Terdapat satu kemusykilan dari orang ramai mengenai cara ambil wuduk yang secara tiba-tiba menjadi viral iaitu menggunakan ‘spray’. Hal ini kerana, air yang disemburkan hanyalah sedikit sahaja sedangkan syarat sah untuk wuduk yang sempurna adalah air tersebut perlu mengalir.
Jadi, bagaimana kalau berada dalam situasi seperti mendaki atau dalam kapal terbang apabila kita ingin mengambil wuduk dengan cara yang mudah?
Baca juga: Sah Ke Ambil Wuduk Dengan Cedok Tangan Dalam Air Gayung? Mari Baca Penjelasan Mufti
AMBIL WUDUK GUNA SPRAY SAH KE?
Tidak dapat dinafikan, wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain.
Perlu juga diingatkan bahawa, wuduk ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu berserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Jadi, untuk seseorang itu dikira sah wuduknya, semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk perlu dilengkapkan.
Oleh itu, berdasarkan Ustaz Zulkifli Al-Bakri penggunaan spray bagi berwuduk berkait rapat dengan :
1.Sekurang-kurangnya dua syarat sah wuduk iaitu air yang disembur itu hendaklah dipastikan air mutlak dan air itu hendaklah mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk. Hal ini adalah jelas kerana di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan (iaitu air mutlak) seperti mana kami telah sebutkannya di atas, dan begitu juga kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak.
2.Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT.
3.Selain itu, di antara syarat sah wuduk juga ialah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan.
4.Oleh itu, ketika menggunakan spray bagi berwuduk hendaklah dipastikan semburan air pada anggota wuduk itu mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk.
5.Selain itu, sebelum menyembur air dengan menggunakan spray atau berwuduk dengan air yang sedikit hendaklah juga dipastikan tidak ada apa-apa kotoran atau najis pada anggota wuduk, yang dapat menghalang air daripada sampai pada anggota wuduk. Hal ini kerana menghilangkan najis atau kotoran serta apa-apa yang menghalang air daripada sampai ke anggota wuduk termasuk dalam syarat sah wuduk.
Kesimpulannya, seseorang yang berwuduk dengan menggunakan spray adalah sah wuduknya jika ia memenuhi semua syarat-syarat sah wuduk seperti menggunakan air mutlak dan mengalirkan air pada anggota wuduk serta ia diratakan keseluruhan anggota wuduk.
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Baca juga: Adab Malam Pertama Pengantin Baharu, Suap Isteri Minuman Manis Ikut Sunah Rasulullah SAW
Sumber: Maktabah Al-Bakri