Masalah gigi berlubang atau karies gigi dalam kalangan anak-anak kecil adalah perkara yang dirisaukan oleh ibu bapa. Seawal pertumbuhan gigi anak-anak haruslah dijaga dengan rapi supaya tidak akan mengalami masalah gigi yang serius. Namun ramai juga ibu bapa yang hairan kenapa gigi anak-anak masih mengalami kerosakkan walaupun diberus dan dicuci dengan kerap?
Begitu juga dengan kisah yang dikongsikan ini dimana doktor gigi mendapat pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah karies gigi yang teruk. Mana tidaknya, kanak-kanak ini sudah menahan sakit hampir 3 hari dan turut menyebabkan bengkak di kawasan muka dan mata!
ANAK MENGADU SAKIT GIGI ATAS DAH 3 HARI…
Kisah tadi tak lengkap. Saya kongsikan semula yg versi penuh. Sebab inilah kami #adminhbfm asyik cakap pasal kebersihan oral. Asyik cakap pasal ORAL STIMULATION. Asyik cakap tak apa anak meraung melalak sebab gosok gigi. Asyik cakap kena bersihkan sejak anak dalam pantang.
Tapi bila cakap, ada pulak tak percaya. Kata “eleh mana ada bebudak sakit gigi teruk teruk”. So ambillah pedoman dan iktibar ini!
“Ini doktor Azila ke?” Aku menjawab “ya, saya..”.
Beliau bertanya lagi “Boleh jumpa doktor terus di klinik tak?”
Kepala aku ligat berfikir, seingat aku berderet temujanji aku pagi ini. Maka aku jawab sambil tersenyum “Cik, boleh terus telefon klinik untuk temujanji”. Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya pada aku.
Astaghfirullahalazim.. tergamam aku, terus aku cakap “Naik atas terus, saya periksa”. Setelah masuk di bilik surgeri, begini ceritanya. Ibu bapa muda ini memberitahu anaknya sakit gigi belah kanan atas mulai 3 hari lalu.
Hari pertama :
Mula-mula mereka membawa ke klinik gigi A. Setelah doktor tersebut memeriksa katanya ada gigi geraham susu yang berlubang besar. Lubang sudah mengenai saraf, maka perlu buat rawatan saraf. Tetapi doktor tersebut tidak membuat rawatan saraf (pulpotomi) pada kanak-kanak.
Doktor klinik gigi A memberi ubat tahan sakit dan antibiotik.
a) Syrup Amoxycillin 3ml 3 kali sehari.
b) Syrup Paracetamol 3ml 3 kali sehari.
Hari kedua:
Pada hari tersebut ibu bapa membawa anak ke klinik gigi B. Mereka mencari klinik gigi yang membuat rawatan saraf kanak-kanak iaitu pulpotomi.
Tidak pasti kenapa doktor tersebut tidak buat rawatan pulpotomi terus, kerana beliau memberi temujanji untuk rawatan pulpotomi. Aku berfikiran mungkin temujanji doktor tersebut penuh. Doktor klinik gigi B memberi pula ubat tambahan :
a) Syrup Metronidazole 8ml 3 kali sehari.
MUKA JADI BENGKAK, DIAGNOSIS SEBAGAI ‘FACIAL CELLULITIS’
Mereka pulang, tiba-tiba malamnya muka anak menjadi bengkak sebegini (rujuk gambar). Umur pesakit 5 tahun. Kasihan sungguh, wajahnya.. pipi bawahnya bengkak sehingga tertarik kelopak mata kanan bawah. Tertutup mata kanan pesakit !
Keadaan ini di diagnosis sebagai “FACIAL CELLULITIS”.
Sesi soal siasat oleh doktor Azila dijalankan seperti biasa. Hasil temubual dengan ibu bapa adalah :
1. Sering memberi makanan manis iaitu ‘kinderjoy’ setiap pagi. Pesakit juga kerap makan makanan yang manis-manis belaka.
2. Tidak mengamalkan rutin wajib memberus gigi anak setiap hari.
3. Tidak membawa anak untuk jumpa doktor gigi secara berkala.
Kisah pesakit ini telah mendapat ‘consent’ ibu bapa untuk disiarkan. Ini bertujuan memberi peringatan berguna buat ibu bapa lain supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, hanya kerana gigi tidak dibersihkan setiap hari dan pengambilan makanan manis.
Ramai ibu bapa tidak faham.
1. Tidak faham bahawa memberi makanan minuman manis adalah musuh utama mulut anak. Ini mengakibatkan gigi rosak.
2. Tidak faham bahawa bersihkan gigi anak itu penting. Jangan sampai gigi anak berkaries, mengadu sakit baru jumpa doktor gigi.
Adakah kita mahu anak kita berkeadaan sebegini? Kerana sikap kita yang sambil lewa gigi anak rosak, gusi bengkak kemudian muka bengkak.
RAWATAN KECEMASAN PESAKIT
Setelah saya berbincang dengan doktor Pakar Pergigian Kanak –Kanak, pesakit saya ini :
1. Saya preskripsi :
a) Syrup Augmentin 5.3ml 2 kali sehari.
b) Syrup Paracetamol 5.3ml 4 kali sehari.
(Dos ubat – ubat yang diberi mengikut berat badan pesakit)
UBAT YANG DOKTOR GIGI BERI SEBELUM INI DIHENTIKAN SERTA MERTA.
2. Pemantauan berkala oleh ibu bapa, selagi anak boleh makan dan minum, tidak perlu pergi Bahagian Kecemasan Hospital.
Kebetulan ketika itu cuti umum 2 hari Ahad hingga Isnin.
3. Hari ketiga iaitu Selasa, pesakit berjumpa aku semula. Alhamdulillah.. muka sudah surut bengkak.
4. Gigi geraham susu yang menyebabkan bengkak tersebut, terpaksa aku cabut.
KENAPA DOKTOR CABUT GIGI TERSEBUT?
Jawapannya : Agar gigi berkaries tersebut tidak menjadi punca infeksi, bengkak BERULANG SEMULA. Sekiranya terjadi situasi begini ia boleh MEMBAWA MAUT! KENAPA ?
Saya terangkan di sini.Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak kedalam otak. Keadaan dikenali sebagai SEPSIS.
Sepsis adalah keadaan dimana jangkitan disebarkan melalui darah disebabkan sistem pertahanan badan perlu bekerja lebih masa untuk melawan jangkitan. Bahan kimia yang dikeluarkan dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetuskan tindak balas keradangan di seluruh badan sekali gus ia merosakkan sistem organ. Malah sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian.
HUBUNGAN ANTARA SEPSIS DAN JANGKITAN GIGI
Apabila berlaku jangkitan gigi, ia boleh menyebabkan pulpa (gigi bahagian tengah) dijangkiti. Pulpa ini adalah bahagian gigi yang mengandungi saluran darah, tisu penghubung dalam saraf besar. Jika jangkitan berlaku, bakteria boleh keluar dari gigi ke tulang atau tisu bawah.
TANDA-TANDA JANGKITAN DALAM MULUT
• Nafas busuk.
• Rasa pahit dalam mulut.
• Demam.
• Sakit gigi.
• Gigi lebih sensitif.
• Gusi bengkak.
• Kelenjar bengkak pada leher.
• Bengkak rahang.
Sekiranya anda atau anak anda mengalami tanda-tanda diatas, sila SEGERA ke hospital untuk rawatan yang sepatutnya.
Sekian, semoga bermanfaat.
Doktor gigi Azila MK
Klinik Pergigian Azila Bangi