Sihat

6 Sebab Semua Wanita Mesti Buat Ujian Pap Smear. Jangan Mengelat!

19.6K
reads
masalah faraj berbau

“Alamak, doktor suruh aku buat ujian pap smear minggu depan. Baru lepas bersalin dah nak kena buat ujian pap smear lepas bersalin ke? Dengar-dengar macam ngeri pula. Malu pun ada juga. Sakit tak agaknya ya?”

Menurut sumber yang ditulis oleh Dr Shepherd melalui The New Era, setiap 1 minit seorang wanita di dunia didiagnos dengan kanser serviks atau kanser pangkal rahim. Di negara kita pula, Astro Awani melaporkan bahawa kanser serviks ini adalah kanser ketiga yang paling banyak dihidapi oleh wanita Malaysia.

Memang agak tidak menyelesakan apabila memikirkan kita terpaksa menunjukkan alat sulit kepada doktor. Namun, kanser serviks ini sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal dan mampu dirawat melalui ujian pap smear. Lagipun, prosedurnya tidaklah mengerikan seperti apa yang digambarkan dalam fikiran!

ujian pap smear

Foto Kredit: mamamia.com

Adakah Setiap Wanita Perlu Melakukannya?

Setiap wanita yang berusia antara 26 tahun hingga 70 tahun dan telah berkahwin (aktif mengamalkan seks) amat disarankan untuk melakukan pemeriksaan ini.

Menurut Dr Sandhya Pruthi, menerusi laman web MayoClinic, wanita yang telah menjalani prosedur histerektomi (membuang rahim dan serviks) secara total adalah terkecuali daripada melakukan ujian pap smear. Namun, jika anda menjalankan pembuangan rahim sebagai rawatan pra kanser, anda masih perlu melakukan pap smear secara berkala. Begitu juga dengan wanita yang telah menjalani histerektomi subtotal (membuang uterus tanpa membuang serviks).

sakit perut

Foto Kredit: blisstree.com

Ini 6 Sebab Setiap Wanita Perlu Lakukan Ujian Pap Smear

1. Dapat Mengenalpasti Ketumbuhan Peringkat Awal

Pemeriksaan Pap Smear (Papanicolaou) adalah sejenis prosedur yang perlu dilakukan dalam tempoh berkala bagi mengesan perubahan pada sel serviks di peringkat awal sebelum ia dapat merebak menjadi sel kanser. Jadi, kata kunci di sini adalah pencegahan!

Menurut Dr Ayu Akida melalui Malaysian Medical Gazette, pemeriksaan pap smear mampu mengesan sebarang ketidaknormalan pada serviks atau pangkal rahim.

Ini bermaksud, keputusan yang abnormal tidak bererti anda menghidap kanser serviks. Sebaliknya, ia mungkin juga menunjukkan terdapat jangkitan lain dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Kanser Serviks Di Malaysia

Foto Kredit: indiancarez.com

2. Prosedurnya Amat Cepat

Tahukah anda bahawa prosedur pap smear ini begitu cepat, iaitu kurang 5 minit sahaja!

Yang penting, anda perlu relaks dan tidak ‘mengeraskan’ tubuh badan anda supaya doktor lebih mudah menjalankan pemeriksaan.

ujian pap smear

Foto Kredit: aftonbladet.se

3. Ia Tidak Menyakitkan

Ujian tersebut tidaklah menyakitkan atau mengerikan seperti yang kita bayangkan, cuma ada sedikit rasa tidak selesa.

Prosedurnya secara ringkas adalah seperti di bawah ini:

  • Selepas seluar dalam ditanggalkan, anda perlu berbaring di atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.
  • Spekulum (seperti dalam gambar rajah) akan dimasukkan ke dalam vagina untuk ‘membuka’ laluan.
  • Doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel daripada dinding servik.
  • Sampel ini akan dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh ahli patologi.
ujian pap smear

Foto Kredit: cancer.gov

 

4. Hampir Semua Klinik Boleh Mengendalikannya

Terdapat banyak pilihan klinik dan doktor untuk anda memilih mengikut keselesaan anda.

Pemeriksaan ini boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan, semua klinik/hospital swasta, dan termasuklah Klinik LPPKN (Lembaga Penduduk Perancang Keluarga Negara) yang terdapat di seluruh negara.

Foto Kredit: mamari.jp

Foto Kredit: mamari.jp

5. Harganya Murah

Klinik kerajaan menawarkan ujian ini dengan harga yang amat murah, dan ada yang diberikan percuma.

Klinik LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara)  pula menawarkannya dengan harga RM 20 bagi semua warganegara Malaysia.

Di klinik swasta, mungkin harganya tinggi sedikit sekitar RM 40-RM 70, bergantung pada tempat masing-masing.

6. Hanya Dilakukan Sekali Dalam Tempoh 2-3 Tahun

Pemeriksaan ini bukanlah perlu diambil setiap bulan atau setiap tahun. Biasanya ujian kali pertama dan kedua dilakukan sekali bagi setiap 2 tahun. Sekiranya keputusan itu negatif, anda hanya perlu mengulangi setiap tiga tahun sekali.

Ini kerana, masa yang diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser adalah di antara dua hingga 10 tahun. Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap tiga tahun, peluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser adalah cerah sebelum ia menjadi kanser serviks, seperti yang diterangkan dalam Women Online Magazine.

masalah faraj berbau

Foto Kredit: healthewomen.co.uk

Jangan Mengelat, Ya!

Dr Ayu Akida turut menegaskan bahawa 3 daripada 4 wanita yang mengalami kanser serviks ini tergolong daripada mereka yang mengabaikan pemeriksaan pap smear secara berkala.

Jadi, jangan takut, jangan malu. Gagahkan diri dan buangkan semua perasaan itu jauh-jauh – untuk 5-10 minit sahaja!

Yang Popular

To Top