Bayaran haji bagi jemaah Muassasah tahun 2025 dilaporkan naik sebanyak 20% untuk kumpulan B40 dan M40. Peningkatan ini berlaku disebabkan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci yang semakin mahal.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding sebelum ini sebanyak RM12,356 seorang pada 2024.
Baca juga: KEMAS Sahkan Tiada Kenaikan Yuran TABIKA & TASKA Pada Tahun Hadapan
BAYARAN HAJI UNTUK JEMAAH B40 DITETAPKAN KEPADA RM15,000
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sebuah sidang media, hari ini.
Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M kekal iaitu RM33,300 seorang.
“Bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan kerajaan bagi B40, akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.
“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000,” jelas beliau.
Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 adalah RM23,500.
Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.
Difahamkan, harga penginapan di Tanah Suci meningkat dengan mendadak kerana pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.
Walau bagaimanapun, TH berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH.
Baca juga: 9 Pemimpin Negara Yang Terkaya Di Dunia, Rupanya Malaysia Pun Ada Dalam Senarai!
Sumber: Astro Awani