Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan kemunculan virus dan bakteria yang boleh menyebabkan jatuh sakit seperti demam, selesema dan batuk. Cara yang paling berkesan untuk rawat dan cegah virus dan bakteria ini adalah dengan tingkatkan imunisasi antibodi badan. Jadi, pakar ini kongsi 4 jenis bahan mudah yang boleh cegah juga rawat saluran pernafasan dengan baik.
1.MINYAK PATI, AROMA TERAPI dan VIRUS INFLUENZA
Kita dikejutkan dengan kehadiran virus influenza sekarang ini dan ramai bertanya saya tentang sumber-sumber alami khususnya minyak pati @ essential oil yang bertindak sebagai antiviral. Kajian minyak pati juga merupakan sebahagian daripada kajian M.Sc dan Ph.D saya. Minyak pati hasilkan bahan aroma. Bahan ini paling cepat diserap dalam darah memerlukan masa hanya beberapa saat untuk diserap melalui hidung terus ke paru-paru atau melalui kulit terus ke dalam darah.
Soalannya apakah essential oil atau minyak pati? Biasanya minyak pati hadir pada kuantiti yang sangat sedikit(biasanya kurang dari 2%) dan diperolehi menggunakan kaedah penyulingan stim. Setitik minyak pati mengandugi berpuluh-puluh bahan khasiat. Subhanallah. Minyak pati biasanya hadir pada kuantiti tinggi dalam sumber beraroma seperti serai wangi, serai makan, daun kari, buah daun limau purut, cengkih, bunga lawang, kayu manis dan sebagainya. Kajian menunjukkan minyak pati serai boleh membunuh virus. Minyak kayu putih boleh membunuh virus dalam masa 10 minit manakala minyak kayu manis pula boleh membunuh virus dalam masa 30 minit. Minyak “tea tree” juga efektif membunuh virus dalam masa 5 hingga 10 minit. Minyak pati boleh dibeli di kedai Aromaterapi cuma perlu pastikan yang asli.
Kita boleh juga mendapatkan aroma dengan cara merebus sumber-sumber beraroma seperti serai wangi, serai makan, pandan, limau purut dan sebagainya menggunakan periuk nasi dan biarkan pada ‘keep warm’ agar bauan aroma semerbak harum di rumah kita dan membunuh virus. Minyak pati contohnya minyak pati bunga cengkih boleh mendatangkan kesan sampingan jika diambil (diminum) pada kuantiti yang tinggi (contohnya 5-10 ml) dan boleh membahayakan. Fakta dalam jurnal saintifik yang diterbitkan pada tahun 1993 menunjukkan seorang budak hampir mati selepas minum 5 hingga 10 ml minyak bunga cengkih.Cara menggunakan minyak pati adalah dengan mencampurkan setitik minyak pati dengan minyak seperti zaitun sebelum disapu pada kulit. Cara terbaik adalah dengan menghidu aromanya sahaja.
2.BAWANG PUTIH
Bawang putih digunakan untuk membantu mencegah dan membantu merawat jangkitan saluran pernafasan. Beberapa kajian melaporkan ekstrak bawang putih boleh bertindak sebagai antivirus influenza A dan B, cytomegalovirus, rhinovirus, HIV, herpes simplex virus 1 dan 2, virus pneumonia dan rotavirus. Ajoene dan allicin adalah bahan antivirus yang kuat dalam bawang putih.
Bagaimana bahan ini terbentuk? Alliin adalah sejenis asid amino dan terdapat dalam bawang putih. Bahan ini berubah menjadi allicin dan ajoene selepas bawang putih diketuk atau dilukakan. Bahan ini mempunyai sifat antivirus, antitumor, antioksidan, anti-radang, antikulat dan antibakteria. Allicin juga boleh membantu menghalang pertumbuhan sel-sel kanser.
Caranya adalah dengan mengambil 2 atau 3 ulas bawang putih, buang kulit, ketuk, biarkan sehingga 10 minit, campur madu asli, tambah air suam dan seterusnya diminum. Kajian ke atas 146 orang mendapati mereka yang mengambil bawang putih segar setiap hari selama 3 bulan kurang mendapat risiko selsema berbanding mereka yang tidak menggambil bawang putih. Walaubagaimanapun, elakkan penggambilan bawang putih pada dos tinggi kerana boleh meningkatkan risiko pendarahan terutama bila dimakan bersama-sama ubat cair darah. Bawang putih juga tidak boleh diambil pada dos tinggi di kalangan orang yang mempunyai masalah perut seperti ulser perut.
3.TEH DAUN JAMBU BATU
Kajian awal oleh Saintis Jepun pada tahun 2012 mendapati teh daun jambu batu boleh rencatkan pertumbuhan 3 jenis virus H1N1 (Influenza A). Teh daun jambu batu disediakan dengan merendam pucuk daun jambu kering (20 g) dengan 1 liter air panas (suhu 85oC selama 8 minit). Kajian juga mendapati teh daun jambu batu adalah 3 hingga 5 kali lebih kuat berbanding teh hijau (untuk rencatkan pertumbuhan virus).
Kajian oleh Saintis Sepanyol yang diterbitkan dalam “Journal of Chemistry” pada tahun 2014 pula mendapati ekstrak air daun jambu batu mengandungi 48 jenis bahan berkhasiat. Antara bahan berkhasiat yang tinggi dalam ekstrak air teh daun jambu batu adalah procyanidin B, avicularin, guajaverin dan catechin.
4.TEH HIJAU
Sebelum ini saya telah kongsikan pengambilan daun jambu batu dan bawang putih untuk bantu masalah virus influenza A. Tetapi, mungkin agak sukar untuk anak-anak kita meminum minuman jenis ini memandangkan rasanya yang kurang sesuai. Di sini ingin saya kongsikan alternatif lain yang mungkin lebih sedap diminum iaitu teh hijau.
Kajian teh hijau juga merupakan sebahagian daripada kajian saya di University of Glasgow, Scotland pada tahun 2008. Bermula akhir tahun 1990-an, kajian saintifik mendapati meminum teh hijau boleh bantu kurangkan risiko penularan influenza A.
Di antara bahan-bahan yang hadir dalam teh hijau dan bertindak sebagai perencat pertumbuhan virus influenza H1N1 yang kuat adalah Epigallocatechin gallate (EGCG) dan epicatechin (EC). Teknik berkumur-kumur menggunakan teh hijau juga bantu melindungi jangkitan influenza. Kajian juga telah dilakukan ke atas pekerja kesihatan seramai 197 orang. Seramai 98 orang menggambil teh hijau dan 99 tidak menggambil teh hijau (kawalan). Hasil kajian menunjukkan jangkitan influenza lebih rendah di kalangan mereka yang meminum teh hijau berbanding kawalan
Sebaiknya teh hijau perlu di ‘blend’ dulu menggunakan ‘dry blender’, tambahkan air panas, jus limau (contohnya limau kasturi) dan tambahkan sedikit madu asli. 3 g teh hijau dalam 300 ml air panas sudah mencukupi. Minum dan berkumur-kumur menggunakan teh hijau setiap hari, setiap pagi. InsyaAllah kita akan terhindar dari jangkitan influenza A. Selamat mencuba dan jangan lupa dapatkan madu asli dan minuman berkhasiat bersaskan madu kelulut keluaran.
Sumber: Dr Suri Roowi