Inspirasi

‘Struggle’ Dengan Dyslexia, Pernah Gagal Diploma & Degree. Ini Kisah Saya Tamatkan PhD Hingga Bergelar Jurutera

453
SHARES
inspirasi dyslexia

Tahukah anda apakah itu diyslexia?

Ya, yang orang kata selalu tulis huruf terbalik-terbalik tu.

Ini kerana dyslexia dikaitkan dengan masalah pembelajaran dan koordinasi.

Kanak-kanak dyslexia umumnya mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.

Sempena bulan Oktober, iaitu Bulan Kesedaran Dyslexia / disleksia, kami ingin kongsikan sebuah kisah inspirasi yang sangat menarik oleh Dr Syahid Fawzal atau lebih mesra dikenali sebagai Dr Aid Fawzal sebagai seorang dyslexia.

Walaupun mengalami kesukaran pembelajaran dan pernah gagal berkali-kali, beliau memiliki keazaman yang tinggi dan berjaya menamatkan PhD sehingga bergelar jurutera!

Jom baca kisah beliau selanjutnya.

‘Struggle’ Dengan Dyslexia, Pernah Gagal Diploma, Degree. Ini Kisah Saya Tamatkan PhD & Bergelar Jurutera

Bulan ini (Oktober) adalah bulan kesedaran dyslexia.

Sebagai seorang dyslexia (sederhana/mild), saya ingin memberi kesedaran kepada rakan² bahawa dyslexia adalah bukan kecacatan dan ia hanyalah masalah pembelajaran (learning disabilities).

Ia juga bukan penyakit apetah lagi sesuatu yang boleh berjangkit.

Atas sebab itu, seseorang yang mempunyai dyslexia lebih manis dikatakan “mempunyai” dan bukan “dijangkiti”. Maksudnya jika anda atau anak anda disahkan mempunyai dyslexia, dia dilahirkan begitu.
Jangan bersedih.

Setiap insan ni unik, samalah dengan individu² yang mempunyai dyslexia.

Mereka mempunyai masalah pembelajaran yang berbeza² dan pastinya, bila Allah berikan kekurangan, Dia juga berikan kekuatan pada sudut yang lain.

Kegagalan Mengajar Aku Erti Melangkah

Saya ni, bukan terus2 belajar, dan-dan pandai, boleh cipta teknologi & cadangkan formula fizik tiba2.

Sebaliknya saya pernah gagal beberapa kali.

Ini kisah saya, Bismillah..

Kegagalan Pertama

Saya gagal dalam Diploma pertama saya di UTMKL.

Sewaktu tu, saya bukan sibuk belajar tapi sibuk bermain; main muzik, gig sana-sini, main kete, tengok racing halal di Batu Tiga, tengok racing haram, lepak dataran, seronok tengok polis main kejar2 dengan mat Rempit, menyebok tolong/kerja (volunteer) kat workshop, jual barang kereta dan macam2 lagi.

Akhirnya, saya gagal setelah bertahun2 menghadiri kelas dan menelaah. Saya terpaksa drop-out*.

Lalu saya ulang Diploma saya di UNIKL-MFI (Malaysia France Institite) dan alhamdulillah.

Kegagalan Kedua

Kali ke-2 saya gagal sewaktu saya buat Degree di Loughborough University, UK.

Sewaktu yang ini, saya fokus dalam belajar tapi saya masih bersambil dengan minat saya.

Saya baiki kereta, saya buat jual/beli kereta, percubaan utk import kereta dari Jepun ke UK, merayap pergi acara kereta untuk berfotografi dan lain2.

Kali ini, saya gagal bukan sebab bermain. Tapi kerana tidak kenal cabaran sebenar akan pembelajaran di UK**.

Mujurlah institusi pengajian tinggi di UK ini ada sistem ‘fall-back’. Walaupun saya gagal untuk perolehi Degree, mereka berikan sijil CertHE kepada saya.

Dengan sijil tersebut, saya teruskan langkah Degree saya di University of Derby, UK.

Allah ajar saya yang kehidupan ini penuh dengan cabaran olehNya.

Barulah saya faham akan ayat Allah ini:
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
“Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” – Al-`Ankabut[29]:2

Dalam pada gagal tu, dapat la jugak saya selesaikan Diploma pada umur 26 tahun dan Degree pada umur 28 tahun. Lewat juga, ape kesah, saya kan kura-kura dan ini jalan saya.

Pada siri kegagalan yang saya tempuhi, Allah ajar saya erti melangkah.

Suatu hari sewaktu gagal, saya buka koleksi 40 hadith Imam Nawawi.

Saya mula dengan Basmallah & buka hadith nombor 1; Hadith ni sangat popular dalam masyarakat kita.

“Setiap perbuatan/amalan … niat..” – (Bukhari: 54). Tersentak saya.

Baru saya sedar, kalau perbuatan perlukan niat, maka nak maju melangkah kita perlukan tujuan/sebab/alasan/purpose.

Lalu saya tercari2 dan mencari2 apa niat, apa tujuan dan apa sebab untuk saya terus kehadapan tanpa kesahkan kegagalan ni. *

Tujuan Saya Buat PhD

Phd adalah puncak tertinggi dalam pendidikan formal.

Masakan satu orang, pernah gagal dalam sistem pembelajaran yang tak seberapa nak tinggi tapi punya mimpi untuk memanjat menara gading, kan?

Tapi itulah saya, punya optimistik meletakkan janji pada Umi sewaktu saya gagal buat kali ke-2.

Sewaktu kecil, abah selalu bawa kami ke majlis-majlis agama.

