Nur

Tinggal Puasa Sebulan Sebab Bersalin. Apa Nak Buat Kalau Tak Sempat Ganti? Ini Penjelasan Mufti WP

22.5K
SHARES

Siapa yang due date mereka sekitar bulan Ramadhan nanti, mesti dah terfikir bagaimana agaknya mereka nak kena ganti puasa.

Mana tidaknya, bersalin ketika bulan Ramadhan biasanya menyebabkan ibu-ibu mengalami nifas dan seterusnya tidak dapat menunaikan solat serta ibadah puasa buat masa yang agak lama.

Malah, ibu-ibu yang melahirkan juga biasanya akan menyusukan bayi dalam tempoh 2 tahun pertama. Dalam keletihan mengurus dan menyusukan bayi, dah tentu ada wanita yang rasa terbeban dan tak mampu menggantikan bilangan hari puasa yang hampir sebulan lamanya.

Jadi, perlukah fidyah jika ia tak dapat diganti sehingga tiba bulan Ramadhan seterusnya?

bayar fidyah online

Foto Kredit: scoopwhoop.com

Ikuti penerangan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan permasalahan ini.

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-83 :

TINGGAL PUASA KERANA BERPANTANG, LANGKAH TAHUN KERANA MENYUSU

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin menanyakan satu soalan. Bulan puasa tahun lepas saya dalam pantang bersalin. Jadinya sebulan puasa saya tidak berpuasa. Sekarang pun masih menyusukan anak. Usia anak 11 bulan. Saya ingin bertanya, perlukah saya:

1) Qada’ puasa sahaja atau

2) Qada’ puasa dan bayar fidyah atau

3) Tidak perlu puasa tetapi bayar fidyah sahaja

Saya masih menyusukan anak sekarang. Yang mana satu yang perlu saya ikut nya sebab banyak sangat mazhab yang saya dengar. Saya tidak tahu mana yang patut ikut.

Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pertama sekali kita perlu jelas tentang maksud ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin memiliki beberapa tempoh yang masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari.

Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas.

Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushab al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjima’, bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut.

Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya pula adalah 60 hari.

Menurut Imam al-Syarbini al-Khatib (w.977H) di dalam al-Iqna’ (ms.143-144), orang perempuan yang bernifas haram menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Jika dia berpuasa juga maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha.

Ini berbeza dengan solat fardu yang tidak perlu diganti.

Perkara ini berdasarkan hadis Muslim riwayat Aisyah R.Anha bahawa kaum wanita diperintahkan untuk mengqadhakan puasa Ramadhan yang ditinggal akibat haid – dan juga nifas – tetapi tidak bagi solat fardu.

Pada asalnya hukum wanita yang menangguh qadha puasanya sehingga masuk ke Ramadhan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qadha puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadhan bagi tahun yang baru.

Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna` (ms. 352).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Muʿtamad (2/200) :

“Jika seseorang wanita itu melewatkan qadha’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang baru, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qadha’ sahaja.”

Justeru, dalam kes puan yang bertanya:

Puan hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.

Jika puan melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadhan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Jika puan meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadhan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.

Semoga Allah Taala mengurniakan kekuatan dan ilmu dalam beramal. Wallahua’lam.

Sumber asal dari pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/L9sSYl

cara buat jus kurma

Foto Kredit: babycenter.com.my

*Nota Tambahan

Sekadar sedikit pencerahan, dalam Mazhab Syafie, tempoh kebiasaan darah nifas adalah 40 hari dan maksimum 60 hari. Jika dalam tempoh 60 hari itu darah nifas terputus-putus atau bilangan hari suci kurang daripada 15 hari, maka ia masih dianggap nifas.

Seeprkara lagi, berbeza dengan fidyah, bilangan hari puasa yang wajib diganti juga kekal dan tidak akan berganda walaupun telah masuk beberapa kali Ramadhan yang seterusnya.

Maksudnya kalau 25 hari tinggal puasa, 25 hari sajalah yang perlu diganti puasa walaupun telah masuk 2 kali Ramadhan seterusnya. Hanya fidyah yang perlu digandakan jika tiada alasan disebabkan keuzuran.

Jadi, dah jelas kan?

Semoga info ini dapat memberi panduan kepada ibu-ibu untuk mengqadha puasa yang tertinggal semasa bersalin tempoh hari.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×