Nur

Cara Mandi Nifas / Wiladah Selepas Melahirkan Anak Atau Keguguran. Sumber Dari JAKIM & Mufti WP

3.9K
SHARES
Cara mandi nifas

“Eh, cepat pulak habis darah nifas ni. Bolehlah mandi ye? Tapi kalau ada balik macam mana? Kira darah nifas juga, darah istihadah atau haid?”

Pening juga bila berhadapan dengan situasi begini kan?

Pernahkah kita terfikir apa sebenarnya yang membezakan antara darah haid, istihadah, darah nifas dan apa pula yang dikatakan dengan wiladah?

Dalam artikel ini, kami kongsikan ulasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai semua jenis darah ini dan bagaimana cara untuk mandi wajib selepas melahirkan anak mahupun yang mengalami keguguran.

Ikuti penjelasan di bawah ini.

Kewajipan Mandi Selepas Melahirkan Anak Atau Keguguran

Kadang-kadang kita ada dengar orang bersalin tak keluar darah nifas. Maka dia pun keliru, “Perlu tak aku mandi wajib?”

Kadang-kadang ada yang melahirkan secara Caesarean dan bayi yang dilahirkan tidak keluar melalui faraj. Sekali lagi timbul persoalan, “Macam mana niat mandi wajib selepas melahirkan anak?”

Ada juga wanita yang mengalami keguguran setelah mengalami pendarahan. Lantas dia kurang pasti sama ada ianya darah istihadah ataupun nifas?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikut adalah penjelasan bagi situasi tersebut.

  • Kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas yang mewajibkan wanita itu mandi wajib.
  • Jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.
  • Jika kandungan yang dilahirkan itu berbentuk alaqah (gumpalan darah), atau mudghah (gumpalan daging) seperti dalam kes keguguran, tetap dikira wiladah dan wajib mandi.
  • Begitu juga kelahiran Cesarean, yakni kandungan keluar bukan daripada faraj wanita tetapi melalui pembedahan di kawasan abdomen, tetap mewajibkan mandi.

Foto Kredit: whattoexpect.com

Mandi Nifas Dan Wiladah Selepas Melahirkan Anak Atau Keguguran

Jika ditanya, apabila seseorang wanita itu bersalin dan bernifas, adakah dia perlu mandi dua kali; pertama akibat wiladah dan kedua akibat nifas?

Jawapannya ialah tidak perlu mandi dua kali kerana memadai mandi dengan sekali sahaja. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) :

“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya.

Begitu juga seorang yang berjunub kemudian mati, dan orang yang berjunub kemudian haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi.

Begitu juga jika seseorang itu berjunub, kemudian berhaid, kemudia dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk kesemua keadaan (hadas besar) itu.”

Waktu Mandi Wajib Selepas Melahirkan Anak

Jadi, bilakah waktu untuk mandi wajib akibat wiladah dan nifas?

Jawapannya ialah selepas bersalin dan apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’.

Keadaan naqa’ bermaksud betul-betul suci iaitu jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan.

Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas.

tanda habis haid wanita

Foto Kredit: ovguide.com

Cara Mandi Wajib Selepas Melahirkan Anak Atau Keguguran

Cara mandi wajib selepas melahirkan anak atau keguguran adalah sama seperti mandi wajib / mandi junub yang biasa kita lakukan akibat datangnya haid, keluar air mani atau selepas melakukan hubungan intim.

Rukun Mandi Wajib

Ringkasnya, hanya ada 3 rukun mandi wajib yang perlu dilakukan agar sahnya mandi tersebut iaitu:

1. Berniat

Terdapat beberapa cara niat mandi wajib / nifas / wiladah seperti berikut:

i. Meniatkan setiap hadas besar yang dialami dan dimaksudkannya.

Contoh, jika dia mengalami dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali.

“Sahaja aku mengangkat hadas nifas dan junub”

ii. Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas.

“Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)”

atau

“Sahaja aku sahaja aku menunaikan fardhu mandi atau seumpama dengannya”.

2. Menghilangkan Najis 

Iaitu menghilangkan sebarang najis yang terlekat pada badan.

3. Meratakan Air Ke Seluruh Badan

Meratakan air ke seluruh anggota badan luaran serta membersihkan semua najis yang terdapat padanya.

Langkah Mandi Wajib Secara Ringkas

i. Membaca ‘Bismillah’ ketika akan mandi.
ii. Mengambil wudhuk sebelumnya sebagaimana amalan Nabi s.a.w.
iii. Melalukan tangan di atas seluruh badan (menggosok-gosok) bagi menghilangkan kotoran yang melekat.
iv. Mendahulukan membasuh yang sebelah kanan dari sebelah kiri.

Memahami Darah Haid, Istihadah, Wiladah & Darah Nifas Selepas Bersalin

Banyak antara kita mungkin terkeliru sama ada darah yang keluar terputus-putus adalah darah haid, darah nifas, atau istihadah. Berikut adalah penerangan mengenainya yang dipetik melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

1. Darah Haid

Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mentakrifkan haid sebagai berikut:

“Erti haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haid di sisi Syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.” Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)

Waktu tertentu bermaksud, darah yang keluar daripada rahim dalam tempoh 15 hari pada waktu kebiasaan haid, yakni bukan waktu suci, adalah dianggap sebagai darah haid.

Ini sekalipun jika darah itu keluar terputus-putus, dengan syarat darah itu keluar selama sehari dan semalam, atau 24 jam. Ini kerana tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari. Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139).

