Seperti yang kita tahu, kisah Rasulullah SAW sering menjadi inspirasi buat semua umat Islam malah yang bukan beragama Islam juga. Kisah inspirasi itu juga termasuk mengenai cara Baginda menjaga rumah tangga berpoligami iaitu isteri Rasulullah SAW terdiri daripada ramai wanita.
Jangan salah faham, ada hikmah sebenarnya perkahwinan poligami yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dan bukan berdasarkan nafsu seperti kebanyakan lelaki zaman sekarang. Jom kita baca dan hayati apakah hikmah di sebalik perkahwinan poligami tersebut.
Baca juga: 7 Nasihat Pernikahan Dari Ustaz Abdul Somad, Lahirkan Rumah Tangga Penuh Masam Masam Manis!
ISTERI RASULULLAH SAW ADA RAMAI? INI HIKMAH DI SEBALIK POLIGAMI ZAMAN ITU
Hikmah-hikmah di sebalik rumah tangga poligami Nabi Muhammad SAW, selepas kewafatan Khadijah binti Khuwailid.
1. Nabi mengahwini Saudah binti Zam’ah, tiga tahun selepas kewafatan Khadijah binti Khuwailid.
Saudah telah berkorban demi Islam dengan berhijrah ke Habsyah. Suami Saudah meninggal dunia selepas pulang dari Habsyah.
Hikmah : Perkahwinan dengan Saudah bukan berdasarkan nafsu. Sebaliknya kerana Nabi mengasihani Saudah yang merupakan seorang janda yang sudah tua.
2. Nabi mengahwini Aisyah binti Abu Bakar yang pada ketika itu masih seorang kanak-kanak.
Pada waktu itu masyarakat Arab Jahiliyah tergamak membunuh anak perempuan kerana khuatir membawa sial.
Hikmah : Nabi boleh sahaja mengambil Aisyah sebagai anak angkat, namun Nabi mengambil Aisyah sebagai isteri untuk menunjukkan betapa ajaran Islam memuliakan kanak-kanak perempuan.
3. Hafsah binti Umar merupakan seorang janda yang dikahwini oleh Nabi setelah kematian suami Hafsah dalam peperangan.
Selepas berkahwin dengan Hafsah, Nabi menjadi menantu kepada Umar Al-Khattab, seorang pemimpin yang digeruni oleh bangsa Arab Jahiliyah.
Hikmah : Maka kedudukan Islam semakin kukuh, kerana Nabi kini merupakan menantu kepada Abu Bakar dan juga menantu kepada Umar, dua pemimpin yang sangat dihormati di Mekah.
4. Zainab binti Khuzaimah pernah berkahwin beberapa kali sebelum berkahwin dengan Nabi.
Suami-suami terdahulu Zainab meninggal dunia dalam Perang Badar dan Perang Uhud. Zainab hidup miskin selepas kematian suaminya, lalu Nabi melamar Zainab.
Hikmah : Perkahwinan ini menunjukkan bahawa nasib balu yang suaminya terkorban dalam peperangan hendaklah dijaga oleh kaum Muslimin.
5. Nabi mengahwini Ummu Salamah.
Seorang janda yang memiliki 4 orang anak yang masih kecil, selepas kematian suaminya dalam Perang Uhud.
Hikmah : Dengan mengahwini Ummu Salamah, Nabi telah menjaga dan melindungi 4 orang anak yatim.
6. Zainab binti Jahshy ialah sepupu Nabi yang pernah berkahwin dengan anak angkat Nabi, iaitu Zaid Al-Harithah.
Rumah tangga Zainab dengan Zaid tidak bahagia, lalu mereka bercerai. Nabi mendapat wahyu untuk memperisterikan Zainab.
Hikmah : Perkahwinan Zainab dengan Nabi membawa syariat Islam mengenai hukum anak angkat yang tidak sama taraf dengan anak kandung. Zaid Al-Harithah merupakan anak angkat Nabi, bukan anak kandung Nabi. Oleh itu bekas isteri Zaid bukanlah menantu Nabi, maka Zainab boleh dikahwini oleh Nabi.
7. Juwairiyah binti Harith mengahwini Nabi setelah kaumnya, Bani Mustalaq kalah dalam peperangan dengan tentera Islam.
Suaminya terkorban, manakala seluruh kaumnya menjadi hamba. Selepas perkahwinan ini, Nabi memberi jaminan bahawa Bani Mustalaq tidak akan diapa-apakan.
Hikmah : Terpesona dengan akhlak Nabi, seluruh Bani Mustalaq memeluk Islam. Perkahwinan ini telah menyebarluaskan dan menambah penganut Islam.
8.Ummu Habibah binti Abu Sufyan ialah seorang janda dan merupakan anak kepada Abu Sufyan.
Abu Sufyan sangat keras menentang Islam. Semasa Ummu Habibah berkahwin dengan Nabi, bapanya masih belum memeluk Islam. Abu Sufyan hanya memeluk Islam semasa peristiwa Fathul Makkah.
Hikmah : Perkahwinan anak seorang pembesar kafir Quraisy dengan Nabi menunjukkan kemuliaan dan kebesaran Islam.
9. Safiyah binti Huyay ialah anak kepada pemimpin Bani Nadhir yang berbangsa Yahudi di Madinah.
Safiyah memerangi Islam bersama suaminya, tetapi suaminya terkorban dalam Perang Khaibar. Nabi mengahwini Safiyah setelah Safiyah bersedia memeluk Islam.
Hikmah : Perkahwinan Nabi dengan seorang wanita Yahudi menunjukkan bahawa agama Islam tidak memandang asal keturunan dan bangsa seseorang.
10. Isteri terakhir yang dikahwini oleh Nabi ialah Maimunah binti Harith.
Dua orang adik-beradik Maimunah berkahwin dengan dua orang bapa saudara Nabi, iaitu Abbas bin Abdul Mutalib dan Hamzah bin Abdul Mutalib. Selepas berhijrah ke Madinah, pada tahun ke-7 Hijrah, Nabi kembali ke Mekah untuk mengerjakan umrah, setelah gencatan senjata melalui Perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Pada masa inilah Nabi mengahwini Maimunah.
Hikmah : Perkahwinan Nabi dengan Maimunah mengukuhkan kembali kedudukan Nabi di kalangan masyarakat Mekah, selepas Nabi dan umat Islam berhijrah ke Madinah.
*Poligami yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bukan atas dasar nafsu ya..
Sumber: Asiah Abd Jalil