Sebut sahaja ayam bakar, sudah pasti ramai yang kecur liur. Lebih-lebih lagi, ayam bakar ala Kenny Rogers. Tetapi, dengan harganya yang mendadak naik, memang tak ramai yang sanggup habiskan duit hanya untuk seekor ayam bakar.
Sebenarnya, semua orang boleh buat ayam bakar ala Kenny Rogers kerana bahan-bahan yang diperlukan adalah mudah didapati di pasaran.
Jadi, untuk menjimatkan perbelanjaan harian anda, jom ikuti perkongsian penulis mengenai cara-cara penyediaan ayam bakar ala Kenny Rogers bersama nasi planta. Boleh cuba buat untuk menu berbuka puasa!
RAHSIA PENYEDIAAN RESIPI AYAM BAKAR ALA KENNY ROGERS BERSAMA NASI PLANTA
“Lepas ni tak perlulah ke kedai, buat sendiri pun boleh kat rumah. Lagi jimat duit“
BAHAN-BAHAN AYAM BAKAR ALA KENNY ROGERS:
- Ayam seekor / whole leg 4
- 1 biji bawang holand
- 3 ulas bawang putih
- 1 1/2 inci halia
- Lada hitam
- Sos lada hitam
- Sos tiram
- Kiub ayam
- Sedikit gula (jika perlu)
- 1 biji kentang (direbus bersama ayam)
Sayur-sayur untuk dibakar bersama ayam (atau sayur apa-apa sahaja yang ada)
- Brokoli
- Lobak merah
- Kentang
- Bawang holand
- Cendawan shitake
BAHAN BAHAN NASI PLANTA:
- Beras
- Planta
- Halia hiris
- Bawang besar hiris
CARA PENYEDIAAN AYAM BAKAR ALA KENNY ROGERS
1. Rebuskan ayam bersama kentang.
2. Kemudian, kisar kesemua bahan yang dinyatakan di atas sehingga benar-benar hancur.
3. Kisar kentang yang telah direbus bersama ayam tadi.
4. Kemudian campurkan di dalam adunan blend pada awal tadi.
5. Pada peringkat ini, kuah akan menjadi pekat, lemak-lemak dan creamy.
6. Masukkan ayam ke dalam campuran itu.
7. Letak ayam dalam tray. Letak apa-apa sahaja sayur yang ada sebab ayam dah masak cuma tinggal bagi garing bahagian luar sahaja.
8. Sebelum masuk oven, letak sedikit butter atas ayam. Bakar suhu 200 selama 60 minit. 15 minit pertama api atas bawah, selebihnya api atas sahaja.
9. Maka, ayam bakar ala kenny rogers pun dah siap! Kuah-kuah sikit tu boleh makan dengan nasi planta nanti.
CARA PENYEDIAAN NASI PLANTA
- Cairkan planta kemudian tumis bawang besar dan halia sehingga layu.
- Masukkan beras bersama garam sedikit dan gula sedikit untuk rasa seimbang.
- Sukat air macam biasa kemudian masak nasi dalam periuk biasa.
Selamat Mencuba!