“Ish, takutlah dengar cerita kawan-kawan bersalin. Katanya pakai gas pun tak kurang sakit. Betul ke?”
Entonox adalah salah sejenis gas penahan sakit yang biasa diberikan kepada ibu-ibu hamil untuk membantu menahan sakit bersalin. Mungkin ramai yang nak tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam gas ini dan bagaimana ia boleh mengurangkan rasa sakit ketika bersalin.
1. Kandungan Gas Entonox
Entonox terdiri daripada campuran nitrus oksida dan oksigen. Gas ini akan disalurkan melalui tiub yang disedut melalui topeng atau sejenis alat dari mulut. Ia juga dikenali dengan gelaran ‘laughing gas’ atau gas penahan sakit.
Sesuai dengan gelarannya, gas ini digunakan untuk membantu ibu-ibu mengurangkan rasa sakit ketika kontraksi bersalin.
Ia boleh digunakan pada bila-bila masa ketika kontraksi dan mengambil masa sekitar 15 saat hingga 3 minit selepas disedut.
2. Kelebihan Menggunakan Entonox
Dengan menyedut gas entonox, sesetengah wanita mendapati ianya dapat mengawal kesakitan yang dialami ketika bersalin. Ia adalah pilihan yang paling mudah dan selamat, serta tidak memberi sebarang kesan kepada bayi. Dari segi kos juga, ia lebih murah berbanding epidural dan pethidine.
Biasanya wanita akan menarik nafas dalam-dalam dengan gas ini sebelum kontraksi datang secara berkala. Penggunaannya boleh ditentukan oleh anda sendiri dengan pantauan bidan atau doktor.
3. Kesan Sampingan
Sungguhpun penggunaan entonox secara umumnya adalah selamat, segelintir wanita yang merasakan kesan sampingan selepas menggunakannya.
Antara kesan yang dirasai adalah sakit kepala / pening , khayal, dan sedikit mual / loya. Pastikan anda memegang sendiri alat penghidu gas ini supaya anda dapat mengawal dos pengambilannya dalam jumlah yang sesuai.
Walaupun begitu, anda tak perlu risau kerana kesan yang dirasakan ini adalah terkawal dan akan hilang dalam masa beberapa jam.
4. Tips Menggunakan Entonox Dengan Lebih Berkesan
Ada yang berpendapat bahawa penggunaan entonox tidak membantu mengurangkan rasa sakit bersalin. Ada yang menganggap ia tidak serasi dengan tubuh, tetapi sebenarnya dalam kebanyakan kes ianya tidak digunakan dengan tepat.
Berikut adalah beberapa tips agar penggunaan gas entonox lebih berkesan untuk bertindak sebagai penahan sakit semasa bersalin:
-
- Pastikan lekapan topeng gas entonox dipakai dengan kedap.
- Sedut perlahan-lahan sebelum kontraksi datang. Sedut dengan dalam hingga rasa kesakitan semakin berkurang.
- Elakkan daripada menyedutnya terus-menerus kerana ia boleh menyebabkan anda terlebih dos lalu berasa khayal dan hilang tumpuan.
- Ada pakar menyarankan agar diambil pada akhir peringkat kelahiran, iaitu sebelum bukaan serviks mencecah 10cm.
5. Dapatkan Nasihat Doktor
Sekiranya anda bercadang ingin menggunakan atau berasa ragu-ragu terhadap keberkesanan gas entonox ini semasa bersalin, dapatkan penjelasan selanjutnya daripada doktor anda. Mereka tentunya akan memberikan penerangan yang lebih terperinci berdasarkan keadaan kesihatan anda.
Ia Hanya Mengawal Rasa Sakit, Bukan Menghilangkan Sepenuhnya
Perlu diingat bahawa gas entonox hanya membantu mengurangkan rasa sakit dan bukannya menghilangkannya 100%. Oleh itu, jika kesakitan yang anda lalui masih tidak terkawal, anda boleh memilih alternatif penahan sakit lain yang ditawarkan oleh pihak hospital.