“Selamat tinggal anak syurga ibu. Berehatlah sayang. Umar sudah penat berjuang untuk ibu. Terima kasih atas perjuangan yang anak ibu perjuangkan. Umar sudah tidak sakit. Al-Fatihah buat anak syurga ibu,” luah Nurul Izzati Barni, 30, ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang sebelum ini terjatuh lemas kolam ketika bercuti.
Che Umar Rais Che Fairollah yang koma sejak lebih empat bulan setelah kejadian itu menghembuskan nafas terakhirnya jam 12.11 tengah hari semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Khabar duka itu dihebahkan menerusi akaun TikToknya.
ANAK SYURGA UMAR MENINGGAL DUNIA

Gambar: TikTok @adikcik_94
Sementara itu, ketika dihubungi Harian Metro Nurul Izzati berkata, dia menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 11 pagi memaklumkan jantung Umar dalam keadaan lemah dan perlu diberi bantuan menerusi mesin pernafasan.
“Kebetulan, saya dan suami (Che Fairollah Che Mezam, 40) memang dalam perjalanan ke HSB. Tapi waktu sampai, kami diberitahu Umar sudah meninggal dunia.
“Sebagai ibu, tentunya saya sangat sedih. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Allah SWT kerana Umar pun sudah lama sakit dan kini hilang sakitnya di dunia,” katanya.
Nurul Izzati berkata, jenazah Umar masih berada di Jabatan Forensik dan akan diuruskan di hospital.
Saya sempat pegang tangan Umar sebelum dia tidur nyenyak
Katanya, jenazah anaknya akan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, di sini.
“Kemungkinan jenazah akan dikebumikan hari ini juga selepas solat Asar nanti.
“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat Umar dan terima kasih sangat kepada semua yang menitipkan doa, kata semangat juga sumbangan buat anak saya sebelum ini.
“Saya sudah kehilangan Umar buat selamanya tapi syukur kerana berpeluang menjaganya… semalam pun sempat pegang tangannya sebelum dia tidur dengan nyenyak,” katanya.
Baca juga: Ibu Terkilan Anak Mild Autism Tetap Dipukul Guru Walau Dah Minta Maaf, “Mana Belas Kasihan Dia…”
Umar lemas terjatuh kolam ketika bercuti
Terdahulu kisah penderitaan Umar yang dulunya aktif dan petah bercakap sebelum terlantar sakit selepas lemas terjatuh di dalam kolam ketika bercuti dengan ibunya, di sebuah inap desa telah mendapat perhatian meluas oleh media dan rakyat Malaysia.
Penderitaan Umar dapat dilihat menerusi perkongsian gambar dan video dimuat naik Nurul Izzati di TikTok menunjukkan keadaan anak bongsunya hingga meruntun hati warganet.
Sumber: Harian Metro / TikTok @adikcik_94
FT Image: TikTok @adikcik_94