40 Minggu

Takut Doktor ‘Cuci Rahim’ Lepas Keguguran. 7 Perkara Wanita Patut Tahu Tentang D&C

800
SHARES

“Allah… Tak ada rezeki aku dapat anak kali ni. Ingatkan spotting tu normal, tapi doktor dah sahkan keguguran. Nanti doktor suruh buat D&C untuk ‘cuci’ rahim… Ish, seram pulak dengar. Sakit tak ye?”

Keguguran tentunya bukanlah perkara yang mudah bagi wanita untuk menghadapinya secara fizikal mahupun emosi. Ada pasangan yang dah menunggu lama untuk menimang cahaya mata, namun terpaksa redha dengan keguguran janin.

Menurut portal MyHealth, keguguran boleh berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes keguguran ini berlaku sebelum minggu ke 13 iaitu keguguran awal atau early miscarriage. 

Setelah seseorang mengalami keguguran, biasanya prosedur D&C atau bahasa pasarnya ‘cuci rahim’ akan dilakukan oleh doktor.

Bunyi macam menakutkan je kan? Apa sebenarnya D&C ni? Jom ambil tahu.

7 Perkara Wanita Patut Tahu Tentang D&C Selepas Keguguran

1. Apakah D&C Selepas Keguguran?

D&C adalah singkatan bagi dilatation & curettage, di mana ia merupakan satu prosedur yang akan dicadangkan oleh doktor bagi ‘mengosongkan’ kembali rahim selepas berlakunya keguguran.

Dalam proses ini, doktor akan membuka (dilatation) pangkal rahim (servik) dan membuat curettage (mencuci) dalam rahim bagi mengeluarkan janin yang telah keguguran tersebut.

D&C biasanya dilakukan jika janin tidak keluar secara spontan ataupun terdapat banyak pendarahan atau jangkitan berlaku.

2. Adakah Semua Keguguran Perlu D&C

Tujuan utama D&C selepas keguguran adalah untuk mengelakkan jangkitan kuman atau pendarahan. Namun, tidak semua ibu yang mengalami keguguran memerlukan prosedur D&C.

Lazimnya jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13 dan keadaan ibu stabil (tidak tumpah darah yang banyak atau tidak dijangkiti kuman), selalunya doktor akan beri masa untuk kita tunggu cebisan janin keluar dengan sendirinya. Proses ini boleh berlaku dalam tempoh 1-2 minggu atau ada juga yang mengambil 3-4 minggu.

Walaubagaimanapun, selepas janin keluar nanti, ibu tetap akan kena datang semula ke hospital untuk pemeriksaan ultrasound bagi memastikan tak ada lagi saki-baki janin yang masih tertinggal dalam rahim (incomplete miscarriage).

tanda tidak subur

Foto Kredit: coveville.com

3. Sakit Tak?

Inilah persoalan yang akan berlegar-legar dalam fikiran kita bila doktor decide kena buat D&C.

Dengar macam ngeri bila kita bayangkan yang doktor akan ‘korek’ untuk keluarkan janin tu dari rahim kita. Aduh!

Memandangkan proses ini tak melibatkan sebarang torehan atau jahitan, maka ianya akan dilakukan melalui vagina menggunakan spekulum (macam muncung itik masa ujian pap smear tu).

Tapi ibu jangan takut, sebab biasanya bius akan diberikan sama ada separuh badan atau penuh. Jadi, masa proses tu, kita tak akan rasa apa-apa.

Cuma selepas proses tu nanti, mungkin akan rasa sedikit cramp macam senggugut bersama sedikit pendarahan macam period.

Jika keguguran berlaku pada awal kehamilan, biasanya ibu tak perlu tinggal dalam wad dan akan dibenarkan pulang dalam masa beberapa jam selepas selesai prosedur tersebut.

Cuci rahim selepas keguguran

Foto Kredit: GettyImages

4. Komplikasi D&C

Dalam apa juga prosedur tentu akan ada faktor risiko walaupun ianya amat jarang berlaku.

Bagi proses D&C, antara komplikasi yang boleh berlaku termasuklah kecederaan serviks, jangkitan, atau Asherman’s Syndrome (berlakunya parut dalam rahim).

Sekiranya ibu mengalami tanda ini selepas D&C, jangan berlengah untuk berjumpa doktor:

  • Pendarahan / ketulan darah beku yang terlalu banyak
  • Demam
  • Sakit di bahagian ari-ari
  • Keluar cecair busuk dari vagina

5. Anggaran Kos D&C Di Hospital Kerajaan Dan Swasta

Kos bagi prosedur D&C di hospital kerajaan tentunya jauh lebih murah berbanding hospital swasta, iaitu sekitar RM300.

Manakala bagi hospital swasta lazimnya kos D&C bermula sekitar RM1000 ke atas, bergantung kepada keadaan / komplikasi yang dialami oleh ibu ketika berlakunya keguguran itu.

6. Rehat / Cuti Selepas D&C

Selepas proses D&C, ibu biasanya akan diberikan cuti selama lebih kurang 1 minggu hingga 10 hari, bergantung kepada keadaan ibu. Kalau ikutkan, ramai juga ibu akan berpantang untuk tempoh 2 minggu. Namun, ada yang boleh mula bekerja dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Selepas proses ini, akan ada follow-up untuk doktor periksa semula keadaan kita dan pastikan semuanya dalam keadaan baik.

cara berpantang selepas keguguran

Foto Kredit: thebump.com

7. Bilakah Pasangan Boleh Mencuba Untuk Hamil Semula (TTC) Selepas D&C

Selalunya doktor akan menasihatkan ibu untuk menunggu sekurang-kurangnya 1-2 minggu untuk cuba hamil kembali selepas proses D&C.

Ibu boleh menjangkakan period atau kitaran haid untuk kembali normal dalam masa 6-8 minggu selepas proses D&C.

Apa pun, pastikan anda juga bersedia secara mental dan tidak terburu-buru dalam proses ini.

Manfaatkan tempoh cuti untuk berehat dan memulihkan emosi yang mungkin terkesan akibat keguguran.

Foto Kredit: onfertility.com

Jangan Takut, Ia Bukan Punca Masalah Dalam Kehamilan Seterusnya

Kebanyakan wanita memang takut bila doktor sebut nak ‘cuci rahim’. Ada juga yang risau yang proses D&C ni akan boleh menyebabkan wanita sukar hamil semula.

Sebenarnya, prosedur ini adalah selamat dan tak ada lagi bukti menunjukkan D&C memberi kesan terhadap kehamilan seterusnya.

Jadi, janganlah terlalu risau ya bila doktor suruh buat D&C nanti. Berbincanglah dengan doktor agar ibu dapat membuat keputusan yang terbaik demi kesihatan diri.

 

*Rujukan: MyHealth, WebMD, VeryWell Family, HealthLine

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×