“Hmmm… Tadi pergi ‘check-up’, aku macam dengar doktor cakap bini aku ni kurang air ketuban. Tapi, aku lupa pula nak tanya sama ada bahaya atau tak. Macamana pula boleh jadi kurang ni ya. Tak cukup minum air ke?”
Selalu juga dengar ada yang kurang air ketuban semasa mengandung. Masalah ini biasanya akan menjadi lebih kritikal apabila hampir waktu bersalin. Tapi, apa risikonya?
Fungsi Air Ketuban
Air ketuban, atau istilah sainsnya bendalir amnion (amniotic fluid) adalah diibaratkan seperti kusyen yang melindungi bayi.
Selain mengelakkan kecederaan fizikal akibat kemalangan, ia juga bertindak sebagai lapisan pelindung untuk mencegah jangkitan kuman dari luar.
Air ketuban turut membantu memberi keselesaan dalam menstabilkan suhu dan memberi ruang kepada pertumbuhan, pergerakan serta perkembangan bayi.

Indeks air ketuban boleh ditentukan dalam pemeriksaan USG. / Foto Kredit: pogu.com.au
Bagaimana Air Ketuban Boleh Berkurang?
Paras air ketuban ini amat sukar dirasakan sendiri oleh ibu mengandung. Ia hanya dapat diukur berdasarkan indeks cairan ketuban menggunakan USG (Ultrasonography).
Kadar normal air ketuban ialah dari bacaan 0.5- 2.5 liter. Kekurangan air ketuban dipanggil ‘oligohidramnion’.
Antara faktor yang menyebabkan kurang air ketuban adalah:
- kebocoran air ketuban tanpa disedari
- plasenta tertanggal sebelum bersalin (placental abruption)
- kandungan yang melebihi tarikh ‘due date’
- darah tinggi yang kronik
- kesan pengambilan ubat-ubatan
- masalah kesihatan pada bayi
- kehamilan kembar

Foto Kredit: netdoctor.co.uk
5 Bahaya Kurang Air Ketuban Ketika Mengandung
Paras air ketuban yang tidak normal, sama ada terlalu sedikit atau terlalu banyak boleh mendedahkan ibu kepada beberapa komplikasi.
Antara kesan kurang air ketuban adalah:
1. Lemas
Keadaan ini boleh berlaku akibat ganguan aliran darah dan oksigen yang disalurkan daripada ibu kepada kandungan.
Menurut sumber ini, sindrom aspirasi meconium di mana kandungan air ketuban yang sedikit menyebabkan najis janin tidak cair lalu berisiko memasuki ruang pernafasannya.
Sebab itulah pentingnya anda ‘menyerah diri ‘ ke hospital jika telah terlalu lama melewati tarikh jangkaan bersalin yang ditetapkan oleh doktor.

Foto Kredit: eumom.ie
2. Masalah perkembangan bayi
Penyempitan ruang dalam rahim boleh mengganggu pembentukan paru-paru atau kecacatan anggota.
Selain itu, ia menyebabkan kedudukan janin yang tidak normal dalam rahim lalu mengurangkan potensi untuk bersalin secara normal.
Maka, ibu terpaksa menjalani prosedur pembedahan Caesarean demi menyelamatkan kandungan dan juga dirinya.

Foto Kredit: keyword-suggestions.com
3. Jangkitan Kuman
Sekiranya air ketuban pecah melebihi 24 jam, kuman boleh menjangkiti air ketuban dan janin melalui faraj.
Kesannya, ia boleh mengakibatkan pneumonia. Ia bukan saja membahayakan bayi, tetapi juga ibu apabila kuman memasuki aliran darah janin dan ibu (sepsis).

Foto Kredit: nokshe.com
4. Kelahiran pramatang
Apabila air ketuban terlalu sedikit, pertumbuhan dan perkembangan janin boleh terjejas. Oleh itu, ada masanya bayi terpaksa dilahirkan sebelum cukup 40 minggu dalam kandungan.
Kelahiran pramatang ini mendedahkan bayi kepada komplikasi umum seperti kesukaran pernafasan, masalah usus, atau jangkitan.

Foto Kredit: origin.amp
5. Keguguran
Jika terjadi pada trimester pertama, ia dikhuatiri dapat menyebabkan keguguran.
Jika doktor dapat mengesan kekurangan air ketuban sejak awal, anda akan dipantau dengan lebih kerap sehingga usia kehamilan telah cukup untuk melahirkan.

Foto Kredit: lexicolatry.com
Jangan Abaikan Sebarang Tanda
Jika anda mengesyaki terdapat sebarang ketidakselesaan atau lendiran yang keluar, pastikan anda tidak teragak-agak untuk bertanyakan dengan doktor.
Berbeza dengan keputihan atau lelehan faraj, air ketuban tidak berbau dan sangat cair. Air ini cepat membasahi atau meleleh apabila terpecah atau terbocor.
Jika dikesan awal, keadaan bayi dalam kandungan akan diperhatikan dengan lebih teliti dan segala persediaan boleh dilakukan secukupnya untuk membantu proses bersalin dengan selamat.