Deko & Hias

Cara Hilangkan Bau Bawang, Toilet & Tong Sampah Guna Cuka. Berkesan Macam Pencuci Mahal!

935
SHARES
cara hilangkan bau bawang

Menjelang musim perayaan, biasanya kita memang extra rajin nak membersihkan rumah. Tambah-tambah tengah musim PKP ni kan?

Bagi ibu-ibu yang banyak luangkan masa di dapur, boleh cuba cara hilangkan bau bawang, toilet dan tong sampah guna spray DIY daripada cuka ni untuk memudahkan kerja dapur.

Ada banyak kegunaannya yang menjadikannya setanding dengan larutan pencuci berjenama!

Jom tengok perkongsian penuh oleh Yatie Iemra di bawah ini.

Cara Hilangkan Bau Bawang, Toilet & Tong Sampah Guna Cuka

Saya buat spray cuka ni dalam kuantiti yang banyak sebab memang selalu guna.

Saya ada 3 botol DIY spray untuk kegunaan dapur, untuk lap air tumpah/spray langsir bila bau asap & juga untuk toilet.

Untuk spray langsir dan toilet tu saya tambahkan essential oil (lavender & lemon) sikit supaya wangi.

Kalau nak buat dalam kuantiti banyak macam saya ni boleh guna sukatan ni:

  • 1½ cawan cuka
  • 7½ cawan air
  • 4-6 sudu sabun pencuci pinggan (kurangkan jika pencuci pinggan pekat)

Campurkan semua bahan, masuk dalam botol spray.

*Pastikan spray sentiasa ditutup bila tak digunakan supaya kepala spray tak mudah rosak

Kalau nak buat dalam kuantiti yang sedikit, boleh guna sukatan ni:

  • ¼ cawan cuka putih
  • 1¼ cawan air paip
  • 1-2 sudu makan sabun pencuci pinggan

Campurkan semua bahan, masuk dalam botol spray.

NOTA :

Bancuhan ni sebenarnya tak ada sukatan yang tetap pun. Cuma kalau cuka terlebih, cat dinding/perabot anda mungkin akan rosak, tapi kalau terlalu cair nanti tak berkesan. Kalau terlebih sabun, nanti licin sangat pula bila dah kering.

Secara ringkasnya, saya buat spray ni menggunakan formula nisbah ini:

  • 1 bahagian cuka : 5 bahagian air
  • kuantiti sabun dalam 25%-30% dari jumlah cuka.

NOTA :

  • Kalau guna sabun mandi (syampu badan) lebih wangi tapi tak berapa berkesan untuk tanggalkan kesan minyak.
  • So, seeloknya guna essential oil untuk wangikan. Tapi kalau tak ada, boleh juga masukkan kayu manis dalam bancuhan cuka untuk hilangkan bau masam.

8 Kegunaan Spray Cuka Di Dapur & Rumah

Spray ni memang ada banyak kegunaannya di rumah tau.

Antaranya:

1.  Hilangkan Bau Hanyir

Biasanya lepas bersihkan ayam dan siang ikan, saya akan spray pisau, papan pemotong & sinki dengan spray ni untuk hilangkan bau hanyir (ikan terutamanya).

Biarkan 5-10 minit sebelum cuci macam biasa.

cara hilangkan bau bawang

2. Mudah Tanggalkan Kesan Minyak

Bila basuh bekas-bekas makanan yang berminyak ni, penutup yang paling leceh sekali nak dibersihkan.

Selalunya saya spray je dan biarkan sekejap sementara nak basuh.

3. Cuci Perkakas Baking Dengan Mudah

Boleh spray kan pada mixer dan bekas sebelum direndam kejap dengan air panas untuk pastikan semua kesan lemak dan minyak tanggal.

Basuh dan keringkan sebelum guna.

Saya juga gunakan cara yang sama untuk basuh perkakas baking lepas digunakan buat kuih atau kek.

Sangat menjimatkan masa dan menjimatkan sabun.

cara kilatkan sinki

4. Buat Rendam Kain Lap & Span Di Dapur

Larutan ini juga boleh digunakan untuk rendam kain lap tangan, kain lap dapur atau span basuh pinggan untuk tanggalkan kesan minyak.

Sesetengah orang terus masukkan kain yang berminyak dalam mesin basuh. Sebenarnya kesan-kesan minyak tu akan buat drum mesin basuh cepat kotor (kotoran melekit-lekit, melekat dicelah getah pintu dan juga mendap dalam lubang drum).

[BACA JUGA: Cara Bersihkan Mesin Basuh Anda Yang Dah Berkeladak]

Untuk span basuh pinggan pun, biasanya bila malam saya akan spray larutan cuka ni dan rendam air panas dalam 10 minit.

Kemudian tos kering untuk elakkan span mudah berbau dan jadi tempat pembiakan bakteria.

cara hilangkan bau bawang

5. Bersihkan Blender, Hilangkan Bau Bawang & Tanggalkan Karat

Spray cuka ni amat berguna untuk bersihkan blender, kurangkan bau bawang, pijar cili dan tanggalkan karat pada mata blender. Caranya sama, rendamkan sekejap dalam larutan cuka ni sebelum dibasuh.

Yang suka buat kek guna blender tu, elok sangatlah guna spray ni untuk bersihkan blender.

Saya pernah beli kek coklat yang rasa pedas cili. Terus tertutup selera nak makan!

6. Bersihkan Karat / Mendapan

Bersihkan karat/mendapan dalam cerek elektrik. Untuk bersihkan karat/mendapan dalam cerek elektrik, gunakan bancuhan spray ni dalam 1-2 cawan, kemudian tambah air paip sehingga cerek ½ penuh je (jangan letak banyak sebab bila mendidih air akan melimpah-limpah).

Biarkan suam sebelum bersihkan.

Kalau banyak sangat karat/mendapan, perlu ulang beberapa kali.

cara kilatkan sinki

7. Bersihkan Tong Sampah

Spray cuka ni boleh digunakan untuk bersihkan tong sampah atau kurangkan bau hancing.

Salah seorang kawan yang ada kedai makan gunakan spray ni untuk toilet kedai makan dia untuk elakkan bau ‘semerbak’.

Kalau setakat spray untuk kurangkan bau-bau toilet yang tak diingini, tak nak letak sabun pencuci pinggan pun takpe. Boleh je guna cuka+air je.

Tapi kalau nak jadikan sebagai spray multipurpose (kot nak basuh sinki, kilatkan paip, tile dll) sabun tu bertindak sebagai pencuci yang lembut (sebab tu tak rosakkan permukaan perabot). Boleh kuatkan fungsi cuka jika perlu.

8. Penghalau Serangga

Paling best, spray ni juga boleh digunakan sebagai penghalau serangga.

Larutan ni bukan je membunuh nyamuk, lalat & semut. Tapi cuka tu hilangkan bahan kimia yang dihasilkan semut tadi.

Semut akan buat jalan lain, tapi kena spray dengan kerap.

Itulah antara beberapa kegunaan spray cuka yang boleh dicuba.

Insha Allah memang berguna sangat kalau ada standby dekat dapur siap-siap.

Cubalah!

*Cara hilangkan bau bawang, tandas dan tips membersihkan perkakas dapur ini dikongsikan oleh Yatie Iemra menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Rujuk post asal beliau di SINI untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×