Cara buat aiskrim Malaysia tidak cepat cair sering menjadi persoalan dalam kalangan peniaga dan juga individu yang ingin memastikan aiskrim kekal beku lebih lama, terutamanya ketika berniaga di luar atau menghadiri acara sepanjang hari.
Seorang peniaga, Azreen Shaeira, tampil berkongsi tip berguna berdasarkan pengalamannya sendiri bagi memastikan aiskrim tidak mudah cair.
Baca juga: Kek Hujan Panas ‘Legend’ Resipi Arwah Ibu Kembali Jadi Perhatian, Simple Tapi Penuh Kenangan
CARA BUAT AISKRIM MALAYSIA TAK CEPAT CAIR, GUNA TEKNIK INI

Menurutnya, antara kesilapan yang sering dilakukan ialah meletakkan ais biasa ke dalam kotak simpanan aiskrim. Tindakan itu sebenarnya boleh menyebabkan aiskrim menjadi lebih cepat cair.
“Sebagai peniaga aiskrim malaysia, saya nak beritahu, jangan letak ais dalam box aiskrim Malaysia. Aiskrim akan lebih cepat cair,” katanya.
Sebaliknya, dia mencadangkan beberapa langkah yang lebih berkesan untuk mengekalkan suhu sejuk dalam tempoh yang lebih lama. Antaranya ialah membalut bahagian dalam kotak jenis foam dengan aluminium insulated foil bagi membantu mengekalkan suhu sejuk.
Selain itu, aiskrim perlu disusun rapat-rapat bagi mengurangkan ruang udara di dalam kotak. Bahagian atas aiskrim juga boleh ditutup dengan tuala tebal sebagai lapisan tambahan penebat.
Berdasarkan pengalamannya membawa aiskrim Malaysia ke acara, kaedah ini terbukti berkesan. Aiskrim yang dimasukkan ke dalam kotak seawal jam 7 pagi masih mampu bertahan sehingga jam 5 petang, dengan hanya bahagian atas sahaja yang mula menunjukkan tanda mencair.

“Balut dalam foam box dengan aluminium insulated foil, susun aiskrim rapat-rapat, tutup atas aiskrim dengan tuala tebal. Letak dry ice dan ttup box kemas-kemas.
“Insyaallah tahan daripada pagi sampai petang. Pengalaman saya bawa aiskrim malaysia pergi event, daripada 7am masuk kotak, jam 5 petang baru ada aiskrim yang cair. Itu pun bahagian atas sahaja yang mula cair,” tambahnya.
Apa yang paling penting, penggunaan dry ice atau ais kering adalah sangat membantu untuk memastikan suhu kekal rendah dalam tempoh yang panjang. Kotak simpanan juga perlu ditutup dengan kemas bagi mengelakkan udara panas masuk.
Perkongsian ini diharapkan dapat membantu peniaga kecil dan individu yang ingin menjual atau membawa aiskrim Malaysia agar dapat mengekalkan kualiti produk dengan lebih baik sepanjang hari.
Baca juga: Ramai Tak Tahu! Ini Cara Betul Masak ‘Pokok Ajinomoto’ Sebelum Makan, Kalau Silap Boleh Jadi Racun
Sumber: Threads Azreen Shaeira
