“Betulkah orang cakap kalau mengandung tak boleh cabut gigi? Habis, kalau sakit gigi ketika hamil ni nak kena buat apa?”
Disebabkan perubahan hormon dan sering muntah-muntah, maka sesetengah wanita lebih cenderung untuk mengalami sakit gusi atau sakit gigi ketika hamil. Maka, sepanjang kehamilan, wanita perlu menitikberatkan lagi penjagaan gigi kerana tubuh badan lebih sensitif dan tidak boleh mengambil sebarang jenis ubat tanpa preskripsi doktor.
Kami amat berbesar hati kerana seorang doktor gigi, Doktor Iqbal Rosali yang kini sedang berkhidmat di Klinik Pergigian Serian, Sarawak, sudi berkongsikan tips yang amat berguna untuk ibu hamil memandangkan isteri beliau sekarang juga sedang mengandungkan anak pertama mereka
Mari kita ikuti perkongsian beliau ini yang cukup terperinci.
10 Tips Menjaga & Mengatasi Sakit Gigi Ketika Hamil
Berikut adalah tips penjagaan gusi serta cara mengatasi sakit gigi ketika hamil yang mungkin ramai belum tahu.
1. Jalani Pemeriksaan
Perhatikan di dalam buku merah jambu muka surat dua, ada satu kotak di bahagian bawah untuk diisi oleh doktor gigi. Pastikan ruang ini diisi dengan mendapatkan pemeriksaan di klinik gigi selepas pemeriksaan rutin di klinik ibu dan anak.
2. Asid Daripada Muntah Boleh Menyebabkan Kerosakan Gigi
Ada ibu-ibu yang hamil mengalami morning sickness berbulan-bulan lamanya. Asid daripada muntah boleh menyebabkan karies. Pastikan berkumur selepas setiap kali muntah sama ada dengan air atau ubat kumur.

Foto Kredit: parentables.howstuffworks.com
3. Diet Seimbang Penting Untuk Pembentukan Gigi Bayi
Tahukah anda pembentukan gigi bayi bermula seawal kandungan berusia 3 bulan? Diet sihat mengandungi produk tenusu digalakkan untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi.
4. Gusi Berdarah Perlu Diperiksa (Gingivitis)
Perubahan hormon ketika hamil menyumbang kepada masalah ini. Kerap kali gusi berdarah ketika memberus gigi. Dapatkan pemeriksaan berkenaan hal ini.

Foto Kredit: 1025therenegade.com
5. Kurangkan Makanan Manis
Apabila mengandung, ada sesetengah ibu yang mengidam makanan manis. Tidak salah, yang penting jangan terlalu kerap dan bersihkan gigi selepas memakan snek.

Foto Kredit: moderndayqi.com
6. Mengidam Makanan Masam
Kalau sudah mengidam nak buat macam mana. Tetapi pastikan cuci mulut anda selepas itu kerana asid dalam makanan masam seperti jeruk boleh menyebabkan karies.

Foto Kredit: pinterest.com
7. Rawatan Gigi Ketika Hamil Adalah Selamat
Ada yang percaya bahawa wanita hamil tak boleh cabut gigi. Sebenarnya, rawatan gigi semasa hamil adalah selamat. Maklumkan pada doktor gigi anda tentang peringkat kehamilan. Doktor gigi akan rancang temujanji biasanya pada trimester kedua kehamilan.

Foto Kredit: drsmilez.com
8. Rasa Nak Termuntah Semasa Memberus Gigi (Gag reflex)
Ada sesetengah ibu hamil tidak boleh memberus gigi kerana mempunyai gag reflex (rasa nak muntah apabila masukkan sesuatu ke dalam mulut); padahal sebelum mengandung tidak ada pula masalah ini.
Apa yang perlu ibu-ibu lakukan adalah menukar berus gigi kepada saiz yang lebih kecil, berus gigi perlahan-lahan dan ambil sedikit masa. Atau anda boleh tukar ubat gigi kepada jenama lain sekiranya perasa pada ubat gigi yang menyebabkan gag refleks.

Foto Kredit: mynahcare.com
9. Pengambilan Ubat Tahan Sakit

Foto Kredit: elsiglodetorreon.com.mx
10. Jangan Percaya Mitos
Elakkan mempercayai mitos seperti ini:
- Hamil menyebabkan gigi akan bergoyang dan perlu dicabut – TIDAK BENAR
- Gigi ibu-ibu yang hamil rosak kerana kalsium daripada gigi si ibu diberikan kepada bayi untuk pertumbuhan gigi si bayi – TIDAK BENAR

Foto Kredit: gemini.no
Untungnya Jadi Ibu Hamil!
Tahukah anda beruntungnya ibu-ibu hamil ini. Jika mendapatkan rawatan di klinik gigi kerajaan untuk scaling, cabutan dan tampalan, semua ini adalah PERCUMA. Daripada pendaftaran hinggalah selesai rawatan. Untung, bukan?
Jadi, ibu-ibu semua janganlah takut berjumpa doktor gigi kalau mengalami sakit gigi ketika hamil. Para doktor gigi dan kakitangan klinik akan memberi konsultasi dan rawatan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut, sesuai dengan keadaan kehamilan anda.
*Perkongsian asal tentang cara menjaga dan mengatasi sakit gigi ketika hamil ini adalah oleh Doktor Iqbal Rosali, seorang Pegawai Pergigian yang berkhidmat di Klinik Pergigian Serian, Sarawak. Ia diterbitkan semula dengan kebenaran.
**Untuk lebih banyak lagi perkongsian menarik, terutamanya berkaitan kesihatan pergigian, boleh follow beliau di SINI.