semula dan seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” menurut kenyataan itu.

Sampel klinikal kemudian diambil pada 24 September sebelum keputusan ujian makmal yang diterima pada 26 September mengesahkan lelaki berkenaan dijangkiti rabies.

Lebih 500 kes gigitan dan cakaran dilaporkan

JKN Kedah turut memaklumkan bahawa sehingga Ogos lalu, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di negeri tersebut.

Daripada jumlah berkenaan, anjing mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 65.3 peratus, diikuti kucing sebanyak 23.1 peratus dan haiwan lain sebanyak 11.6 peratus.

Berdasarkan keseluruhan kes yang dilaporkan, 56.2 peratus melibatkan haiwan peliharaan, manakala baki 43.8 peratus pula melibatkan haiwan terbiar.

Susulan kematian tersebut, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) dan agensi berkaitan mengambil beberapa langkah kawalan bagi mengurangkan risiko penularan rabies.

Antara tindakan yang dijalankan termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan kepada masyarakat, pengukuhan pemantauan kes gigitan haiwan serta penilaian risiko dan kawalan terhadap haiwan terbiar.

DIJANGKITI RABIES

Siasatan dijalankan bagi kenal pasti sumber jangkitan

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKN Kedah dan agensi berkaitan turut menjalankan siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber jangkitan serta laluan pendedahan kepada virus rabies.

Siasatan tersebut merangkumi penelitian terhadap sejarah perjalanan, pendedahan kepada haiwan, kontak rapat dan faktor risiko lain yang berkaitan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri, menyentuh atau memberi makan kepada haiwan terbiar bagi mengurangkan risiko terkena gigitan atau cakaran.

Pemilik anjing dan kucing pula disaran memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima vaksinasi anti-rabies mengikut nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah.

Baca juga: Susah Nak Dapat Slot ‘Dine In’ Di Rembayung Kerana Scalper, Khairul Aming Uji Sistem Booking Baharu

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×