Ustaz Abdul Somad merupakan seorang pendakwah dan ulama agama popular dari Indonesia. Beliau sering dikenali dengan ceramah mengenai alam rumah tangga dan selalu selit gurauan untuk memudahkan pemahaman orang ramai. Bukan sahaja di Indonesia, malah umat Islam di seluruh Asia turut menggunakan ceramah beliau sebagai panduan terutama sekali tentang hubungan suami isteri.
Jadi, sempena Sirap Limau juga sedang giat berkempen mengenai alam rumah tangga dalam Masam Masam Manis, berikut merupakan antara 7 nasihat dunia perkahwinan yang disenaraikan oleh Ustaz Abdul Somad. Semoga bermanfaat!
7 NASIHAT PERNIKAHAN DARI USTAZ ABDUL SOMAD UNTUK RUJUKAN
1.Jodoh kita sudah tertulis sebelum langit dan bumi diciptakan
Ustaz Abdul Somad dalam video kuliahnya mengingatkan bahawa jodoh adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah sebelum segala-galanya tercipta. Malah, nama pasangan suami isteri telah tertulis di Luh Mahfudz, papan takdir yang dijaga oleh malaikat.
2. Bukan hanya menyatukan lelaki dan wanita, tapi dua keluarga besar
Melalui perkahwinan lah dua keluarga besar bergabung menjadi satu. Ustaz Abdul Somad mengajak pasangan untuk memahami kepentingan menyatukan dua keluarga yang berbeza latar belakang seperti perbezaan adat resam, pendidikan dan gaya hidup. Ini melatih kita untuk menghormati dan menyatupadukan keluarga antara satu sama lain di sepanjang perjalanan perkahwinan.
3. Pernikahan adalah untuk melahirkan generasi agama Nabi Muhammad SAW
Ustaz Abdul Somad menegaskan perkahwinan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak peribadi, malah melahirkan zuriat yang soleh dan taat kepada agama. Perkahwinan adalah seruan untuk kita menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan mendidik generasi yang berakhlak mulia seterusnya melahirkan generasi yang cintakan agama dan Rasul.
4.Pernikahan adalah amanah
Sebagai pasangan suami isteri, anda juga diberi mandat dan tanggungjawab untuk menjaga, mendidik, dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan teladan yang baik. Tugas suami dan isteri adalah untuk cuba melindungi, membimbing dan memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak yang dijadikan amanah.
5.Bangunkan ikatan pernikahan dengan mawaddah
Ustaz Abdul Somad menekankan pentingnya membina ikatan perkahwinan dengan mawadah (kasih sayang), rahmah (belas kasihan), cinta dan kasih sayang yang kukuh.
6.Dalam pernikahan, berbahagialah dengan kebahagiaan orang lain..
Ustaz Abdul Somad mengajak pasangan suami isteri untuk sentiasa berkongsi kebahagiaan bersama orang tersayang mahupun orang sekeliling. Selain itu, beliau turut berpesan kepada setiap pasangan suami isteri untuk menunjukkan rasa empati dan prihatin terhadap kesedihan dan penderitaan orang lain. Sikap empati dan prihatin adalah kunci untuk membina ikatan yang lebih mendalam dalam perkahwinan.
7.Doa adalah kunci kebahagiaan
Untuk menjadi keluarga yang sakinah, mawadah, warahmah, Ustaz Abdul Somad mengingatkan pasangan suami isteri bahawa doa adalah kunci untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia dan harmoni. Sangt molek untuk anda sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon petunjuk, rahmat dan perlindungan dalam kehidupan berumah tangga dan mesti menjadi sebahagian daripada rutin harian.
*Jadi, buat anda yang sedang melayari bahtera perkahwinan, sematkanlah nasihat ini di dada dan jadikan sebagai amalan. Siapa yang tidak mahu alam rumah tangga bahagia hingga ke syurga bukan?
Baca juga: 10 Kerabat Diraja Yang Kahwin Dengan Rakyat Biasa, Demi Cinta Lautan Api Sanggup Diredahi!
Sumber: PopMama via Ustaz Abdul Somad