40 Minggu

10 Mitos Kehamilan Yang Anda Tak Patut Percaya

260
SHARES
mitos kehamilan

“Bosan juga jadi ibu mengandung ni. Nak makan ini tak boleh, itu tak boleh. Buat ini pantang, itu pun pantang. Memang betulkah atau sekadar mitos kehamilan saja?” 

Penjagaan diri dan kesihatan ibu mengandung semestinya amat penting kerana hampir apa saja yang dilakukan kini boleh memberi kesan kepada kandungan. Sama ada dari segi pemakanan, perlakuan, dan tutur kata, serba-serbi perlu dijaga. Namun, adakah ianya perlu disekat dengan begitu ketat?

Mari kita lihat penjelasannya.

10 Mitos Kehamilan Yang Anda Tak Patut Percaya

Berikut adalah 10 mitos kehamilan yang paling selalu kita dengar dalam masyarakat di Malaysia.

1. Nanas Menyebabkan Keguguran

Salah satu makanan yang kita takut sangat nak makan semasa mengandung adalah nanas.

Menurut laman web LiveStrong, logik di sebalik mitos kehamilan ini adalah berdasarkan sejenis kompaun digelar bromelain yang terdapat dalam nanas. Bromelain ini dikatakan dapat memecahkan protein lalu menyebabkan pendarahan dan keguguran. Rana Conway, penulis buku “What to Eat When You’re Pregnant” yang mengkaji hal ini menjelaskan sebenarnya tubuh kita tidak akan mendapat kesan buruk daripada bromelain melainkan kita memakan 7-10 biji buah nanas sekaligus dalam satu-satu masa.

Walaubagaimanapun, pengambilan pil atau tablet bromelain pula mungkin adalah berisiko terhadap keguguran. Laman web BabyCenter juga mengesyorkan pengambilan buah nanas segar dalam kuantiti sederhana untuk ibu mengandung kerana ia mengandungi sumber vitamin C yang amat baik untuk anda dan bayi.

??????????

2. Kopi Membahayakan Kandungan

Mungkin ada ibu hamil yang dinasihatkan untuk menjauhi minuman berkafein seperti kopi. Ini kerana, secara teorinya kafein dapat meningkatkan tekanan darah dan membuat wanita mengandung sering buang air kecil. Selain itu, ia dipercayai dapat menembusi plasenta dan menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.

Menurut sumber, seorang wanita hamil dibolehkan mengambil kurang daripada 200mg kafein setiap hari. Ini bermaksud, hadkan pengambilan kopi anda kepada 1 cawan sehari.

3. Ibu Hamil Tak Boleh Potong Rambut

Secara klinikalnya, tiada alasan mengapa ibu hamil tidak boleh potong rambut. Sebaliknya, memotong rambut adalah baik kerana badan ibu hamil selalu terasa hangat dan kurang selesa. Maka, lebih mudahlah untuk menjaga kebersihan diri serta meningkatkan kualiti kesihatan, lebih-lebih lagi menjelang waktu berpantang.

Walaubagaimanapun, seeloknya tangguhkan dahulu sebarang jenis rawatan atau dandanan seperti ‘rebonding’, mewarna rambut, atau rawatan yang menggunakan kimia berlebihan di salon.

Foto Kredit: howtoremovethat.com

Foto Kredit: howtoremovethat.com

4. Makan Kicap Bayi Gelap, Minum Soya Bayi Putih

Anggapan ini adalah tidak berasas kerana warna kulit bayi tidak ditentukan oleh makanan ibu hamil. Sebaliknya, warna kulit manusia bergantung kepada pigmen dan juga genetik anda.

Yang penting dalam sesebuah makanan adalah nutrisinya. Warna makanan sama sekali tidak memberi kesan kepada kesihatan dan warna kulit bayi yang bakal lahir.

tips memilih susu formula

Foto Kredit: mykitchenoflove

5. Bentuk Perut Boleh Menentukan Jantina Anak

Mitos kehamilan ini sering dianggap benar kerana salah satu tekaan saja memberi kebarangkalian 50%. Sebenarnya, posisi bayi dalam kandungan juga dipengaruhi oleh saiz badan dan binaan fizikal ibu mengandung.

