Pernahkah kita terfikir bagaimana anak yang dilahirkan normal oleh kedua ibu bapa yang pekak akan berkomunikasi sesama mereka? Dalam situasi sebegini, bahasa isyaratlah yang memainkan peranan penting dalam memastikan mereka dapat saling memahami.
Namun sebenarnya, bahasa isyarat bukan hanya terhad kepada mereka yang cacat pendengaran. Malah, kajian telah dilakukan oleh Dr Joseph Garcia pada tahun 1980-an di mana beliau membangunkan idea untuk mengajarkan bahasa isyarat untuk bayi yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran.
Idea mengetengahkan bahasa isyarat bayi ini tercetus setelah mendapati ibu bapa yang pekak juga mampu berkomunikasi dengan bayi mereka secara begitu berkesan menggunakan bahasa isyarat. Ini kerana, kemahiran motor seseorang bayi berkembang lebih cepat berbanding kemahiran mereka untuk bertutur. Contohnya, anak-anak akan lebih dahulu melambai tangan mereka sebelum menyebut perkataan bye bye.
Qaleesya Minat Belajar Bahasa Isyarat Sejak 1 Tahun
Tahukah anda, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa ibunda dan bahasa isyarat yang khusus bagi golongan pekak di Malaysia. Menurut Akta OKU 2008, telah dinyatakan bahawa BIM adalah bahasa rasmi bagi komuniti pekak di Malaysia.
Menurut ibu Qaleesya, Puan Syazana Azri Sabarudin yang merupakan seorang OKU pekak pendengaran, minat anaknya Qaleesya terhadap Bahasa Isyarat Malaysia telah berputik seawal usianya 1 tahun lagi.
Tambah Puan Syazana lagi, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) adalah bahasa pertama yang adik Qaleesya kuasai sebelum mempelajari bahasa kedua iaitu Bahasa Malaysia pertuturan.
Melalui bahasa isyarat inilah adik Qaleesya mula belajar berkomunikasi. Maka, ia merupakan mekanisme hubungan yang penting bagi memudahkan mereka meluahkan perasaan dan menyampaikan maklumat kepada ibu bapanya yang pekak.
“Sebenarnya kami ibu bapa Qaleesya belajar bahasa isyarat Malaysia (BIM) asas contoh ‘ibu’, ‘ayah’ , ‘susu’, ‘bye’ sepertimana bahasa isyarat bayi semenjak dia masih bayi ketika berusia 9 bulan ke atas. Bila dia dah masuk 1 tahun, barulah saya ajar dia mengenal binatang dengan menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia untuk membantu dia memahami makna BIM serta menguasainya sebelum ejaan jari abjad. Dia pun suka tengok gambar binatang dan bunyi bunyi.” ujar Puan Syazana.
“Masa tu dia gemar kumpulkan koleksi figure binatang. Sebab itu dah berminat belajar BIM. Sampai sekarang dia masih menghafal semua binatang dalam BIM. Dia sentiasa memerhati bahasa badan saya dan ekspresi muka. Dia dekat luar nampak kucing atau burung atau anjing, dia terus berisyarat tangan dan menyebut nama binatang.”
Seperti yang kami lampirkan di bawah ini adalah sebuah video oleh adik Farzana Qaleesya baru berusia 3 tahun yang telah berjaya sepenuhnya menghafal & mengenal huruf A-Z menggunakan BIM.
Bantu Ibu Ayah ‘Mendengar’
Menariknya, dengan menguasai bahasa isyarat, anak ini juga bijak menyampaikan maklumat dan membantu ibu ayahnya ‘mendengar’.
Kata Puan Syazana, “Qaleesya pernah beritahu saya sambil berisyarat tangan ‘tekan loceng’ apabila ada orang ketuk pintu rumah ataupun loceng pintu sebab saya memang tak dapat dengar loceng pintu. Banyak lagi dia membantu saya untuk mendengar bunyi. Selalunya bila dia dengar si adiknya nangis bangun dari tidur di dalam bilik, dia akan tegur sambil berisyarat tangan ‘dengar baby nangis’.”
Si anak ini amat minat untuk belajar dan menampakkan kesungguhannya ketika waktu belajar tanpa dipaksa. Ibunya juga bertambah semangat untuk mengulang berkali-kali tanpa jemu mengajar agar dia dapat memahami. Bak kata ibunya, ia adalah usaha mereka untuk melakukan yang terbaik demi anak tercinta!
Menurut pemerhatian Puan Syazana, beliau berpendapat di Malaysia ramai ibu bapa bukan pekak langsung tidak tahu bagaimana mahu berkomunikasi dengan anak pekak dan juga kurang prihatin terhadap kepentingan komunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) walaupun anak yang pekak ini diberi kasih sayang sepenuhnya.
Secara tak langsung, anak pekak mungkin berasa tersisih dan kurang dipedulikan serta jarang berkongsi isi hati mereka dalam keluarga kerana saling tidak memahami atau mempunyai medium penyampaian yang terhad untuk meluahkan perasaan. Ibu bapa juga harus lebih sensitif dan mengetahui keinginan dan keperibadian anak pekak.
Disebabkan hal ini juga, anak pekak akan menjadi mangsa kerana mereka tidak memahami bahasa lisan. Maka, sesama mereka jarang berkomunikasi dan seolah-olah tidak mengenali satu sama lain.
“Cadangan saya, ibu bapa harus mempelajari serta menguasai bahasa isyarat Malaysia dianggap sebagai satu keperluan penting untuk memudahkan komunikasi satu bahasa. Dengan cara itu ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti dan dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak pekak,” akhiri beliau.
Bahasa Isyarat Bukan Hanya Untuk Golongan Pekak
Walaupun bahasa isyarat ini menjadi medium pertuturan utama golongan pekak, namun penting untuk kita fahami bahawa ia juga mudah dan sangat berguna untuk dipelajari oleh orang awam.
Selain memudahkan komunikasi pada waktu-waktu kecemasan, kemahiran dalam bahasa isyarat juga dapat memperluaskan keberkesanan komunikasi, serta membantu memperkembangkan teknologi dengan menghasilkan aplikasi atau alat bantuan mengajar bagi menambah lagi bahan rujukan khusus untuk golongan yang memerlukannya.
Malah, sesetengah syarikat atau agensi turut memberikan elaun khas bagi mereka yang mahir menggunakan bahasa isyarat bagi memudahkan pelanggan OKU untuk berkomunikasi dengan lebih lancar.
Jadi, tak salah kan kalau kita cuba belajar bahasa isyarat sekurang-kurangnya perkataan yang asas. Kalau tak tahu, boleh study sambil melihat telatah adik Qaleesya yang comel melalui Vlognya di SINI.