Masalah penyusuan bukan hanya berlaku ketika bayi masih baru dilahirkan. Malah, ibu yang sudah menyusukan anak lebih setahun juga masih berisiko mengalami bengkak susu, walaupun sebelum ini tidak pernah berdepan masalah berkenaan.
Situasi itu dikongsikan seorang wanita di Threads yang mengakui mengalami sakit pada payudara walaupun anaknya sudah menyusu sepanjang hari. Persoalannya, adakah suami perlu membantu dengan cara menyedut susu seperti yang pernah dikongsikan sesetengah ibu?
ISTERI BENGKAK SUSU, PERLU KE MINTA SUAMI BANTU SEDUT?

Gambar hiasan: Gemini AI
Anak sudah 1 tahun 8 bulan, ibu masih alami bengkak susu
Menerusi hantaran di Threads, wanita tersebut berkongsi pengalamannya mengalami sakit payudara walaupun anaknya yang berusia setahun lapan bulan masih menyusu secara langsung.
Menurutnya, dia sudah lama tidak mengalami masalah tersebut kerana sebelum ini bengkak susu lebih kerap berlaku ketika anak masih bayi atau berusia bawah setahun.
Antara keadaan yang dialaminya ialah:
- Payudara masih terasa sakit walaupun anak menyusu sepanjang hari.
- Payudara tidak lagi keras atau tegang.
- Ketulan yang dirasakan seperti saluran susu tersumbat sudah hilang.
- Tidak mempunyai pam susu kerana sejak awal mengamalkan penyusuan secara langsung.
Persoalannya mengenai cara suami membantu melegakan keadaan itu kemudian mendapat perhatian seorang doktor dan perunding laktasi, Dr Sakuntala.
Suami tidak digalakkan sedut susu untuk legakan bengkak
Menurut Dr Sakuntala, tiada kajian atau data klinikal yang menggalakkan pasangan melakukan sedutan menggunakan mulut bagi melegakan saluran susu tersumbat.
Public Health Malaysia turut menjelaskan bahawa tanggapan saluran susu tersumbat seperti paip yang perlu dibersihkan dengan sedutan kuat atau urutan kasar sudah tidak selari dengan pemahaman perubatan semasa.
Mengapa kaedah sedutan kuat tidak digalakkan?
- Boleh menambahkan keradangan pada tisu payudara.
- Sedutan terlalu kuat berisiko mencederakan tisu.
- Pam susu secara berlebihan boleh merangsang penghasilan lebih banyak susu.
- Keadaan tersebut boleh menyebabkan kesakitan dan pembengkakan menjadi lebih teruk.
Sebenarnya, dalam banyak kes, masalah yang berlaku bukan semata-mata saluran susu tersumbat.
Sebaliknya, keradangan pada tisu di sekitar saluran susu boleh menyebabkan saluran menjadi sempit dan mengganggu aliran susu. Sebab itu, payudara yang sudah lembut dan tidak mempunyai ketulan masih boleh terasa sakit.


Ini 6 cara bantu legakan payudara yang sakit
Berdasarkan perkongsian Public Health Malaysia, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan keradangan dan ketidakselesaan.
- Letakkan tuam sejuk selama 10 hingga 15 minit bagi membantu mengurangkan keradangan dan rasa sakit.
- Susukan bayi mengikut keperluannya seperti biasa. Tidak perlu memaksa payudara sehingga benar-benar kosong.
- Jika payudara terlalu tegang, perah sedikit secara lembut untuk mengurangkan rasa tidak selesa.
- Jangan menekan terlalu kuat, mengurut sehingga ketulan terasa pecah atau menggunakan alat urut bergetar.
- Pilih coli yang memberikan sokongan tetapi tidak terlalu ketat sehingga menekan payudara.
- Ibu juga memerlukan masa untuk berehat dan mendapatkan bantuan pasangan dalam menguruskan bayi serta kerja rumah.
Bagi mengurangkan kesakitan, ubat seperti ibuprofen dan paracetamol secara umumnya boleh digunakan ketika menyusu. Namun, ibu disarankan mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi mengenai kesesuaiannya.
Kenali tanda mastitis, jangan tunggu sampai teruk
Ibu juga perlu mengetahui perbezaan antara pembengkakan biasa dengan mastitis atau keradangan payudara.
Bengkak susu biasa:
- Lazimnya melibatkan kedua-dua belah payudara.
- Payudara terasa penuh, keras dan tegang.
- Lebih kerap berlaku pada minggu awal selepas bersalin.
Mastitis:
- Biasanya melibatkan satu kawasan payudara.
- Kulit menjadi merah dan terasa panas.
- Kesakitan lebih ketara.
- Boleh disertai demam, menggigil dan gejala seperti selesema.
Segera dapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami:
- Demam atau menggigil.
- Kulit payudara menjadi merah.
- Kesakitan semakin teruk.
- Keadaan tidak menunjukkan perubahan dalam tempoh sehari.
Mastitis akibat jangkitan bakteria mungkin memerlukan rawatan antibiotik, manakala abses payudara boleh memerlukan prosedur mengeluarkan nanah.
Suami tak perlu jadi pam susu manusia!
Buat para suami, bantuan paling bermakna ketika isteri mengalami masalah penyusuan bukanlah dengan memaksa diri menjadi pam susu manusia.
Sebaliknya, suami boleh membantu dengan cara:
- Menjaga bayi supaya isteri dapat berehat.
- Menyediakan makanan dan minuman.
- Menguruskan kerja rumah.
- Menyediakan tuam sejuk untuk isteri.
- Memberikan sokongan emosi sepanjang tempoh penyusuan.
Seperti yang dijelaskan Public Health Malaysia, apa yang diperlukan ibu ketika mengalami masalah ini ialah sokongan pasangan dan usaha mengurangkan keradangan, bukannya memaksa susu keluar sehingga payudara kosong.

Sumber: Threads / Public Health Malaysia
