Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan dibuli 12 pelajar universiti itu sehingga mengalami kecederaan teruk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata kejadian itu berlaku di salah sebuah kolej kediaman universiti berkenaan.
Baca juga: “Binatang Pun Sayang Anak”- Bayi Baru Lahir Berbalut Kain Ditemui Dalam Semak Di Belakang Surau
6 PELAJAR UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU BULI DENGAN CEKIK, TUMBUK, TENDANG
Berdasarkan laporan, kesemua pelajar berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan pukul 6 petang Selasa selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa. Mangsa yang berusia 20 tahun, pelajar Jurusan Perakaunan, dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, malah dicekik, ditendang, ditumbuk, dan dipukul dengan objek tumpul!
Mangsa kemudiannya menghubungi ibu-bapanya yang menetap di Melaka, sebelum kedua ibu bapa mangsa tiba di Kuala Nerus pada Isnin dan membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki dari Melaka mendakwa anaknya yang berusia 20 tahun telah dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar lelaki di kolej kediaman.
“Anak lelaki pengadu turut menghantar beberapa keping gambar kecederaan dialami di beberapa anggota badan dalam kejadian antara pukul 1 hingga 5 pagi pada 15 Disember lalu,” katanya.
Sangat menyedihkan apabila hasil siasatan mendapati, terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul oleh objek tumpul pada bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki sebelah kanan mangsa.
Susulan itu, pihak polis turut merampas senjata yang digunakan suspek di kolej kediaman tersebut manakala kesemua penuntut itu direman hingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Dalam pada itu, pihak UMT bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis dan menunggu hasil siasatan berhubung kejadian terbabit.
Menurut Pejabat Komunikasi Korporat UMT, pihak universiti mengesahkan terdapat laporan salah laku pelajar dan turut menjalankan siasatan.
Baca juga: “Siti Gemuk, Siti Hitam!”- Murid Tahun 1 Dibuli & Dapat Lukisan Tak Senonoh, Tak Mahu Pergi Sekolah!
Sumber: Buletin TV3