Ahmad Madani, bayi yang mencuri perhatian ramai selepas dilahirkan ketika ibunya mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, baru-baru ini menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.
Baca juga: Tak Nak Duduk Mengundur Dalam ETS? Ini Rahsia & Cara Pilih ‘Seat’ Ikut Kod Warna Guna Aplikasi
LAHIR DI MAHA 2026, MAT SABU ZIARAH AHMAD MADANI

Terbaharu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkesempatan menziarahi bayi berkenaan, Ahmad Madani, yang turut dikenali sebagai ‘Baby MAHA’.
Menerusi perkongsian Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa Bang Mat menziarahi Ahmad Madani dan keluarganya di kediaman mereka.
Dalam kesempatan itu, beliau turut mendukung sendiri bayi yang menjadi perhatian selepas kisah kelahirannya tular di media sosial.
Sebelum ini, keluarga Ahmad Madani berdepan detik mencemaskan apabila ibunya mengalami tanda-tanda hendak bersalin ketika berada di lokasi MAHA 2026.
Petugas MAHA Bertindak pantas
Petugas MAHA bertindak pantas membantu ibu berkenaan mendapatkan rawatan bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi.
Detik cemas itu akhirnya bertukar menjadi berita gembira apabila ibu berkenaan selamat melahirkan seorang bayi lelaki.
Bayi tersebut kemudiannya diberi nama Ahmad Madani, sekali gus menjadikan kelahirannya sebagai antara kisah unik yang mewarnai penganjuran MAHA 2026.

Dalam kunjungan tersebut, Datuk Seri Mohamad turut menyampaikan cenderahati dan sumbangan kepada keluarga Ahmad Madani sebagai tanda ingatan.
Beliau juga mendoakan agar Ahmad Madani membesar dengan sihat, menjadi anak yang soleh serta membawa kebahagiaan kepada ibu bapa dan seluruh keluarganya.
Kisah ‘Baby MAHA’ menjadi salah satu kenangan istimewa sepanjang MAHA 2026, apabila sebuah acara yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan pertanian dan agropelancongan turut melahirkan kisah yang dekat di hati masyarakat.
Baca juga: “Anak Saya Tak Pernah Jadi Beban”– Najwa Latif Bersuara Selepas Warganet Pertikai & Body Shaming