Kami adik beradik pergi untuk bermain, jumpa kawan baru, panjat sana sini. Menara Masjid Bandar Sri Damansara tu 3 daripada 4 nya kami dah panjat. hihi.

Apa yang menarik, dalam pada tak mendengar ceramah tu, ada satu ayat yang duduk dalam benak saya secara tidak saya sedari.

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” – Al E Imran[3]:190**

Suatu hari yang lain, saya ngaji2 dan terbaca ayat ni, saya kata kat diri sendiri “Saya nak jadi golongan {ٱلۡأَلۡبَـٰبِ}: orang-orang yang berakal/berfikir. Inilah tujuan saya!!!”

Lalu Allah beri saya peluang untuk buat PhD yang ditaja oleh syarikat industri di UK (2015).
Saya buat kerana lillahitaala, buat kerana nak memujuk hati kecil Umi yang hampir ranap dek siri kegagalan saya.

Bila dah gagal dan saya temui tujuan saya untuk berjaya, langkah-langkah saya lebih pantas kehadapan. Segala kesalahan yang saya buat semalam, kini bertukar menjadi panduan untuk hari ini.

inspirasi disleksia

Cara Saya Atasi Kelemahan Dan Menguruskan Dyslexia

Saya sendiri mempunyai masalah membaca, menulis & mengira.

1) Bila membaca:

• Sampai hari ini, saya sukar untuk membaca teks dengan lantang (out loud) dan jika baca, saya akan terlompat² baris dan tertinggal perkataan serta terkedek².

2) Bila menulis:

• Tulisan saya caca-merba, senget benget, salah ejaan, terlupa ejaan, typo dll.

3) Mengira pula:

• Tak mampu congak dan terlalu lambat utk menjawab sifir.

Saya sedari kelemahan saya. Maka saya memaksa diri untuk perbaiki diri dan telah cuba melawan dengan kelebihan yang saya ada.

Jadi, Apa Yang Saya Buat?

1) Membaca

• Disebabkan saya lemah membaca secara normal, saya mencipta teknik bacaan sendiri. Dengan ini, saya dapat membaca sama seperti orang lain. (Saya kongsikan cara saya membaca literatur – buku, thesis, report, conference & journal publication melalui video di bawah)

• Kemahiran/skill membaca saya telah saya buktikan dengan berjaya melangkah kedepan sampai mempunyai, PhD Alhamdulillah.

2) Menulis

• Yang ini memang tak ada ubat melainkan berlatih, berlatih & berlatih.

• Hari ini, saya mampu menulis secara bersahaja.

3) Mengira

• Dengan kelemahan yang ada, saya pilih untuk membuat calculator sendiri menggunakan MS Excel dalam apa jua kiraan saya. Ini bagi mengelakkan saya membuat kesilapan.

• Dan sekarang, makanan harian saya datang daripada kiraan (simulasi) pergerakan gas, cecair & pepejal sebagai jurutera.

cara ajar anak disleksia

Kegagalan Bukanlah Sesuatu Yang Sia-sia

Apa yang Allah berikan pada saya; kegagalan itu & ini adalah tidak sia-sia.

Ini membawa kepada sambungan ayat Al E Imran (pada bahagian ke 2 yg lalu) iaitu:
ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” – Al E Imran[3]:191

Jika anda gagal hari ini, bersangka baiklah dengan Allah. Kegagalan ni mcm persediaan utk kita ke depan dengan lebih baik.

Dengan siri kegagalan sebelum inilah saya dapat:

  • PhD yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat UK,
  • Submit PhD dlm masa 3 tahun,
  • Cipta sistem penyejukan baharu (novel cooling system: rotor cooling technique),
  • Temui nombor tidak berdimensi baharu (new dimensionless number), dan
  • Dapat tawaran kerja industri sana-sini serata dunia.

Teruslah Melangkah, Jangan Putus harapan

Apa yang ingin sampaikan adalah:

  1. Jika anda atau anak anda disahkan sebagai seorang dyslexia, jangan sedih2. Redho dan terus melangkah. Saya harap apa yang saya lalui ini dapat beri inspirasi buat anda.
  2. Saya gagal (dismissed) diploma pertama, ulang lagi. Saya gagal (fallback) degree pula, buat lagi. Belajar, kerja & bermain sampai buat master & PhD (sebab janji pada Umi). Kalau saya boleh, kenapa tidak anda?
  3. Pendidikan kita mengukur kebolehan membaca, menulis & mengira dan ketiga² ini adalah kelemahan utama seorang dyslexic. Jika anda atau anak anda dyslexia, cari minat & kebolehannya. Gunakan minat untuk melawan kekurangan.
  4. Saya lemah membaca, tapi saya minat kereta/motor. Jadi bahan bacaan saya menjurus kearah minat saya.
  5. Untuk ibu bapa yang mempunyai anak dyslexia, jangan putus harapan (hope) terhadap anak² anda. Insyaallah mereka akan berjaya nanti.

Selamat mengenali Dyslexia,
Dr Aid Fawzal
Middlesbrough UK

*Perkongsian ini telah disunting melalui posting asal Dr Aid Fawzal menerusi page beliau di Facebook. Untuk pelbagai lagi info terutamanya tentang isu semasa berkaitan dengan automotive, motorsports dan mechanical engineering, sila follow beliau di Facebook dan Twitter.

Untuk ketahui lebih lanjut tentang dyslexia dan tanda-tandanya, jemput baca artikel ini : Boleh Dikesan Seawal 5 Tahun, Ini Tanda Disleksia Pada Anak Yang Ibu Ayah Kena ‘Alert’

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×