Asuh

Mudahkan Pengasuh Anda. Ini 7 Tips Bekalkan Susu Perahan Untuk Bayi

13.6K
SHARES

“Nervous pulak aku nak hantar Aina pergi pengasuh. Rasanya semua barang dah cukup dalam beg ni. Tapi, macam mana cara simpan susu ibu yang dah diperah ni ya? Patut bawa yang frozen atau yang chilled?”

Seperti yang kita tahu, ramai wanita kini semakin bijak dalam memastikan mereka dapat meneruskan penyusuan walaupun bekerja atau berjauhan dengan anak. Tapi, menguruskan susu perahan bukanlah semudah kita membekalkan susu formula.

Susu perahan atau (EBM – expressed breast milk) memerlukan penjagaan yang khusus supaya ia tidak rosak. Selain itu, ia juga perlu dibekalkan dalam bekas khas dan dipanaskan pada suhu tertentu. Masalahnya, sesetengah pengasuh menganggap bahawa ianya melecehkan dan lebih suka jika anak diberi susu formula saja.

Sebelum anda mengalah, apa kata cuba tips daripada Puan Nur Aminah Sheikh Ismail ini untuk memudahkan pengasuh anda. Mudah-mudahan cara simpan susu ibu ini dapat memudahkan kerja pengasuh dan kita juga dapat tetap meneruskan penyusuan badan sehingga cukup 2 tahun.

cara simpan susu ibu

7 Tips Bekalkan Susu Perahan Untuk Bayi Agar Lebih Mudah Diurus Pengasuh

Berikut adalah cara simpan susu ibu yang mudah untuk dibawa ke pengasuh.

1. Senaraikan Keperluan

Mula-mula, senaraikan keperluan asas terlebih dahulu. Bagi yang belum mendapatkan barangan untuk menyimpan susu badan, anda akan memerlukan 3 bahan ini:

  • Cooler bag
  • Ice pack / ice brick
  • Storage bottle / feeding bottle

2. Seimbangkan Jenis EBM

Setiap kali menghantar bayi ke pengasuh, saya akan menggunakan 6 botol susu seperti di bawah:

  • Botol 1 fresh
  • Botol 2 frozen (dicairkan)
  • Botol 3 frozen (dicairkan)
  • Botol 4 chill
  • Botol 5 chill
  • botol 6 fresh

Setiap susu perahan / EBM mempunyai khasiat berlainan. Yang paling baik adalah yang fresh, kedua terbaik adalah chill, dan ketiga adalah frozen. Tapi, walaupun khasiatnya berbeza, sudah tentulah ia berkali ganda lebih baik berbanding susu formula.

Baik, mungkin ada yang bertanya:
“Boleh tak saya bekalkan semua yang frozen?”
“Boleh tak saya bekalkan semua yg chiller?”

Jawapannya boleh, tiada masalah. Cuma, kalau ada stok, seeloknya gunakan semua jenis supaya stok simpanan EBM lebih seimbang.

3. Cairkan Dahulu Susu Frozen

Bayangkan, kalau kita bekalkan semua susu frozen dan tiba-tiba anak lapar dan menangis. Susu yang belum cair tentulah ambil masa untuk panaskan juga. Perkara ini boleh mendatangkan stres kepada pengasuh.

Jadi, kalau ada banyak stok susu frozen, malam sebelum tidur boleh rendamkan dalam bekas berisi air paip dan simpan dekat chiller. Bila bangun pagi, susu akan cair sepenuhnya.

susu-perahan-2

4. Labelkan 6 Buah Botol

Sebenarnya, saya berikan 6 buah botol susu berisi berlainan jenis susu perahan ada lagi satu sebab utama iaitu untuk MUDAHKAN PENGASUH SAYA.

Saya akan labelkan ikut nombor macam dalam turutan di atas. Jadi, mudah pengasuh nak ambil ikut nombor. Ini sebabnya saya isi mengikut aturan tersebut:

Botol 1: Fresh

Kenapa agaknya botol pertama dan terakhir itu fresh?
Saya bangun pam seawal 5.30 pagi. Jadi, saya bekalkan fresh untuk mudahkan pengasuh menggunakan terus yang fresh. Macam gambar di atas, botol pertama saya asingkan daripada yang lain tanpa ice pack.

Jadi, bila gunakan botol pertama, pengasuh akan keluarkan botol kedua dan letak di luar (biarkan pada suhu bilik). Susu perahan chill ini tahan 4 jam pada suhu bilik.

Botol 2 dan 3: Frozen (Dicairkan)

Bila nak bagi botol kedua, susu dah tak sejuk lagi. Mudah. Susu anak saya tak pernah disuamkan. Saya cuma ajar pengasuh untuk biar pada suhu bilik. Tengok juga pada keserasian anak. Anak saya boleh terima EBM yang tak disuamkan. Nak suamkan pun boleh. Tempoh masa nak suamkan dengan warmer pun tak lama.

Prosesnya sama macam tadi. Masa guna botol kedua, keluarkan botol ketiga dan seterusnya.

Botol 4-5: Chill

Botol 4-5 selalunya saya bekalkan yang chill.

Kalau bekalkan semua frozen, takut terjadi pembaziran sebab susu EBM frozen yang dicairkan hanya bertahan 24 jam jika disimpan dalam chiller.

Maka, kalau anak tak habis minum, kita masih boleh simpan.

Botol 6: Fresh

Botol hujung-hujung ini yang biasanya tak habis sebab kadang-kadang anak dah nampak Mak dan tolak botol susu.

Jadi, kalau kita nomborkan botol hujung-hujung ini dengan stok fresh, ia masih boleh disimpan dalam peti sejuk apabila balik dan gunakan untuk bekal keesokannya.

5. Ikut Sukatan Siap-siap

Sediakan EBM ikut sukatan per feeding pada setiap botol. Jadi pengasuh tak perlu sukat-sukat lagi. Saya bekalkan 3oz × 6botol.

Sediakan terus 6 buah botol susu, setiap EBM siap dalam botol. Tak perlu pindah-pindah botol. Terus panaskan dan boleh bagi pada baby. Mudah, bukan?

6. Siapkan Cooler Bag

Bawa EBM gunakan cooler bag atau ice box, jadi kita tidaklah mengganggu ruang peti sejuk di rumah pengasuh.

Susu dalam cooler bag dengan 3 ice pack boleh tahan selama 6-8 jam.

7. Bekalkan Warmer

Seeloknya, bekalkan pengasuh warmer supaya mudah dia panaskan susu tanpa perlu menggunakan dapur, air panas, dan sebagainya.

cara simpan susu

Ia Tidaklah Seleceh Yang Disangka!

Banyak pengasuh dan pemikiran orang kata tak nak jaga anak BF (breastfeeding) sebab susah nak handle susu perahan (EBM). Tapi, apa kata kita ambil inisiatif untuk mudahkan urusan pengasuh.

Maka seeloknya, kerja mengagih dan membahagikan susu, biar ibu yang buat. Tugas pengasuh cuma panaskan dan beri pada bayi.

Diharapkan dengan cara simpan susu ibu yang dikongsikan ini, lebih ramai ibu dapat meneruskan pemberian susu perahan kepada bayi. Bila kita mudahkan urusan orang lain, mudah-mudahan Allah akan permudahkan urusan kita juga.

 

*Cara simpan susu ibu untuk dibawa ke pengasuh ini merupakan perkongsian asal Nur Aminah Nur melalui Facebook beliau. Ia disusun dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak perkongsian dan tips, follow beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×