Semakin kita mendekati bulan Ramadhan, pasti ramai yang gembira menyambutnya. Tak sabar rasanya menyambut bulan penuh kemuliaan ini.
Tapi, sudahkah kita menunaikan puasa ganti atau fidyah bagi puasa yang tertinggal Ramadhan lalu?
Mari ulangkaji sedikit sebanyak tentang fidyah. Untuk pengetahuan anda, kini sudah boleh bayar fidyah online.
Kenapa Seseorang Perlu Membayar Fidyah?
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab berikut:
1. Mengalami sakit yang khusus
Antaranya mereka yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, termasuklah golongan tua yang tidak mampu berpuasa.
2. Perempuan mengandung yang bimbangkan kesihatan kandungan sahaja
Jika risaukan kesihatan sendiri (kerana terlalu letih dan berpenyakit) dan anak, maka hanya perlu ganti puasa tanpa fidyah.

Foto Kredit: nokshe.com
3. Ibu yang menyusukan anak dan bimbangkan kesihatan bayinya semata-mata
Tetapi, jika wanita itu sendiri terlalu letih dan tidak mampu meneruskan puasa, tidak perlu membayar fidyah.

Foto Kredit: themominmemd.co
4. Orang yang telah meninggal dunia
Waris-waris perlu bayar fidyah bagi mereka yang telah meninggal dunia mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Melambatkan Ganti Puasa Pada Ramadhan Sebelumnya
Mereka yang melambatkan ganti puasa hingga tiba Ramadhan berikutnya perlu bayar fidyah dan mengganti puasa. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Di Mana Boleh Bayar Fidyah?
Fidyah boleh dibayar kepada fakir miskin secara terus atau boleh dibayar kepada Pejabat Zakat atau Pejabat Agama Islam Negeri masing-masing.
Kini, ia juga boleh dibayar secara online melalui e-zakat atau mengikut bank tertentu.
Contohnya, jika anda bayar fidyah melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.

Cara kira fidyah adalah berbeza mengikut negeri.
Cara Bayar Fidyah Online Menggunakan Maybank2U
1. Tetapkan tempat (negeri) anda
Ini kerana, kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat.
Secara umumnya, kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras / makanan asasi.
Nilai ini akan ditukarkan dalam bentuk Ringgit Malaysia. Ia boleh berubah mengikut tahun. (Tapi, nilai perbezaan antara negeri dan perubahan mengikut ini tidaklah banyak.)
2. Buat kiraan
Anda boleh terus menggunakan kalkulator fidyah atau mengira sendiri dengan mudah. Contohnya, sehingga 2018, kadar secupak beras yang ditetapkan di Selangor adalah RM1.80.
Berdasarkan formula pengiraan fidyah adalah seperti berikut:
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah (RM1.80)
*Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Hanya setelah tiba Ramadan berikut jika masih tidak berganti, barulah fidyah dikenakan.
Maka, Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.80 x 3 hari x 3 tahun = RM 10.80.
3. Buat bayaran
Bayar fidyah tunai – boleh dibuat di pejabat agama atau pejabat zakat negeri atau melalui wang pos.
Bayar fidyah online – melalui e-zakat negeri masing-masing seperti e-zakat Selangor, e-zakat Penang, laman web Pejabat Agama & Majlis Agama, Maybank2U
Contohnya kalau anda gunakan Maybank2U:
i) Klik ‘Bill Payment’
ii) Klik ‘Zakat & Charity’
iii) Pilih Pusat Pungutan Zakat / Fidyah Negeri masing-masing
iv) Pilih ‘Fidyah’
v) Buat bayaran mengikut jumlah yang anda kira tadi
Tapi, ia bergantung juga kepada jenis bank atau negeri. Mungkin sesetengah negeri tidak mengaktifkan akaun mereka untuk bayar fidyah online.

Foto Kredit: scoopwhoop.com
Mudah, bukan? Jangan Tangguh Lagi!
Bayaran fidyah akan digandakan apabila tiba Ramadhan seterusnya, manakala bilangan hari puasa ganti kekal.
Sekarang telah banyak kemudahan yang disediakan untuk kita memudahkan urusan. Jadi, cepat-cepatlah tunaikan mana-mana yang masih tertunggak. Jadi, jangan bertangguh lagi!
*Sumber: Laman Web Pusat Perkhidmatan Zakat PPZ, Masjid Al-Azim & Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan