Pempengaruh media sosial, Andika Putera sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila beliau menubuhkan komuniti ‘Old Money’ di Malaysia. Menariknya, walaupun seminggu usia penubuhannya, komuniti trend Old Money ini dikatakan telah menarik lebih 300 orang yang kini sudah mendaftar sebagai ahli.
Namun, ramai yang masih tidak tahu apakah maksud sebenar ‘Old Money’ ini? Adakah sekadar trend untuk menampakkan diri kaya raya atau sebenarnya perlu diwarisi?
Baca juga: 10 Kerabat Diraja Yang Kahwin Dengan Rakyat Biasa, Demi Cinta Lautan Api Sanggup Diredahi!
APA ITU TREND OLD MONEY? GAYA YANG BOLEH DIBUAT-BUAT ATAU TIDAK?
Pertama sekali, siri-ciri keluarga dalam kategori Old Money boleh dilihat melalui pendekatan mereka terhadap kehidupan dan bagaimana mereka membawa diri. Kebanyakkan keluarga ini mengamalkan nilai kesopanan, ketenangan, dan kematangan dalam setiap tindakan mereka.
Dari zaman dahulu sehingga sekarang, mereka mengutamakan pendidikan yang berkualiti tinggi, seringkali memilih institusi terkemuka dunia seperti Harvard, Yale, dan Oxford. Penekanan terhadap pendidikan ini bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik tetapi juga untuk membentuk nilai budaya dan etika yang tinggi.
Paling menarik dan ‘classy’ adalah, keluarga Old Money tidak tertarik pada kekayaan yang terpapar secara menonjol kerana mereka lebih cenderung pada gaya hidup yang ringkas tetapi penuh elegan, berbeza dengan golongan New Money yang kerap menunjukkan kekayaan mereka secara terang-terangan. Malah, mereka juga memilih untuk terlibat dalam acara amal dan aktiviti komuniti sebagai cara untuk menunjukkan rasa tanggungjawab sosial mereka.
MACAM MANA NAK BERGAYA ALA ‘OLD MONEY’? BEZA DENGAN ‘NEW MONEY’?
Dari segi penggayaan, golongan Old Money mempunyai gaya yang sangat klasik dan berkualiti tinggi. Mereka mengutamakan pakaian dari jenama-jenama terkemuka yang mengekalkan mutu kraf, seperti Ralph Lauren, Brooks Brothers, dan Hermès, namun mereka tidak mengejar trend fesyen semasa.
Sebaliknya, pakaian yang dipilih adalah abadi, tidak mudah ketinggalan zaman dan bersesuaian dengan acara sosial yang mereka hadiri.
Golongan Old Money terkenal dengan gaya “preppy” yang kemas dan bersahaja, tetapi tetap kelihatan mahal. Warna-warna pakaian mereka cenderung kepada yang neutral seperti biru navy, putih dan kelabu, yang menunjukkan rasa keanggunan tanpa perlu tampak menonjol.
*Sebagai kesimpulannya, Old Money bukan sahaja merujuk kepada kekayaan material tetapi juga kepada warisan nilai, budaya dan gaya hidup yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Apa yang ramai tengah tampilkan sekarang adalah ‘No Money’ termasuk penulis…
Sumber: Wealthtender, Tiktok @oldmoneyclub