Advertorial

Gangguan Bekalan Air: Apakah Penyebabnya?

410
SHARES

Bekalan air bersih merupakan satu keperluan yang amat penting dalam kehidupan seharian. Air bersih digunakan untuk aktiviti seharian seperti memasak, mencuci pakaian, mandi dan sebagainya.

Namun apabila berlakunya gangguan bekalan air, aktiviti seharian kita akan tergendala dan adakalanya pengguna terpaksa membeli air botol atau mencari sumber air alternatif seperti air bukit untuk meneruskan aktiviti seharian terutamanya jika gangguan berlaku melebihi 24 jam.

APAKAH PENYEBAB GANGGUAN BEKALAN AIR? 

Tahukah anda bahawa terdapat dua kategori gangguan bekalan air yang sering berlaku di dalam negara kita iaitu gangguan bekalan air berjadual dan gangguan bekalan air tidak berjadual?

Gangguan bekalan air berjadual 

Gangguan bekalan air berjadual merupakan gangguan bekalan air yang berlaku akibat daripada kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian peralatan secara berkala di loji rawatan air atau sistem agihan oleh operator bekalan air.

Operator air akan merancang tempoh yang diperlukan bagi kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian peralatan lebih awal dan akan memaklumkan melalui notis kepada semua pemilik akaun yang terjejas beberapa minggu lebih awal.

Kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian peralatan ini penting  bagi memastikan sistem dan peralatan  berfungsi dengan baik untuk membekalkan air bersih secara berterusan kepada pengguna. Dalam masa yang sama, pengguna akan bersedia lebih awal dengan menyimpan air untuk kegunaan semasa tempoh gangguan bekalan air berjadual berlaku.

Gangguan bekalan air tidak berjadual 

Pencemaran sumber air 

Gangguan bekalan air tidak berjadual pula merupakan gangguan bekalan air yang berlaku di luar kawalan operator air seperti pencemaran sumber air akibat pembuangan sisa toksik ke sungai, kejadian paip pecah atau kerosakan peralatan. Sekiranya perkara ini berlaku, operator air terpaksa menutup operasi loji rawatan air atau memutuskan bekalan air di tempat yang berlakunya kejadian paip pecah.

Pencemaran sumber air berlaku akibat daripada tumpahan minyak atau pembuangan sisa toksik sama ada sengaja atau tidak sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sekiranya minyak dan sisa toksik ini mencemari sumber air, loji rawatan air terpaksa ditutup kerana tidak mampu untuk merawat air bersama-sama bahan pencemar tersebut. Operasi loji rawatan air hanya boleh dimulakan semula apabila kualiti air mentah kembali normal dan tiada lagi sisa pencemaran yang boleh menjejaskan proses rawatan.

Apabila keadaan ini berlaku, bekalan air bersih kepada pengguna akan terjejas dan adakalanya ia akan mengambil masa melebihi 24 jam untuk proses pemulihan.

Gangguan bekalan air tidak berjadual juga boleh berlaku apabila terdapatnya insiden paip pecah dan kerosakan peralatan di loji rawatan air. Insiden ini boleh berlaku disebabkan dua perkara iaitu kecuaian pihak ketiga yang menyebabkan kebocoran paip air atau kerosakan peralatan akibat digunakan melebihi tempoh hayat atau penyenggaran alatan secara berkala tidak dilaksanakan akibat daripada kekangan kewangan oleh operator bekalan air.

Dalam hal ini, tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan untuk keadaan sumber air kembali normal, tempoh membaiki kerosakan peralatan dan menggantikan paip pecah di tapak sehingga air  dapat dirawat dan dibekalkan semula kepada pengguna.

Gangguan bekalan air tidak terjadual ini boleh menyebabkan rutin seharian pengguna terganggu kerana kejadian berlaku secara tiba-tiba yang menyebabkan pengguna  tidak sempat untuk membuat persediaan awal menghadapi gangguan bekalan air ini.

APAKAH LANGKAH PENYELESAIAN YANG SESUAI UNTUK MASALAH GANGGUAN BEKALAN AIR INI?

Gangguan bekalan air boleh diselesaikan dengan perancangan yang terperinci oleh operator air bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sistem bekalan air. Pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur ini  adalah penting dan bertujuan untuk meningkatkan rizab margin loji rawatan air dan  penyambungan rangkaian sistem agihan antara loji rawatan air.

Dengan pelaksanaan kerja-kerja tersebut, insiden gangguan bekalan air dapat  dikurangkan kerana operator air dapat menyalurkan air terawat daripada loji rawatan air berdekatan ke kawasan yang berlaku gangguan bekalan air.

Operator air juga hendaklah melaksanakan penyenggaraan secara berkala bagi memastikan peralatan di loji rawatan air dan sistem agihan berada dalam keadaan yang baik serta mengurangkan kebarangkalian kebocoran paip dan kerosakan peralatan. 

Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembangunan, penaiktarafan, pembaikpulihan serta penyenggaraan menelan belanja besar oleh operator air dan kekangan kewangan yang dialami menyukarkan pihak operator untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Sehubungan dengan itu, tarif yang munasabah amat penting untuk operator memastikan Capex dapat dilaksanakan bagi memastikan bekalan air secara berterusan dapat disalurkan kepada pengguna.

Pengguna perlu main peranan

Pengguna juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan gangguan bekalan air dapat diminimakan atau dielakkan. Sebagai contoh, sekiranya pengguna ternampak terdapat kebocoran paip air di kawasan anda, pengguna boleh segera melaporkan kepada operator air negeri agar tindakan awal pembaikan boleh dilaksanakan dengan segera.

Sekiranya pengguna ternampak atau mengesyaki terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik atau minyak ke sungai atau alur air, insiden ini juga boleh dilaporkan dengan kadar segera kepada agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Alam Sekitar, SPAN atau Badan Kawal Selia Sumber Air Negeri. Tindakan awal ini akan membantu pihak penguatkuasaan dan operator air mengatasi masalah ini.

Pengguna juga dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan sahih berhubung pembekalan air daripada operator air melalui laman sesawang atau aplikasi operator air di telefon bimbit.

Sekiranya notis gangguan bekalan air berjadual dikeluarkan, pengguna disarankan untuk membuat persiapan awal dengan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan isi rumah dan menggunakan air secara berhemat semasa gangguan berlaku. 

Apa yang lebih penting adalah pengguna maklum bahawa tarif yang munasabah perlu dalam memastikan penyelesaian jangka panjang bekalan air bersih di negara kita. Dengan tarif yang munasabah, operator air dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam membekalkan air bersih kepada pengguna dan pada masa yang sama memastikan kelangsungan bekalan air untuk generasi yang akan datang.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×