Bertuah juga buat si anak, dapat ibu bapa yang sangat bersabar dan bertoleransi apabila lihat anak buat sepah satu rumah. Kadang-kala ada rasa marah juga kerana itu normal.
Bila difikirkan semula kebaikkannya, anak itu akan membesar sebagai bakal individu yang hebat. Biar anak bereksplorasi rumah, selepas main mereka kena kemas! Nak sepahkan rumah boleh saja, tapi kena tetapkan peraturan.
Baca juga: Dr. Jelaskan Mengapa Bayi Kerap Sentuh Telinga Sewaktu Proses Tumbuh Gigi
ANAK BUAT SEPAH JANGAN DIMARAH TAPI BUAT PERATURAN!
Inilah keadaan rumah saya waktu anak masih kecil lagi. Bila siang, lantai akan penuh dengan macam-macam benda. Kertas, kotak, plastesin dan malah lopak air ya, tuan-tuan dan puan-puan. Beras dan sayur dari peti ais pun kadang-kadang tersesat dalam longgokan mainan.
Bukan kami ni sejenis tak runsing bila tengok sepah begini. Macam mana tuan-puan rasa menggigil lutut tahan geram tengok rumah yang dikemas bersepah, begitu juga kami.
MADRASAH BUAT BAKAL INDIVIDU HEBAT DI MASA DEPAN!
Tapi, bila sedar kebaikan yang anak dapat dengan bermain sampai bersepah gini, kami belajar untuk tarik nafas, bertenang dan redho. Fikir macam ni je;
Rumah yang bersepah disebabkan anak yang sedang berkreatif di dalamnya, mungkin adalah madrasah buat seorang bakal saintis/ pereka/ pencipta/ pioneer di masa hadapan.
Kena bayangkan hebatnya otak anak bekerja sewaktu mereka menyepah. Cuma, kenalah buat rules sebelum mula bermain. Lepas main, kemas balik! Kalau tak, tunggulah bebelan dari encik suami yang pengemas tahap Konmari tu bila dia balik.
KATA HIKMAT & KAJIAN PARA CENDEKIAWAN
1. NEIL DEGRASSE TYSON, AHLI ASTROFIZIK
Neil deGrasse Tyson, seorang ahli astrofizik berkata,
“Jangan tanya saya, macam mana nak anak minat Sains. Anak-anak sememangnya dilahirkan dengan sifat seorang saintis. Mereka exploratif. Suka cuba buat itu-ini. Keluarkan telur, pecahkan. Ambil periuk dan ketuk. Petik bunga di pokok. Buka kereta mainan part by part sampai tak rupa kereta.
“Semua itu asas untuk seseorang memahami dunia sains. Memahami cara kehidupan sekelilingnya berfungsi. Dan bibit bermulanya sifat seorang saintis.
Tapi kita mak ayah yang sebenarnya mematikan sifat tu. Tiap kali anak nak mencuba je, kita melarang. Tiap kali anak buat silap, kita menghukum.”
Fuh saya sentap!
2. KYUNG HEE KIM, PENYELIDIK
Tapi lebih sentap dengan kenyataan seorang penyelidik Korea ni.
Ada satu kajian dijalankan oleh penyelidik bernama Kyung Hee Kim. Katanya, tahap kreativiti kanak-kanak zaman sekarang menurun sebanyak 85% berbanding dengan kanak-kanak sama usia pada tahun 80-an.
Lapan-puluh-lima-peratus! Bukan sikit tu.
Antara punca kanak-kanak makin hilang sifat kreatif adalah, kurangnya peluang untuk berekplorasi. Ini bermakna, anak-anak makin kurang bermain. Kalau bermain pun, dah tak meluas macam kanak-kanak dulu bermain.
PUNCANYA ADALAH:
- Kewujudan skrin seperti TV dan gajet.
- Kurang outdoor (disebabkan rumah bertanah makin kurang & risiko merbahaya yang makin meningkat).
- Penglibatan ibu bapa dengan anak berkurang atas faktor kerjaya.
- Kurang free time sebab trend kelas tambahan.
Dan punca paling utama juga adalah KESEDARAN. Kurangnya kesedaran ibu ayah bahawa pentingnya kanak-kanak ni bereksplorasi, buat silap, buat messy dan mencuba itu dan ini.
FIKIRKAN INI,
Biarkan anak melalui fasa mereka. Fasa ini tak lama. Rumah akan sepah sikit. Tapi jiwa mereka akan hidup sebagai kanak-kanak yang berani bereksplorasi.
- Bijak dalam menyelesaikan masalah.
- Punya daya fikir yang tinggi dan kritis.
- Tak kekok memanipulasi apa jua peralatan.
- Boleh bertoleransi terhadap stres, terutamanya bila buat sesuatu yang tak menjadi.
- Mampu memahami bahawa untuk terjadinya sesuatu, ada proses yang perlu dilalui.
- Dan paling penting, mereka mampu beradaptasi hidup dalam dunia yang makin mencabar ni.
Semakin besar ruang yang kita buka untuk anak meneroka,
Semakin rendah ekspektasi yang kita letak pada mereka,
Semakin kita faham proses yang perlu dilalui mereka,
Semakin tinggi juga potensi anak-anak untuk jadi saintis, pencipta, pereka, saintis atau pioneer yang menyemarakkan dunia.
Sumber: Facebook Wawa Shauqi