40 Minggu

Patutlah Kawan Baik Selalu Mengandung Serentak, Rupanya Aura Kehamilan Boleh ‘Berjangkit’!

“Kenapalah tiba-tiba ramai pulak kawan aku yang mengandung ni. Tengok FB pun sama, scroll punya scroll semua cerita orang mengandung. Elok pulak tu semua serentak. Macam berpakat je.” 

Pernah tak terfikir macam mana kita boleh mengandung serentak dengan kawan baik kita? Kalau siapa yang rajin baca kisah artis, anda mesti ingat satu masa dulu Sharifah Shahira dan Sakinah pernah hamil serentak. Begitu juga kesnya dengan kedua-dua isteri Ashraf Muslim.

Sebenarnya, mungkin ramai yang menganggapnya sebagai kebetulan. Tapi tahukah anda bahawa kajian menunjukkan bahawa aura kehamilan ini boleh ‘berjangkit’?

Benarkah Aura Kehamilan Boleh ‘Berjangkit’?

Dalam sebuah kajian yang dilaporkan oleh sebuah jurnal pada tahun 2014 menerusi American Sociological Association,  aura kehamilan yang dimiliki oleh seseorang wanita mengandung boleh mempengaruhi rakan-rakan terdekat mereka untuk turut hamil!

Bahkan, sebuah lagi penyelidikan mendapati bahawa ‘risiko’ seseorang wanita untuk hamil akan meningkat apabila lebih ramai rakan mereka yang mengandung dan melahirkan anak dalam tempoh 3 tahun terkini.

Apapun, perlu dijelaskan di sini bahawa aura tersebut hanya ‘merebak’ dan ‘berjangkit’ melalui cara psikologi, dan bukanlah secara proses biologi. Maksudnya, kehamilan kawan-kawan terdekat akan mempengaruhi keinginan seseorang wanita untuk turut memiliki zuriat sendiri, walaupun sebelum itu mereka mungkin tidak terfikir untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

3 Sebab ‘Kehamilan’ Boleh Menular

Menurut kajian pada tahun 2014 tersebut, ada 3 teori mengapa seseorang wanita boleh merasakan sedemikian.

Pembelajaran Sosial: Wanita lebih cenderung untuk merasakan pengalaman menjadi ibu apabila melihat ramai rakan mereka berjaya menempuhinya dengan sukses. Kalau dulu rasa macam leceh, gementar  atau tak ada rasa apa-apa langsung, kini mungkin lebih teruja bila melihat bayi dan anak-anak rakan dengan keletah yang comel dan melucukan.

Pengaruh Sosial: Wanita berasa ‘takut’ untuk ketinggalan apabila melihat ramai rakan mereka telah memiliki zuriat masing-masing. Kadang-kadang bila asyik ditanya pun, rasa stres juga.

Berkongsi Kos: Daripada sudut logistik, mungkin ada yang berasa lebih bersedia apabila rakan mereka memberi tips penjimatan dan mahu berkongsi kos tertentu seperti penjagaan anak. Bila dulu terasa beban, bila nampak kawan-kawan semua okey, barulah mula nampak jalan dan lebih terbuka hati.

kelebihan ibu mengandung

Foto Kredit: parents.com

Apapun, Jangan Percaya Mitos!

Jadi sekarang anda tahu bahawa anda mengandung pada tempoh yang hampir sama atau selepas ‘turn’ kawan tu bukannya sebab pergi melaga perut dengannya.

Tapi ia sebenarnya dipengaruhi oleh psikologi dan keinginan anda apabila melihat kehamilan dan bayi yang comel. Biasalah, bila tengok orang ada baby, kita pun asyik teringat bau bayi dan perasaan untuk ada bayi sendiri akan mula membuak-buak!

Sekalipun fakta kajian tersebut berdasarkan data, sebagai umat Islam kita juga wajib percaya bahawa ini semua REZEKI yang dikurniakan Allah. Memang tak pernah salah masa dan alamat.

Pernahkah anda melalui pengalaman mengandung serentak bersama kawan rapat, kakak ipar, atau saudara-mara? Tentu menarik kan? Jom kongsikannya dengan kami di ruangan komen.

Yang Popular

To Top