“Kenapa dengan suami aku ni. Nampak lain macam betul sejak baby lahir ni. Nak kata letih, aku pun letih juga. Tapi, perangai dia makin peliklah…”
Wanita memang sinonim jika dikaitkan dengan kemurungan atau meroyan selepas bersalin.
Tapi, tahukah anda bahawa sebenarnya kaum lelaki juga berpotensi mengalami masalah kemurungan ini?
5 Perkara Tentang Kemurungan Selepas Bersalin Di Kalangan Lelaki Yang Kurang Diketahui
1. Paternal Postpartum Depression (PPPD)
Kemurungan selepas bersalin di kalangan lelaki digelar sebagai Paternal Postpartum Depression (PPPD). Sungguhpun tidak begitu diketahui umum, fenomena ini semakin mendapat perhatian.
Menurut Dr Yen Teck Hoe melalui Positive Parenting, kemurungan semasa hamil dan selepas bersalin berlaku dalam anggaran 1 /10 lelaki dan angka ini meningkat dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas kelahiran bayi.
2. Punca
Apa yang kita sering dengar adalah paras turun naik hormon menjadikan seorang wanita cenderung mengalami mood swing dan perubahan emosi yang mendalam.
Sebuah kajian yang dilaporkan melalui Parents.com menjelaskan bahawa hormon dalam tubuh lelaki juga berlaku sewaktu proses kehamilan dan selepas kelahiran bayi; paras testosteron menurun, manakala estrogen, prolaktin, dan kortisol meningkat. Tidak hairanlah sesetengah lelaki turut mengalami simptom seperti loya, muntah, dan pertambahan berat badan sepanjang tempoh isterinya mengandung.
Selain itu, para psikologi juga berpendapat bahawa faktor stres yang berlaku pada kaum lelaki zaman ini turut menyumbang kepada Paternal Postpartum Depression. Dengan peningkatan kos sara hidup, isteri yang bekerja, mereka kini menanggung tanggungjawab yang kian berat dalam berkongsi beban kerja rumah serta penjagaan anak.
3. Tanda-tanda
Tanda-tanda kemurungan postpartum di kalangan lelaki tidak banyak bezanya dengan wanita. Namun apa yang paling ketara, lelaki biasanya cenderung untuk menafikan perasaan ini.
Antara tanda ini termasuklah:
- Mudah marah, berasa gelisah, tak boleh duduk diam
- Menjauhkan diri daripada bayi dan isteri
- Hilang minat atau rasa tidak gembira
- Perasaan tidak dihargai atau bersalah
- Lebih kerap bekerja lebih masa dan berada di luar rumah
- Kelesuan, tidak bertenaga, atau sentiasa letih
- Bercakap mengenai kematian atau membunuh diri
Jadi sebagai pasangan, anda perlu memerhatikan serta cuba memahami keadaannya. Jangan terus menganggapnya ‘malas’ jika mereka tak tahu apa yang perlu dibuat, tak mampu menjaga bayi dengan baik, dan nampak tidak gembira selepas kehadiran bayi.
Sebaliknya, beri sokongan kepada suami agar kondisinya dapat dirawat dan tidak menjadi lebih buruk. Mereka mungkin memerlukan sedikit masa atau rawatan yang khusus untuk menjalani tempoh tersebut.
4. Pengalaman
Mike Simms pernah menceritakan pengalaman yang dilaluinya semasa mengalami Paternal Postpartum Depression, (PPPD) melalui rancangan This Morning.
Baginya, pada awal kehamilan mereka memang agak teruja – mereka menghadiri kelas, mengecat bilik bayi, dan melakukan pelbagai persiapan untuk menyambutnya.
Ujar Mike, “Tapi, apabila tiba hari kelahiran, saya berasa trauma. Apatah lagi apabila melihat isteri saya yang terpaksa melalui proses yang dahsyat. Saya mula merasakan bahawa semuanya salah saya.”
Setelah itu, Mike mengalami kesukaran untuk bermesra dengan bayinya. Apa yang menakutkan, dia berasa cemburu apabila melihat ikatan antara anak dan isterinya.
“Saya berasa seperti seorang bapa dan suami yang gagal dan tak mampu berbuat apa-apa. Apatah lagi apabila anak saya asyik menangis dan nampak tidak selesa apabila berhadapan dengan saya.” tambahnya lagi.
Menurut isterinya, hubungan mereka sangat mesra sebelum mendapat anak. Tapi, tingkahlaku serta mood suaminya nampak semakin pelik dan mereka kerap bergaduh. Akhirnya, mereka memutuskan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan bantuan. Dari situlah mereka mengetahui tentang PPPD dan mereka berharap dengan pendedahan ini, lebih ramai pasangan akan menyedari tentangnya.
5. Risiko
Penelitian mendapati bahawa kebarangkalian untuk seorang lelaki mengalami masalah ini adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi sekiranya si isteri turut mengalami masalah kemurungan selepas bersalin.
Selain itu, Will Courtenay, seorang psikoterapi menjelaskan bahawa 50% daripada lelaki yang menghidapi PPPD pernah mengalami masalah kemurungan atau mengalami ahli keluarga yang mempunyai masalah ini.
Impak terhadap kemurungan ini boleh menjejaskan hubungan suami isteri dan juga perkembangan anak. Malah, kajian mendedahkan bahawa anak-anak yang memiliki bapa yang tertekan lebih cenderung memiliki masalah pertuturan apabila mencecah usia 2 tahun.
Jangan Malu Dapatkan Bantuan
Sekiranya anda atau suami mengalami tanda-tanda ini, ketahuilah bahawa anda bukannya bersendirian. Sekalipun penyakit ini tidak diketahui dengan meluas di Malaysia, namun ada tempat untuk anda mengadukannya dan menerima rawatan.
Selain daripada berjumpa doktor / pakar psikologi, anda juga boleh bercakap dan meluahkan perasaan dengan keluarga dan rakan-rakan. Yang penting, jangan berlengah!