Umum mengetahui bahawa terdahulunya hanya kanak-kanak umur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata kanak-kanak di bawah umur 12 tahun akan dibenarkan masuk ke dalam stadium selaras dengan fasa peralihan endemik bermula 1 April ini.
Baca juga: KWSP Umum Langkah Permohonan Pengeluaran Khas RM10K Supaya Lebih Mudah
KANAK-KANAK DIBENAR MASUK STADIUM
Selain itu, Ahmad Faizal juga berkata bahawa aktiviti makan dan minum di dalam stadium kini dibolehkan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan apabila stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum, selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.
“Namun prosedur operasi standard (SOP) untuk terus memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan, serta penjarakan sosial perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Putrajaya Night Ride 2022 di Putrajaya malam tadi.
Tambah Ahmad Faizal lagi berkata Majlis Keselamatan Negara akan memperincikan lebih banyak kelonggaran SOP dalam masa terdekat.
Terdahulu, kira-kira 200 peserta program yang menyertai aktiviti berbasikal serta larian santai sejauh 10 kilometer, di sekitar Putrajaya juga dilepaskan oleh Ahmad Faizal.
Program inisiatif KBS itu, bertujuan memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan menerusi gaya hidup yang aktif dan sihat, termasuk dalam kalangan penjawat awam.
Sumber: BERNAMA