“Eh, selesa ke anak aku ni tidur tak berbantal? Kalau aku yang tidur tanpa bantal, mesti sakit satu badan bila bangun tidur. Tapi, kakak aku yang cakap boleh bagi bayi pakai bantal kalau dah berumur 2 tahun ke atas saja.”
Bila nak tidurkan anak, memang macam-macam persediaan yang akan kita lakukan demi memastikan bayi selesa.
Ada yang didodoikan, ditepuk-tepuk, dibedungkan, dan ada yang menyediakan segala kelengkapan seperti selimut dan memberi bayi pakai bantal tertentu.
Bolehkah Bayi Pakai Bantal Semasa Tidur?
Tahukah anda,bahawa sehingga kini belum ada lagi kajian kukuh yang membuktikan bayi pakai bantal semasa tidur dapat memberi lebih banyak manfaat.
Sebaliknya, lebih banyak penemuan yang menunjukkan penggunaan bantal oleh bayi semasa tidur ini mampu mendatangkan beberapa risiko yang membahayakan kesihatan, terutamanya bayi baru lahir.
5 Sebab Bayi Tak Perlu Pakai Bantal Semasa Tidur
Ini 5 sebab bayi yang berumur bawah 2 tahun tidak digalakkan memakai bantal.
1. Mendedahkan Bayi Kepada Risiko SIDS
SIDS, singkatan untuk ‘Sudden Infant Death Syndrome’ atau Sindrom Kematian Bayi Mengejut adalah kematian yang tiba-tiba walaupun bayi tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Walaupun punca utamanya masih belum dikenalpasti, namun ramai pakar berpendapat bahawa penggunaan bantal meninggikan risiko SIDS pada bayi, terutamanya yang berumur bawah setahun.
2. Menghalang Pernafasan Bayi
Bantal yang terlalu lembut atau bantal berbentuk ‘U’ yang dibuat khas untuk bayi sebenarnya boleh menyebabkan muka bayi boleh terhalang daripada mendapat oksigen yang cukup apabila berpusing ke kiri atau kanan.
Selain itu, dikhuatiri bantal bayi boleh terkoyak dan terkeluarnya isi bantal hingga menyebabkannya sesak nafas.
3. Menyebabkan Sakit Tengkuk
Menurut thehealthsite.com, pemilihan bantal yang tidak sesuai boleh menjadi punca sakit tengkuk kepada bayi.
Keadaan ini dijangka lebih membimbangkan sekiranya bantal digunakan semasa tidur yang panjang, iaitu sepanjang waktu malam.
4. Salah Satu Punca Alahan
Bayi lebih sensitif terhadap debu, bulu, atau bahan asing yang kita sendiri tidak nampak dengan mata kasar.
Kadangkala, mungkin ada kotoran yang terlekat pada bantal ini menjadi punca timbulnya reaksi alahan kepada mereka.
5. Menjadikan Keadaan Terlalu Panas
‘Overheating’ atau terlalu panas boleh berlaku apabila kepala bayi ‘tenggelam’ dalam bantal yang terlalu lembut.
Selain itu, penggunaan jenis material yang tidak sesuai mampu menambahkan lagi masalah ini semasa bayi tidur.
Lebih Sesuai Untuk 2 Tahun Ke Atas
Sebenarnya, bayi tidak merasakan banyak perbezaan sama ada mereka menggunakan bantal atau tidak semasa tidur.
Bayi yang berusia 2 tahun ke atas lebih selamat memakai bantal kerana leher mereka adalah lebih kuat.
Maka, mereka dapat mengangkat kepala sendiri apabila muka tertutup bantal.
Pada usia ini juga mereka bijak menunjukkan ketidakselesaan semasa tidur jika tidak sesuai dengan bantal yang digunakan.