Baru-baru ini, kisah seorang pakcik kurang upaya (OKU) dipukul beramai-ramai di sebuah pasar tani di Terengganu ternyata memberi kesan mendalam kepada kita. Golongan OKU yang sepatutnya mendapat layanan elok dan teliti malah diperlakukan tanpa rasa berperikemanusiaan sebegitu.
Insiden tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan netizen, malah turut menyentuh hati seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Fiqah Suha apabila ibunya sendiri menjadi golongan OKU dengan sekelip mata.
Baca juga: Kronologi Insiden Menyayat Hati Pakcik OKU Dipukul & Diheret Di Pasar Tani, Tergamaknya Manusia..
IBU JADI GOLONGAN OKU LEPAS ALAMI KOMPLIKASI BERSALIN ANAK KE-18, HILANG INGATAN

Foto: Fiqah bersama ibunya.
Fiqah Suha menerusi laman Tiktoknya mengakui, sebagai anak jati Terengganu, dia meluahkan rasa terkilan dengan kejadian yang berlaku dan tidak dapat membayangkan jika insan istimewa seperti ibunya turut diperlakukan sedemikian.
Dalam perkongsian penuh emosi, Fiqah menceritakan kisah ibunya, berusia 59 tahun dan seorang OKU yang hilang ingatan akibat komplikasi ketika melahirkan anak ke-18 pada 2010.
“Jujur cakap, hanya yang ikhlas jaga insan istimewa begini sahaja yang mampu bersabar apa jua berlaku. Tak kan semudahnya pukul mereka walau nyawa jadi taruhan.
“Kita dikurniakan akal waras, sedang mereka diuji. Kasihi dan kasihanilah hingga akhir hayatnya,” tulisnya pada video yang tular.
Dalam video tersebut, Fiqah berkongsi kisah ibunya sehingga detik-detik terakhir sebelum ibunya mengalami masalah hilang ingatan. Menurutnya, ibunya sihat dan ceria sebelum bersalin, malah sempat menunaikan solat Zohor terlebih dahulu. Malah, dirinya dan adik beradik yang lain pun sangat teruja menanti kelahiran bayi perempuan setelah berturut dapat adik lelaki.
“AYAT AL-QURAN TAK HILANG DARI INGATAN”
@ciqaaaaaaa Sebagai orang teganu, ku rasa malu dan pilu… #kemaman #okudibelasah ♬ suara asli – yuda
Namun begitu jangka hayat bayi tersebut tak panjang. Malah, menurut Fiqah, adik beradiknya sebenarnya kini ada 14 orang, namun begitu lagi 4 tidak dapat diselamatkan di mana 3 kandungan alami keguguran dan seorang lagi meninggal dunia. Bahkan, ketika proses melahirkan bayi ke-18 ini, Fiqah menjelaskan bahawa jantung ibunya terhenti 10 minit dan ia membuatkan otak jadi terjejas sedikit.
Sejak kejadian itu, ingatan ibunya yang merupakan seorang guru mengaji terus hilang yang mana Fiqah menggambarkannya seperti seorang kanak-kanak. Menurut Fiqah, paling lama ibunya boleh mengingati sesuatu hanyalah selama 10 saat sebelum segalanya lenyap semula.
“Semua tak ingat tapi (ayat) al-Quran tak hilang (dari ingatan). Banyak ayat masih boleh sambung. Kadang baca sendiri. Dulu Umi seorang guru al-Quran. Dia mengajar anak-anak dan jiran-jiran mengaji,” katanya.
Lebih menyayat hati apabila ibu Fiqah dikatakan langsung tidak ingat tentang anak-anaknya serta menyangka dirinya masih belum berkahwin.
*Semoga anak-anak yang menjaga ibu bapa yang kurang sihat diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi. InsyaAllah, ganjaran pahala yang besar menantimu…Aaamin!
Sumber: Tiktok @FiqahSuha