Rakyat

Bayi 5 Bulan Ditemui Mati Disorokkan Dalam Peti Sejuk Pengasuh Di Gombak

Seluruh negara gempar dengan berita penemuan mayat mangsa berumur 5 bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi yang dijumpai tidak bernyawa dalam peti sejuk beku di rumah pengasuhnya sendiri yang terletak Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal ditemui kira-kira pukul 11 malam tadi (3 Julai 2018) dan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais 2 pintu setelah Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Kononnya Anak Asuhan Diculik

Pada awalnya, pengasuhnya berkata anaknya tersebut telah diculik kerana menyangka individu tidak dikenali yang datang menjemput Adam Rayqal tersebut adalah bapanya. Hasil siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuh tersebut, dan akhirnya mayat Adam Rayqal telah ditemui di dalam peti sejuk beku rumah pengasuh tersebut dalam keadaan lengkap dengan pakaian namun berbalut kain napkin dan disumbat dalam beg berwarna hijau.

Bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, berkata kehilangan anaknya, Adam Rayqal dimaklumkan oleh isterinya Farah Madiha Othman, 28, pada pukul 7 malam tadi.

“Isteri saya menghantar Adam Raikal ke rumah pengasuh pada pukul 12 tengah hari tadi kerana dia ingin pergi bekerja.”

“Pada sebelah petang, pengasuh memaklumkan kepada isteri yang anak saya diambil oleh seorang lelaki yang menyangka itu adalah saya… walhal saya belum mengambil anak dari rumah pengasuh,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sufi Naeif berkata, dia belum pernah menjemput anaknya yang baru seminggu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.

Bapa bayi itu, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, turut memuat naik gambar Adam di laman sosial miliknya meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.

Punca Kematian Masih Dalam Siasatan

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Menurut Ali, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis menahan dua suspek iaitu pengasuh yang berusia 33 tahun serta rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.

Semoga Keluarga Ini Tabah

Berita sebegini tentunya membuatkan kita risau dan fobia menghantar anak untuk dijaga oleh pengasuh. Macam tak percaya kejadian seperti ini berlaku di Malaysia, apatah lagi dengan tindakan pengasuh yang begitu mengejutkan hingga menyorokkan mayat bayi dalam peti sejuknya!

Apapun, marilah kita doakan agar kedua ibu bapa bayi ini diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang begitu hebat ini.

Al-fatihah.

Yang Popular

To Top