Sihat

Wajah Bengkak, Ini Bahaya Sindrom Nefrotik Dalam Kalangan Kanak-Kanak

166
SHARES

Semasa proses anak-anak membesar, macam-macam jenis penyakit yang dialami terutama sekali demam. Namun, penting untuk mak ayah peka dengan keadaan anak apabila wajah mereka khususnya di bahagian mata mengalami kebengkakan. Mungkin ada yang fikir bahawa ini adalah normal dan boleh sembuh dalam masa yang singkat, namun awas ini mungkin adalah sindrom Nefrotik! Bahaya!

Baca juga: Kenali Apa Itu ‘Happy Hypoxia’, Pembunuh Senyap Covid-19

BAHAYA SINDROM NEFROTIK DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Sindrom Nefrotik adalah gejala kencing yang mempunyai lebihan protein. Lebihan protein di dalam air kencing yang dimaksudkan perlu melebihi 50ml/kg sehari. Selain itu, keadaan ini juga memerlukan kriteria seperti kurang albumin dalam darah iaitu kurang daripada 3g/dL. Kedua-dua kriteria ini adalah penting untuk pengesahan gejala nefrotik ini dan memerlukan pengesahan makmal. Sebagai orang umum, kita mungkin tidak sedar akan bahaya protein di dalam air kencing, jika dibiarkan, keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi yang teruk pada buah pinggang.

PUNCA-PUNCA SINDROM NEFROTIK

Sindrom nefrotik pada kanak-kanak dan sindrom nefrotik pada dewasa mempunyai persamaan dan juga sedikit perbezaan dari segi punca-puncanya. Secara am, gejala ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu punca primer dan punca sekunder.

1. Sindrom Nefrotik Primer

Punca primer adalah keadaan apabila tiada penyebab-penyebab sistemik (penyakit lain) dapat dikesan. Ia juga diklasifikasikan sebagai sindrom nefrotik idiopatik dan merangkumi kondisi seperti “Minimal Change Disease (MCD)” dan “Focal-Segmental Glomerulosclerosis (FSGS)”.

Perkara yang perlu diketahui adalah punca primer merupakan penyebab majoriti kepada kes dalam kanak-kanak dengan kadar kes melebihi 90%. Tidak banyak yang diketahui mengenai punca primer sindrom nefrotik. Namun apa yang dapat dirumuskan oleh pakar mengenai keadaan ini adalah kegagalan faktor imun menyebabkan serangan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang. Gejala ini lebih terlihat pada kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa dan kebiasaannya terjadi dengan pencetus seperti jangkitan kuman atau selesema.

2. Sindrom Nefrotik Sekunder

Punca sekunder adalah disebabkan oleh kerosakan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang. Glomerulus berfungsi sebagai penapis dalam buah pinggang dan kerosakan boleh berlaku akibat sesetengah penyakit kronik seperti kencing manis dan Lupus (SLE). Punca sekunder sindrom nefrotik biasanya dialami oleh orang dewasa. Walau bagaimanapun hal ini tidak bermaksud penyebab-penyebab primer tidak akan menjejaskan orang dewasa.

TANDA-TANDA SINDROM NEFROTIK

1. Bengkak (edema) – Jenis bengkak yang dialami pesakit sindrom ini adalah bengkak air. Bengkak air ini terjadi akibat ketidakseimbangan protein dan cecair di dalam saluran darah yang menyebabkan limpahan ke kawasan anggota seperti bawah mata, kaki, tangan dan paru-paru. Bengkak air adalah mudah untuk dikenalpasti jika kita menekan kawasan bengkak ini, ianya akan terasa seperti belon berisi air dan mempunyai lekuk yang lambat untuk kembali anjal.

2. Tekanan darah tinggi – Gejala ini jarang terjadi dan merupakan gejala kepada sindrom nefritik. Sindrom nefrotik dan nefritik adalah dua kondisi berlainan yang mempunyai banyak punca yang serupa.

3. Kencing berdarah – Simptom ini mungkin sangat membimbangkan kebanyakkan pesakit dan ibu bapa. Ianya jarang terjadi kerana ia merupakan komplikasi akibat tidak dirawat awal.

4. Kencing berbuih – Simptom ini adalah antara simptom klasik bagi sindrom ini namun tidak berapa tepat untuk dirujuk sebagai simptom kepada sindrom nefrotik kerana pelbagai perkara boleh menyebabkan kencing berbuih selain daripada protein dalam urin.

BAGAIMANA UNTUK MENGESAHKAN PENYAKIT INI?

1. Pemeriksaan air kencing

2. Pemeriksaan kuantitatif kandungan protein yang hilang dalam air kencing dalam sehari. Air kencing boleh dikumpul dalam masa 24 jam bagi kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Bagi kanak-kanak yang kecil, satu sampel air kencing secara rawak pada waktu pagi boleh diambil

3. Ujian darah untuk paras protein (albumin) dalam badan, fungsi buah pinggang dan paras kolesterol. Paras kolesterol biasanya tinggi di kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik

4. Ujian makmal lain yang perlu dilakukan bergantung kepada gejala klinikal kanak-kanak tersebut atau ditentukan oleh Pakar Pediatrik

RAWATAN SINDROM NEFROTIK

Ubat yang disarankan untuk rawatan sindrom nefrotik di kalangan kanak-kanak ialah sejenis steroid iaitu prednisolone. Penggunaan prednisolone perlulah di bawah arahan seorang Pakar Pediatrik. Dos ubat dikira berdasarkan berat dan tinggi kanak-kanak. Ubat steroid mempunyai kesan-kesan sampingan yang kita perlu risaukan jika digunakan untuk tempoh yang lama seperti kenaikan berat badan, pengumpulan lemak di bahagian perut dan muka, sakit perut, dan lemah otot . Oleh sebab itu, ubat steroid tidak digunakan sebagai ubat untuk jangka masa yang panjang.

Kebanyakan pesakit sindrom nefrotik akan menunjukkan respon positif dengan rawatan ubat prednisolone. Walaupun demikian, sakit ini kerap berlaku semula, ia dikenali sebagai relapse. Tanda pertama keberkesanan ubat prednisolone ialah tiada protein dalam air kencing. Tanda pertama relapse ialah kemunculan semula protein dalam air kencing. Oleh itu, pemantauan air kencing di rumah setiap hari dengan urine dipstick adalah amat penting untuk mengetahui keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang relapse.

Sekiranya ujian dipstick adalah negatif untuk 3 hari berturut-turut, ini bermakna pesakit menunjukkan respon terhadap rawatan dan berada dalam remission. Ini biasanya berlaku 7–10 hari selepas pengambilan ubat prednisolone dan pembengkakan akan hilang. Sekiranya protein dalam air kencing adalah positif untuk 3 hari berturut-turut dan pembengkakan berlaku semula, pesakit dikatakan mengalami relapse.

Apabila pesakit mengalami relapse, adalah penting untuk membawa pesakit berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan pusingan baru rawatan prednisolone akan dimulakan semula. Ada kalanya doktor akan memberi pesakit antibiotik penisilin apabila relapse untuk mencegah jangkitan kuman bakteria di bahagian abdomen yang lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak ini.

Sumber: Dr. Zubaidi Hj Ahmad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×