Sejak kebelakangan ini, banyak berita berkaitan penganiayaan Orang Kelainan Upaya (OKU) berlaku. Mungkin ramai yang tidak sedar dan bertindak melulu namun sebenarnya orang OKU ini mempunyai kad identiti khas. Oleh itu, kelebihan kad OKU ini perlu diketahui ramai terutama sekali buat ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Ikon Anak Istimewa Selangor ini, dia menceritakan betapa pentingnya untuk anak-anak istimewa yang masih kecil untuk mempunyai kad OKU supaya tidak ‘terkapai-kapai’ apabila dewasa kelak.
Baca juga: Mak Ayah Ada Anak OKU Layak Mohon Road Tax Percuma, Ini Caranya
ADA KELEBIHAN KAD OKU UNTUK LINDUNGI ANAK ISTIMEWA

Foto: Nur Arif
Menurut saudara Nur Arif, kad OKU sangat penting terutama bagi anak OKU yang normal secara luaran, tetapi bermasalah dalam otak seperti autisme. Hal ini kerana, mungkin waktu kecil, ibu bapa rasa tidak perlu kad OKU sebab mereka boleh lindungi anak mereka tapi bayangkan bila anak mereka dah membesar dan ibu bapa tidak larat untuk menjaga? Dengan adanya kad OKU, undang-undang boleh melindungi mereka.
“Saya pernah dilepaskan oleh ibu saya sekejap tanpa pemantauan di universiti dengan harapan saya boleh membawa diri sendiri tapi sebaliknya yang terjadi. Banyak laporan daripada orang tentang salah tingkah laku saya yang bercanggah dengan aturan sosial seperti ganggu orang lain. Dengan pensyarah pun banyak masalah. Pernah juga ada nak pukul tapi lepas jumpa, baik pula orang tu bagi duit RM20, tak jadi pukul saya,”
“Ada juga beberapa buah laporan polis dibuat terhadap saya tapi dah ditarik balik sebab ada kad OKU. Tapi saya bukan sengaja buat tu sebab alasan saya OKU. Saya tanya kakak Heaven apa salah saya? Kakak Heaven jawab, Arif tak salah, orang tu pun tak salah, tapi sebab orang tu tak faham autisme tu apa sebenarnya, ” luah Arif.
Nur Arif turut berkongsikan bahawa dia mendapat banyak bantuan dari Clinical Psychologist Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk membezakan apa yang baik dan buruk sebagai seorang yang mengalami autisme.
CARA BUAT PENDAFTARAN KAD OKU

Foto: Permohonan.my
A. Pendaftaran Baharu
Pendaftaran baharu adalah permohonan pendaftaran OKU yang dibuat untuk kali pertama. Permohonan pendaftaran memerlukan dokumen seperti berikut:
-Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya Pindaan 2019 (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja atau
-Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register of Malaysia (NSR) sahaja samada dari hospital/klinik kerajaan atau hospital/ klinik swasta;
-Satu (1) salinan sijil kelahiran/ MyKid/ MyKad;
-Satu (1) keping gambar berukuran pasport bagi pemegang Sijil Kelahiran/ MyKid.
B. Pendaftaran Semula
Pendaftaran semula adalah pendaftaran yang dibuat semula bagi pemegang Kad OKU lama yang berdaftar sebelum tahun 2011. Pemohon perlu melengkapkan BPPOKU Pindaan 2019. Pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan adalah diperlukan bagi kes-kes seperti berikut sahaja:
-Semua kategori OKU yang tidak dinyatakan sub kategori di mana-mana laporan bertulis. Maklumat diperlukan bagi tujuan mengemaskini sub kategori dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU);
–OKU fizikal yang mempunyai ketidakupayaan yang tidak jelas
C. Perubahan Kategori / Sub Kategori OKU
Bagi perubahan kategori / sub kategori OKU pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) atau Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register (NSR) dari Hospital/Klinik Kerajaan atau Hospital/ Klinik Swasta.
D. Penggantian Kad
Permohonan penggantian Kad OKU adalah untuk keadaan seperti berikut:
-Kad OKU rosak/ hilang
-Perubahan alamat di mana pemohon perlu menguruskan pertukaran alamat dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan pertukaran pada Kad OKU; dan
-Cetakan sub kategori pembelajaran pada Kad OKU bagi OKU pembelajaran yang telah dinyatakan sub kategori dalam SMOKU atau di mana-mana laporan bertulis
-Penggantian Kad tidak memerlukan pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan.
*Semua permohonan dan borang boleh didapati di laman web MyDaftarOKU iaitu KLIK DI SINI.
Baca juga: Kronologi Insiden Menyayat Hati Pakcik OKU Dipukul & Diheret Di Pasar Tani, Tergamaknya Manusia..
Sumber: Nur Arif, MyDaftarOKU