7 TIPS / PETUA / CARA HALAU MONYET DARI KEBUN RUMAH
Berkebun sememangnya satu aktiviti yang baik. Banyak perkara yang perlu diambil kira supaya tanaman hidup sihat.
Antara perkara yang selalu merunsingkan pemilik kebun semestinya gangguan haiwan perosak terutamanya monyet.
Jika dibiarkan, monyet boleh jadi lebih agresif dan tidak takut untuk rosakkan tanaman.
Jom kita semak cara halau monyet secara berkesan.
1. Kenalpasti Punca dan Jauhinya Daripada Monyet
Sama ada anda sedari atau tidak, pasti ada sesuatu di sekeliling rumah atau kebun anda yang membuatkan monyet asyik datang. Oleh itu, anda perlulah cari punca tersebut. Kebanyakan masa monyet pasti akan mencari makanan. Anda boleh buat beberapa perkara ini untuk jauhi monyet :
• Elakkan buang sampah di tempat terbuka.
• Tutup tong sampah dengan baik. Anda juga boleh ikat atau kuncikan tong sampah untuk elakkan monyet selongkar sampah.
• Bagi anda yang mempunyai pokok berbuah, anda perlu rajin petik buah dan jangan biarkan buah ranum di atas pokok. Ini boleh menyebabkan monyet suka datang dan makan buah di pokok anda.
2. Gunakan Campuran Belacan dan Ubat Gegat
Petua ini telah tular di Facebook tak lama dahulu dan dikatakan berkesan. Bau campuran belacan dan ubat gegat didapati boleh membuatkan monyet lintang-pukang lari.
Cara –caranya ialah seperti berikut :
1. Bakar belacan untuk naikkan aroma dan hancurkan belacan menjadi kepingan kecil.
2. Hancurkan ubat gegat sehingga jadi butiran kecil.
3. Ambil botol air mineral kosong dan lubangkan di bahagian atas. Masukkan belacan dan ubat gegat tadi. Kuantitinya terpulang pada anda. Lagi banyak lagi bagus kerana baunya akan lebih kuat.
4. Tutup botol hingga rapat dan ikat tali pada tengkuk botol dan gantungkan pada kawasan laluan monyet.
Kredit Foto : Facebook Mingguan Wanita
3. Gunakan ‘Air Kencing Harimau’
Seperti yang kita tahu, harimau memang cukup ditakuti oleh haiwan termasuklah monyet dan haiwan perosak lain.
Namun ia bukanlah air kencing harimau sebenar, sebaliknya ia adalah sebatian bahan kimia yang mempunyai bau yang sama dengan air kencing harimau.
Ia boleh didapati secara online di Shopee, Lazada atau di kedai pembekal berkebunan dan kedai racun perosak.
Anda boleh semburkan air kencing harimau ini di sekitar kebun atau kawasan luar rumah untuk halau monyet.
4. Gantungkan Ular atau Harimau Mainan
Bagi menakut-nakutkan monyet daripada menghampiri kawasan kebun anda boleh letakkan patung harimau atau ular mainan di atas pokok atau luar rumah.
Satu tips lagi ialah anda boleh gunakan tayar motor lama dan warnakannya seperti kulit ular. Kemudian gantungkannya pada kawasan yang sering lalui monyet.
Kredit Foto : Facebook Jom Tanam Sendiri Di Rumah
5. Gunakan Alat Penggera Solar
Monyet cukup takut dengan bunyi yang kuat. Apa kata anda lindungi kebun dengan alat penggera solar? Alat ini didapati berkesan untuk menghalau monyet dan haiwan perosak lain.
Dengan kekuatan bunyi 129 dB, ia cukup membingitkan untuk menakut-nakutkan monyet.
Dengan bateri tahan yang tahan lama, ia mampu mengesan monyet dari jarak 6 meter jauhnya selama 24 jam sehari.
Kredit Foto : Youtube Tok Alang Channel
6. Gantungkan CD di Sekitar Kebun
Anda ada CD lama di rumah?
Anda boleh gunakannya untuk menghalau monyet. Monyet tidak suka pada cahaya menyilaukan bila CD bergerak-gerak ditolak angin.
Anda boleh gantung 2 ke 3 buah CD pada satu tali dan letakkannya di kawasan laluan monyet.
7. Gunakan duri
Tidak kira duri dari pokok atau duri tiruan yang dibeli di kedai tanaman, anda boleh gunakannya dan letakkan pada pokok yang monyet suka panjat.
Anda juga boleh letakkannya pada kawasan pagar bagi mengelakkan monyet untuk hampiri kebun atau kawasan rumah anda.
Seperti yang kita tahu, monyet sekarang pun makin pandai. Dalam menghalang monyet dari datang, anda mungkin perlu ubah taktik anda dari semasa ke semasa.
Apa yang penting, kita tidak boleh putus asa dalam menghalau monyet dan jangan pula gunakan cara yang boleh menyakiti haiwan.
Selamat mencuba!
Sumber :
- 3 Petua (Tips) Menghalau Monyet (How To Avoid Monkeys) Daripada Musnahkan Pohon Durian :https://www.youtube.com/watch?v=fw2lnaDZ1tA
- Cara Moden Menghalau Monyet – How To Chase Away Monkeys Using Solar Alarms https://www.youtube.com/watch?v=_A7Pe9RNrLs
- 7 Tricks to Prevent Monkey Troops From Destroying Crops https://proshieldpest.com/monkey-troops/
- 5 Cara Menghalau Monyet Dan Babi Hutan Tanpa Membunuh https://www.mrspip.com/2021/03/5-cara-menghalau-monyet-dan-babi-hutan.html