Sebagai umat Islam, kita sangat dianjurkan untuk berselawat setiap hari kerana boleh mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah SWT. Bagi artikel kali ini, penulis ingin kongsikan beberapa kelebihan Selawat Tafrijiyah atau dikenali sebagai selawat Nariyah.
Selawat Tafrijiyah membawa maksud sempurna atau terbuka dan ini bermakna dengan izinNya, segala kesenangan dalam hidup akan terbuka luas.
Baca juga: Haram Pakai Rantai & Subang Luar Tudung, Trend Yang Perlu Dielakkan
KELEBIHAN SELAWAT TAFRIJIYAH, AMALKAN BACA SETIAP HARI
Antara kelebihan Selawat Tafrijiyah adalah:
1. Membuka pintu rezeki
Antara kelebihan yang sering dikaitkan dengan Selawat Tafrijiyah adalah dapat membantu membuka pintu rezeki. Dengan membaca selawat ini secara konsisten, kita berdoa agar Allah melimpahkan keberkatan dan memudahkan urusan mengenai rezeki. Selawat ini juga difahamkan dapat menarik rezeki yang tak disangka-sangka datang daripada Allah SWT.
2. Menghapuskan dosa
Kelebihan Selawat Tafrijiyah selanjutnya adalah Allah SWT akan menghapuskan dosa. Ini kerana amalan selawat merupakan tanda cinta dan penghormatan kepada Rasulullah SAW.
Setiap kali berselawat, dosa-dosa kecil akan diampunkan dan pahala yang besar diberikan oleh Allah SWT.
3. Kelebihan Selawat Tafrijiyah – hilangkan kesedihan & kegelisahan
Membaca Selawat Tafrijiyah secara konsisten juga dapat membantu menghilangkan kesedihan dan kegelisahan dalam diri. Ramai ustaz mengesyorkan untuk membaca selawat ini apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan tertekan. Dengan izin Allah, selawat ini mampu memberikan ketenangan jiwa dan hati.
4. Tingkatkan ketaqwaan
Dengan memperbanyakkan selawat, anda pasti lebih dekat kepada Allah SWT. Ini bermakna, dengan membaca Selawat Tafjiriyah secara selalu, ia akan membantu dalam meningkatkan ketaqwaan dan keimanan seseorang.
Orang yang sering berselawat juga akan lebih mudah mengingati Allah dan Rasul dalam setiap aspek kehidupan.
5. Dipancarkan Nur (cahaya) dalam hati
Kelebihan Selawat Tafrijiyah seterusnya adalah dikatakan dapat memancarkan nur atau cahaya di dalam hati seseorang yang mengamalkannya secara ikhlas.
Cahaya ini merujuk kepada cahaya keimanan, petunjuk, dan ketenangan yang dikurniakan Allah kepada hambaNya yang selalu memuji Nabi Muhammad SAW.
Hati yang dipenuhi cahaya akan menjadi lebih bersih, tenang, terhindar daripada kesempitan, kegelapan jiwa seperti hasad dengki, kemarahan, atau kegelisahan.
Masa sesuai baca selawat
Masa yang sesuai membaca selawat Tafrijiyah ini seeloknya selepas solat fardu sebanyak mana yang kita mampu.
Jadi, kelebihan Selawat Tafjiriyah tidak dapat disangkalkan lagi dan ada baiknya jika dibaca secara konsisten setiap hari. Semoga bermanfaat buat anda semua.
Baca juga: Doa Sempena Sambutan Hari Lahir Anak, Ubah Nyanyian Happy Birthday Kepada Doa, Jom Amalkan!
Sumber: Haraki