Logiknya, jantina bayi tidak boleh ditafsirkan hanya melalui pandangan mata kasar.

tahu jantina bayi

Foto Kredit: s3.amazonaws.com

6. Ibu Hamil Patut Makan Untuk 2 Orang

Ibu hamil sebenarnya patut memlih makanan dengan berhati-hati, lebih-lebih lagi jika mereka tergolong dalam golongan yang berisiko terhadap diabetes gestasi (kencing manis semasa mengandung).

Secara umumnya, kehamilan hanya memerlukan 300 kalori tambahan setiap hari (iaitu lebih kurang kalori dalam semangkuk mee sup). Jika anda makan untuk 2 orang, anda berpotensi menambah lebihan berat badan dan mempunyai saiz bayi yang lebih besar.

peranan suami semasa isteri mengandung

Foto Kredit: weziwezi.com

7. Bayi Yang Besar Lebih Sihat

Sesetengah wanita berasa malu dan hairan sekiranya perut mereka tidak membesar seperti sesetengah rakan-rakan lain. Asalkan anda mempunyai berat badan yang tidak membimbangkan, anda sebenarnya tidak perlu risau.

Menurut laman web kehamilan MomJunction, purata berat badan bayi yang sihat adalah sekitar 3.4 kg. Bayi yang lebih besar daripada itu mungkin berisiko untuk dilahirkan secara normal dan boleh mengalami masalah kesihatan seperti diabetes apabila meningkat usianya.

kelebihan ibu mengandung

Foto Kredit: thebump.com

8. Letih & Mengidam Adalah Tabiat ‘Terlebih’ Manja

Gejala mengidam memang biasa terjadi pada awal kehamilan, tetapi tak semua ibu hamil merasakannya. Oleh itu, sesetengah suami atau ahli keluarga menganggap bahawa tindakan ini adalah dibuat-buat dan tidak sepatutnya dilayan sama sekali.

Namun, anda perlu faham bahawa perubahan turun naik hormon dalam tubuh seseorang wanita adalah berbeza. Ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal. Tubuh badan mereka juga sedang bekerja keras untuk memenuhi segala keperluan kandungan. Oleh itu, cubalah fahami mereka yang sedang bergelut dengan keadaan ini.

Foto Kredit: gemini.no

Foto Kredit: gemini.no

9. Hubungan Intim Membahayakan Bayi

Jangan risau, hubungan intim adalah selamat kerana secara fizikalnya bayi anda dilindungi oleh air ketuban (amniotic sac) dan otot rahim yang kuat. Kadangkala, anda mungkin akan terasa kontraksi pada rahim, namun ia adalah normal dan bukanlah sesuatu yang merisaukan. Selain itu, bahagian serviks juga dilindungi oleh mucus plug yang boleh membantu menghindarkan jangkitan.

Sekalipun begitu, anda tidak sepatutnya melakukan hubungan intim sekiranya pasangan anda sering bertukar-tukar pasangan atau menghidap masalah jangkitan seksual (STD) seperti herpes, chlamydia atau HIV kerana penyakit ini boleh membahayakan kandungan. Pendarahan yang berlaku ketika melakukan hubungan intim juga perlu diberi perhatian dan dirujuk kepada doktor.

Foto Kredit: maminka.cz

Foto Kredit: maminka.cz

10. Menyusu Semasa Mengandung Boleh Menyebabkan Keguguran

Seperti hubungan intim, penyusuan badan semasa mengandung juga boleh menyebabkan rasa kontraksi kecil. Menurut kajian, penyusuan badan tidak mempunyai perkaitan secara langsung dengan masalah keguguran.

Walaubagaimanapun, sekiranya anda pernah mengalami kelahiran pramatang sebelum ini, rujuklah kepada doktor sebagai langkah berjaga-jaga.

Utamakan Kesihatan Dengan Diet Dan Aktiviti Seimbang

Secara khususnya, setiap wanita mempunyai penerimaan berbeza terhadap sesetengah makanan dan aktiviti yang dilakukan. Jika kehamilan anda tidak berisiko, anda boleh melakukan perkara-perkara di atas secara bersederhana. Jangan terlalu mempercayai mitos kehamilan hingga ia menjejaskan diet dan emosi anda.

Di samping itu, perbanyakkanlah berdoa dan berzikir untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental yang optimum.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×