Asuh

6 Cara Disiplin Anak Sejak Kecil. Semuanya Bermula Dari Rumah!

109
SHARES
Cara Disiplin Anak

Cara Disiplin Anak

Perkara yang amat penting dalam pendidikan anak-anak ialah bagaimana kita mahu mendisiplinkan anak-anak. Kita mahu anak-anak kita berkelakuan baik ketika berada di kenduri, ketika berada di pusat membeli belah, ketika makan dan sebagainya. Sebenarnya, jika ingin disiplin anak, tidak perlu sampai memukul. Namun ia tidak semudah itu.

Anak-anak pasti menguji kesabaran ibu bapanya. Apabila berbicara soal disiplin dan akhlak anak-anak, tidak ada cara yang paling mudah melainkan ianya dipraktikkan dari rumah lagi. Tugas mendisiplinkan anak-anak tidak dapat diserahkan kepada orang lain. Mendidik anak bukan boleh semberono sahaja. Kena ikut aturan Islam dan serba sedikit psikologi. Ikut cara Rasulullah lebih bagus.

Sebagaimana kita menghantar anak kita ke tuisyen matematik mahu pun Bahasa Inggeris, akhlak dan disiplin perlu diterapkan dari mereka kecil lagi iaitu dari rumah. Benar, pelajaran itu penting. Semua orang mahu mendidik anak agar pandai, tetapi ramai yang terlupa bahawa akhlak itu lebih utama.

Jika anda adalah ibu bapa yang menghadapi anak-anak yang tidak mahu mendengar, moga tips ini dapat membantu anda.

1. Hargai mereka

Anak-anak suka dihargai. Kadangkala kita mudah sahaja melihat kekurangan serta keburukan anak-anak tanpa kita menyedari mereka juga mempunyai banyak kebaikan. Hargailah mereka ketika membuat perkara yang baik. Jika anda terlihat mereka membuang sampah ke dalam tong sampah tanpa disuruh, pujilah mereka, berilah bintang di carta disiplin mereka atau peluklah mereka.

Anak pasti rasa dihargai dan suka mengulanginya. Contohnya, “Wah, bagusnya Wafi solat tanpa disuruh. Sebab itu Ibu sayang kepada Wafi. Wafi anak yang baik”.

Ingat, bukan mudah melatih anak disiplin! Namun untuk menerapkan dan menanamkan disiplin pada anak, kita perlu hargai mereka selalu. Barulah mereka rasa dihargai.

2. Fahamkan dan jelaskan

Kita marah anak membuang sampah merata-rata atau tidak menyimpan mainannya selepas bermain. Namun adakah mereka sudah dijelaskan dahulu tentang tanggungjawab mereka? Cara disiplin anak dengan marah-marah sebenarnya akan buat akan lebih tidak peduli. Sudahkan anda menjelaskan kepada mereka apa yang anda mahu?

Contohnya, “Wafi mesti buang sampah ke dalam tong sampah supaya rumah kita bersih.” Atau, “Letakkan baju kotor ke dalam bakul biru supaya mudah ibu mahu cuci baju nanti.”

Cara disiplin anak perlukan kreativiti. Bukan sekadar jeritan semata-mata. Untuk melatih anak disiplin, berikan arahan yang jelas agar mereka faham maksud sebenar kita. Kadang-kadang, mereka silap interpretasi apa yang kita mahukan.

3. Kita tenang dulu

Mudah sahaja darah kita naik bila anak buat silap. Betul atau tidak?

Ini sebenarnya sikap yang tidak elok dan perlu dijauhkan. Cara disiplin anak dalam bentuk yang kasar bakal melahirkan anak yang kasar juga.

Jika melihat anak membuat kesalahan, kitalah yang mesti tenang dahulu. Jangan bertindak mendenda atau memukul anak ketika kita dalam keadaan marah. Ini akan menyebabkan kita berada luar kawalan dan tidak berfikir dengan baik.

Anak yang selalu dimarah dan dikasari lebih sukar untuk dibentuk dan dinasihati berbanding anak-anak yang selalu disentuh dan dipeluk, dinasihati serta ditegur dengan cara yang berhikmah. Masalah juga dapat diselesaikan dengan lebih baik berbanding jika kita menyelesaikannya dengan emosi. Bukankah ini cara disiplin anak yang dianjurkan dalam Islam?

4. Konsisten

Dalam Islam, kita panggil Istiqomah. Semua orang tahu, bukan mudah untuk Istiqomah dalam ibadah, apatah lagi dalam mendidik anak. Namun, ia bukan satu alasan untuk kita tidak Istiqomah. Jangan hari ini cakap lain dengan anak, esok kita cakap lain. Anak pun boleh jadi pening, “Eh, haritu ibu cakap lain, harini lain pulak”.

Yang sebenarnya, cara mendidik anak bukan sahaja perlukan Istiqomah, malahan kesabaran.Ingatlah, mendidik anak berdisiplin memerlukan konsistensi. Jika kita mahu mereka meletakkan baju kotor di dalam bakul, tegur atau ingatkan mereka ketika kita nampak mereka hanya meletakkannya di atas lantai. Jika kita tidak konsisten dengan peraturan yang ditetapkan, anak juga tidak akan menghormati peraturan tersebut.

5. Jadi contoh tauladan

Pernah dengar, “Kepimpinan melalui teladan”, atau dalam Bahasa Inggeris, “Leadership by example”?. Sudah tentu cara yang paling berkesan bagi mendisiplinklan anak-anak adalah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Jika kita menyuruh anak solat tepat pada waktunya, kitalah yang terlebih dahulu menunjukkan contoh kepada mereka.

Inilah baru cara disiplin anak yang berkesan. Anak-anak lihat contoh terbaik di depan mata. Maka, itulah yang akan mereka ikut.

6. Doa

Berdoalah! Jika anak nakal dan tidak dengar kata, sudah mati akal, tiada cara yang lebih baik dari berdoa. Cara disiplin anak kena seiring dengan aspek kerohanian kekeluargaan.

Sentiasalah mohon kepada Allah semoga anak-anak kita menjadi orang yang senantiasa menjadi penyejuk mata ibu dan ayahnya. Mereka inilah yang menjaga nama baik agama dan keluarga. Menghormati serta mengasihi sesama manusia.

Harapan saya

Sudah semakin sukar untuk melihat insan-insan berakhlak mulia seperti mencari permata di celahan pepasir. Adakah cara disiplin anak yang tidak betul? Wallahuaklam.

Moga kita dan anak-anak kita menjadi sebahagian dari permata itu. Hidup dengan memberi manfaat kepada orang sekeliling kita. Ingatlah, anak itu ialah harta kita di dunia. Jagalah sebaiknya!

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×