Berkata Imam al-Nawawi:

“Dan tentang darah yang seorang wanita hamil itu lihat (keluar daripa farajnya) ada dua pendapat; pendapat pertama yang lebih sahih ialah itu sesungguhnya adalah darah haid. Pendapat kedua, itu adalah darah istihadah, dan ini digunapakai oleh al-Jurjani dan ulama selainnya. Allah lebih mengetahui.”

Rujuk Al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/347)

Ini berbeza dengan mazhab Hanafi seperti yang disebut oleh Syeikh al-Imrani dalam al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafie (1/348):

“Adapun darah yang seorang wanita hamil itu lihat maka padanya ada dua qaul; pertamanya ialah itu bukan haid bahkan adalah darah rosak dan inilah yang menjadi pendapat Abu Hanifah, kerana wanita haid tidak mengandung, maka tidak juga berhaid seperti hukum budak perempuan, ini kerana jika jika dia berhaid nescaya haramlah ke atasnya talak, dan nescaya iddah akan selesai dengan tiga kali suci. Pendapat kedua bahawa itu adalah haid dan pendapat ini adalah sahih.”

KESIMPULAN:

Sekiranya darah berkenaan keluar pada waktu kebiasaan haid yakni bukan waktu suci maka darah yang keluar itu adalah darah haid. Begitu jugalah jika darah itu keluar ketika mengandung atau sebelum janin yang gugur.

perbezaan darah haid

Foto Kredit: shutterstock

2. Darah Istihadah

Tentang darah istihadah, ia adalah darah yang tidak menepati definisi darah haid, wiladah atau nifas.

Daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, bahawa dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

KESIMPULAN:

Jika darah berkenaan keluar pada waktu suci daripada haid, maka darah itu adalah darah istihadah. Begitu juga jika darah itu keluar tidak cukup sehari semalam, maka itu adalah darah rosak dan bukan haid atau pun nifas.

tanda habis haid darah

Foto Kredit: lexicolatry.com

3. Wiladah

Pada asalnya, wiladah bukanlah sejenis darah, sebaliknya ia merujuk kepada kelahiran anak itu sendiri sebagai sebab untuk mandi wajib.

Para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/82) ada menyebut:

“Wiladah bermaksud melahirkan anak. Perempuan yang bersalin adakalanya tidak keluar darah. Oleh yang demikian, hukumnya sama dengan janabah. Ini kerana anak tersebut terjadi daripada air mani lelaki dan perempuan. Hukumnya tetap sama walaupun berbeza anak yang dilahirkan atau cara melahirkannya.”

Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan sifat anak yang keguguran; apakah wajib mandi jika yang lahir itu adalah ‘alaqah (segumpal darah) dan mudghah (segumpal daging) yang diyakini sebenarnya adalah janin manusia?

Umum mengetahui bahawa tumbesaran janin dalam rahim adalah berperingkat.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mu’minun: 14)

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثمَّ يَكونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ، فَيَنفُخ فِيهِ الرُّوحَ،

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani (nutfah) selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi segumpal darah (‘alaqah) selama empat puluh hari, kemudian menjadi seketul daging (mudhgah) selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh.”

Riwayat al-Bukhari (6894) dan Muslim (2643)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` (2/150): “Dan jika seorang wanita keguguran dalam bentuk gumpalan darah, atau ketulan daging, maka tentang kewajipan mandi itu ada dua wajah (pendapat dalam kalangan ashab); pendapat yang lebih sahih ialah wajib.”

Beliau menyebutkan dalam Raudhah al-Tolibin (1/174):

Maksudnya: “Dalam hukum nifas, sama ada anak yang lahir itu dalam bentuk penciptaan yang sempurna, atau yang tidak sempurna, atau mati, atau gugur dalam bentuk ketulan daging atau segumpal darah, dan apabila berkata para bidan: ‘Sesungguhnya ini adalah permulaan penciptaan manusia.’ Maka darah yang wujud selepas itu adalah nifas.”

KESIMPULAN:

Sekiranya darah itu telah dikenalpasti sebagai janin yang gugur dalam fasa `alaqah, maka wajib mandi wiladah walaupun tidak diiringi pendarahan selepasnya.

bersalin bayi besar

Foto Kredit: mumsandbubs.net.au

4. Darah Nifas

Darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin.

Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari.

Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/82))

KESIMPULAN:

Selari dengan keterangan di atas berkenaan darah wiladah, darah yang keluar selepas bersalin, sama ada keguguran atau normal, maka itu adalah darah nifas, setelah dipastikan oleh pakar perubatan.

 

Cara mandi nifas

Semoga Lebih Jelas

Sebagai penutup, jika sudah dipastikan oleh pakar perubatan bahawa darah yang keluar itu adalah janin, maka darah yang keluar itu adalah `alaqah yang mewajibkan mandi.

Dan darah yang keluar selepas itu sehingga 60 hari adalah darah nifas yang mengharamkan ke atas wanita apa-apa yang diharamkan ke atas wanita berhaid seperti solat dan puasa.

Wallahua’lam.

Diharapkan penerangan ini memberi penjelasan bagi yang musykil. Semoga Allah memberi kita kefahaman serta kudrat untuk melaksanakan syariat sebaik mungkin.

Amin.

 

*Sumber Rujukan: AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 422 (2 NOVEMBER 2016 M / 2 SAFAR 1438H), JAKIM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×